Soalan

Assalamualaikum wbt, datuk. Saya ada beberapa kemusykilan tentang zakat. Mohon diberi pencerahan. Bagaimana dengan pengeluaran zakat bagi seorang anak perempuan yang sudah bekerja tapi masih belum bernikah? Adakah dia masih di bawah tanggungan bapanya? Bapanya yang perlu mengeluarkan zakat untuknya? Atau dia sudah boleh mengeluarkan zakat dengan sendirinya dengan izin dari bapanya? Atau memang kewajipan ke atas anak perempuan tersebut untuk mengeluarkan zakat ke atas dirinya? Mohon pecerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”  [1]

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. [2]

Zakat fitrah adalah salah satu jenis zakat yang diwajibkan orang Islam membayarnya setiap tahun. Ia mula difardhukan pada tahun ke dua hijrah ketika difardhukan puasa Ramadhan. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan pelaksanaan zakat fitrah dengan segantang tamar, atau segantang barli ke atas hamba dan orang yang merdeka, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua, daripada kalangan Muslimin, dan baginda menyuruh agar ditunaikan sebelum manusia keluar menuju solat (Hari Raya).”[3]

Imam al-Nawawi menyatakan:  Di sisi ulama mazhab Imam al-Syafie, pendapat yang paling sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut غالب قوت البلد (jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk).[4]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Zakat Fitrah telah ditetapkan kadarnya, wajib dikeluarkan ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan, bagi setiap mukallaf dan orang yang dibawah tanggungan nafkahnya.[5]

Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:

  • Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.
  • Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan
  • Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan.[6]

Menunaikan Zakat Fitrah

Zakat fitrah diwajibkan ke atas dirinya sendiri, dan setiap orang yang wajib diberi nafkah olehnya. Mereka itu termasuklah isterinya, usul dan furu’ (keturunannya) daripada lelaki atau perempuan dengan syarat mereka ini tergolong dalam golongan fakir miskin.[7]

Jika seseorang itu menafkahi (menanggung) seseorang atas sebab nikah (isteri, anak-anak), kaum kerabat (ibu ayah, saudara) dan khidmat (hamba) maka wajib seseorang itu membayarkan zakat fitrah bagi tanggungannya jua. Kaedah menyatakan: 

كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: Sesiapa yang wajib menafkahi seseorang, wajib juga menunaikan zakat fitrah bagi tanggungannya.  [8]

Justeru secara umumnya wajib ke atas usul (penanggung nafkah) untuk membayarkan zakat bagi pihak anak perempuannya.  Namun begitu, ini tertakluk kepada tiga syarat wajib 

  • Usul berkemampuan daripada segi ekonomi. 
  • Furu` (anak-anak) masih lagi kecil, belum baligh 
  • Furu` ialah seorang yang faqir tidak mampu berkerja.[9]

Maka, jika seorang anak perempuan tidak memenuhi syarat-syarat wajib ini maka tidak wajib ke atas ayahnya untuk menafkahinya seterusnya membayarkan zakat fitrah bagi pihaknya.  

Perempuan Yang Sudah Bekerja Membayar Zakat

Berdasarkan persoalan di atas, Justeru, dalam kes di atas, kami cenderung kepada pandangan bahawa seorang perempuan wajib membayar sendiri zakat fitrah jika dia berkemampuan khususnya sekiranya seorang perempuan itu sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.  Namun begitu, jika bapa perempuan itu mahu membayarkan zakat fitrah bagi anak perempuannya maka hukumnya adalah harus dan sah tetapi dengan  syarat mendapat keizinan daripada anak perempuannya.

Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan tidak diharus bagi seseorang itu menunaikan zakat fitrah kepada orang lain (ajnabi) melainkan mendapat keizinannya. Serta tidak sah sekiranya ia menunaikannya tanpa mendapatkan keizinan.  Hal ini kerana zakat fitrah itu ibadah dan tidak akan tertunai melainkan mendapat keizinan daripadanya. Namun sekiranya mendapatkan keizinan, maka tertunailah zakat fitrahnya. [10]

Daripada segi hukum, zakat fitrah sah dibayar sendiri kepada asnaf, atau menggunakan wakil. Wajib disertakan niat ketika menyerahkan kepada asnaf, atau wakil dengan sighah seperti: Ini fardhu zakat daripada hartaku, Ini fardu sedekah daripada hartaku, inilah dia zakat daripada hartaku yang difardukan, atau yang diwajibkan. Hal ini bagi membezakan dengan sedekah sunat, nazar dan kafarah. [11]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Surah al-Taubah: 103

[2] Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913

[3] Riwayat al-Bukhari (1503)

[4] Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 6/132

[5] Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/95

[6] Ibid, 2/98

[7] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 23/339

[8] Lihat Taqrirat al-Sadidah, hlm. 419 

[9] Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/288-289

[10] Ibid, 2/102

[11] Ibid, 2/127-128

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply