#1246: Konsep Dosa dan Pahala

Soalan:

Salam Datuk Dr Zul. Saya nak minta pencerahan berkenaan komen seseorang berkenaan pahala dan dosa dalam Islam. Katanya konsep dosa pahala tiada dalam Islam. Setahu saya ada dosa dan pahala dalam Islam.

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Pendapat tersebut adalah silap kerana kehidupan kita bukan semata-mata di dunia tetapi kita menuju ke tempat abadi di akhirat kelak dan kesudahannya sama ada ke syurga atau ke neraka. Dengan sebab itu kita diajar oleh Allah SWT untuk berdoa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Menjawab persoalan di atas, satu ungkapan yang masyhur menyebut:

الدُّنْيَا مَزْرَعَةُ الآخِرَةِ

Maksudnya: “Dunia ini adalah ladang (tempat bercucuk tanam) bagi akhirat.” [1]

Dalam satu riwayat menyebut:

 اعْمَلْ لِدُنيَاكَ كَأَنَّكَ تَعِيشُ أَبَدَا وَاعْمَل لآخِرَتِكَ كَأَنَّكَ تمُوتُ غَدَا 

Maksudnya: “Bekerjalah untuk duniamu seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhiratmu seakan-akan engkau akan mati esok hari.” [2]

Allah SWT berfirman:

‏ وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

(Surah al-Taubah: 105)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Mujahid berkata: “Ayat ini membawa peringatan dari Allah kepada mereka yang menentang perintah-Nya. Perbuatan mereka akan ditampilkan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Hal ini merupakan sesuatu yang pasti berlaku pada Hari Kiamat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/577)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Setiap manusia akan mendapat balasan atas perbuatannya. Jika perbuatan itu baik, balasannya juga baik. Jika perbuatan itu buruk, balasannya juga buruk. Amalan perbuatan itu dilihat dan disaksikan Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/53)

Firman Allah SWT lagi:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: “Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

(Surah al-Kahfi: 49)

Al-Sobuni berkata: “Diletakkan catatan amalan manusia dan dibentangkan ke atas mereka. Ketika itu, kamu lihat mereka yang melakukan kejahatan merasa amat takut dengan kejahatan dan dosa mereka.” (Lihat Sofwah al-Tafsir, 2/1748)

Sebenarnya dalil-dalil terlalu banyak yang menunjukkan kehidupan manusia terkait dengan dosa pahala. Benarlah firman Allah SWT:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

(Surah al-Mu’minun: 115)

Al-Tabari berkata: Maksudnya, apakah kamu semua menyangka, wahai orang-orang yang sengsara, bahawa Kami hanya menciptakan kamu untuk main dan sia-sia, dan kamu tidak akan dihidupkan kembali, kemudian menerima balasan atas amal perbuatan kamu di dunia? (Lihat Jami’ al-Bayan, 18/860)

Semoga kita sentiasa beramal dengan amalan soleh agar kita dipahalakan oleh Allah SWT.

 

Nota hujung:

[1] Terdapat sebahagian yang menyatakan ia sebagai hadith. Namun, sebahagian ulama menyatakan ia adalah palsu. Antara ulama’ yang menilai hadith ini adalah:

  • Imam al-Sakhawi mengatakan bahawa beliau tidak menemuinya. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 351]
  • Imam al-Zurqani menyatakan bahawa beliau tidak mengetahuinya (hadith ini). [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid, 467]
  • Imam al-Iraqi mengatakan bahawa beliau tidak menjumpai hadith ini marfu’ (sampai) kepada Rasulullah SAW. [Lihat: al-Mughni an Haml al-Asfar, 4/24]
  • Imam al-Saghani menghukum hadith ini palsu. [Lihat: al-Maudhu’at, 64]
  • Syeikh Mulla Ali Qari dalam menyatakan bahawa hadith ini adalah palsu, walaubagaimanapun makna hadith ini adalah betul. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 345]

Justeru, kami nyatakan bahawa hadith ini tidak diketahui akan asalnya tetapi maknanya adalah sahih kerana ia bertepatan dengan firman Allah SWT di atas.

 

[2] Menurut Syeikh al-Albani, dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah, hadith ini sebagai tidak ada asal baginya (لا أصـل لـه). Ia bukanlah nadith nabawi, sebaliknya ia adalah perkataan Abdullah bin ‘Amr bin al-As. Al-Haithami meriwayatkannya dalam al-Zawa’id atas musnad al-Harith. Diriwayatkan juga dengan lafaz lain, yang juga tidak sahih daripada Nabi SAW. Antaranya diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitab Sunan-nya, al-Dailami dalam al-Firdaus daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-As:

فَاعْمَلْ عَمَلَ امْرِئٍ يَظُنُّ أَنْ لَنْ يَمُوتَ أَبَدًا، وَاحْذَرْ حَذَرًا يَخْشَى أَنْ يَمُوتَ غَدًا

Imam al-Suyuti memasukkannya dalam al-Jami’ al-Saghir dan beliau mengisyaratkan kedha’ifannya. Al-Munawi pula dalam Faidh al-Qadir berkata: “Dan demikian itu disebabkan pada (sanadnya) ada rawi yang majhul dan lemah.”

Terdapat juga hadith lain yang sama maksudnya:

أَصْلِحُوا دُنْيَاكُمْ، وَاعْمَلُوا لِآخِرَتِكُمْ كأنَّكُمْ تموتُونَ غدًا

Hadith ini sangat lemah (ضعيف جدا). (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, no. 874)

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *