#1242: Post Gambar Makanan di Bulan Ramadhan

Soalan:

Assalamualaikum Datuk, saya mahu bertanya satu soalan kepada Datuk…apakah hukum seseorang itu “post” gambar atau video makanan pada bulan puasa sama ada dalam keadaan tiada niat untuk membuat orang lain lapar dan dahaga atau niatnya memang bertujuan sedemikian?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ 

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”

Surah al-Baqarah (187)

Dalam menjawab isu di atas, kami menyatakan bahawa ia bergantung kepada nawaitu atau niat seseorang. Ini kerana kaedah menyebut:

الأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat.”

Kami nyatakan dua perkara atau andaian:

Pertama, jika seseorang itu post makanan yang dia makan berbuka puasa dan amat mewah serta lazat, dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, maka tidak syak lagi hukumnya adalah haram. Ini kerana banyak sebab, antaranya:

  • Boleh melukakan perasaan orang-orang miskin atau yang tidak berkemampuan apabila melihatnya.
  • Boleh membuka ruang kepada netizen untuk mengkritik atau memujinya. Hal ini sudah tentu tidak baik.
  • Boleh menggalakkan masing-masing dengan makan apa yang lazat-lazat dan telah hilang matlamat puasa untuk melahirkan taqwa.
  • Kalau sekali pun makanan yang dimakan amat simple dan ringkas, juga boleh mendatangkan pelbagai andaian atau tohmahan sebagai contoh dikatakan nak tunjuk zuhud atau kenapa kedekut sangat atau tak sangka miskinnya dia dan seumpanya. Semua komen seperti ini bukanlah berbentuk komen yang baik. 

Kedua, jika seseorang itu post makanan sebagai jualannya secara online atau walk-in maka kedua-duanya adalah dibolehkan. Ini kerana: 

  • Menjadi kebiasaan kepada peniaga dalam strategi untuk melariskannya perlu menunjukkan makanan yang disediakan tetapi mestilah itu hakikat sebenar. Sebaliknya, dia hanya copy paste dari gambar-gambar yang cantik berkenaan makanan, sedangkan makanannya yang disediakan tidak sepertinya, maka di sini terdapatnya unsur gharar atau penipuan. 
  • Makanan yang dipostkan itu boleh dibeli oleh sesiapa pun yang berkemampuan dan tidak timbullah isu hanya untuk seseorang sahaja. 

Justeru, kami katakan apa-apa pun posting yang dibuat yang terkait dengan makanan bergantung kepada niat dan tujuan masing-masing. Yang penting selamat daripada sebarang bentuk riyak, ujub, takabbur atau pun sombong.

Sebenarnya, bulan Ramadhan adalah bulan rahmat kepada ramai umat Islam, sama ada kepada pemimpin, masyarakat, rakyat jelata, peniaga, orang-orang miskin, anak-anak yatim. Di mana mereka semua beroleh keuntungan dan kebaikan di dunia dan akhirat. Ini kerana sifat ihsan dan bantuan boleh digerakkan.

Begitu juga dengan aktiviti perniagaan seperti bazar Ramadhan dan lain-lain, maka menatijahkan pendapatan kepada peniaga bahkan mereka dapat memperolehi rezeki yang lebih dengan aktiviti permiagaan di bulan Ramadhan. Yang utama adalah dua perkara; perniagaan makanan dan perniagaan pakaian raya. Selain daripada itu, tiket-tiket kapal terbang, bas, teksi dan lain-lain cukup tinggi permintaannya. 

Semoga dengan pencerahan ini, maka kita semua menjadi orang yang sentiasa mengambil cakna kepada hukum-hakam yang terkait dengan agama.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *