Soalan

Assalamualaikum YBhg Dr. Semoga Dr dalam keadaan sihat. Saya nak bertanya, bolehkah mengerjakan solat tarawih selepas azan subuh?

Jawapan

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Perkataan “Tarawih” berasal daripada kata “Rawwaha”, yang ertinya berehat. Ibn Manzur dalam kamus Lisan al-Arab (1/615) berkata perkataan “Tarawih” adalah kata jama’ dari “Tarwihah” yang ertinya sekali berehat. Maka dinamakan solat itu solat Tarawih kerana setiap 4 rakaat solat (iaitu dua rakaat-dua rakaat), disunatkan berehat kemudian diikuti dengan 4 rakaat berikutnya. Begitulah sehingga habis bilangan rakaatnya.

Pendapat ini juga dikemukakan oleh pengarang Anis al-Fuqaha’ (hlm. 34) iaitu al-Qunawi dan al-Khatib al-Syarbini dalam al-Iqna’ (1/117). Terdapat pandangan yang menyatakan, ia diambil daripada kalimah marawihah yang memberi maksud berulang-ulang dalam perbuatan seperti kata Ibn Muflih.

Hukum solat tarawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Inilah pendapat mazhab Hanafi, Syafi’i, Hanbali dan sebahagian Maliki. Hukum ini termasuk kepada lelaki dan juga perempuan. Ia termasuk dalam perkara menegakkan syiar agama. Menjawab persoalan di atas, waktunya adalah selepas solat Isyak sehingga masuknya fajar kedua atau waktu Subuh. Adapun selepas dariapda solat Subuh ia tidak dikira solat tarawih. (Lihat buku kami Solat Tarawih Fadhilat Hukum dan Hikmah, hlm. 17)

Saya mengambil kesempatan ini menasihatkan agar kita laksanakan solat tarawih dalam waktunya kerana ia adalah amalan Rasulullah SAW, para sahabat dan umat Islam. Daripada Abu Hurairah R.A. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”

Riwayat al-Bukhari (37)

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” [1]

Semoga ia memberi kefahaman yang baik kepada kita semua. Amin.

[1] [Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850) dan Ahmad (25384)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menghukum sanad hadith ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah] Imam al-Nawawi berkata bahawa ashab kami (ulama’ Syafieyyah) mengatakan disunatkan memperbanyakkan membaca doa ini pada malam al-Qadar. Begitu juga, disunatkan membaca al-Qur’an, zikir-zikir dan doa-doa yang disunatkan pada tempat-tempat yang mulia. [Lihat: al-Azkar,hlm. 191]

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply