Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimanakah cara untuk memandikan jenazah mangsa kebakaran; mesti dengan air atau boleh dengan cara lain? Hal ini kerana kadang-kadang tahap kebakaran yang dialami oleh mangsa korban kebakaran amat parah dan jika terkena air dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Tidak dapat dinafikan bahawa di sana terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa seseorang yang mati disebabkan oleh kebakaran dikira sebagai syahid sebagaimana riwayat daripada Jabir bin ‘Atik bahawa: 

أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ ثَابِتٍ لَمَّا مَاتَ قَالَتْ ابْنَتُهُ: وَاللهِ إِنْ كُنْتُ لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ شَهِيدًا، أَمَا إِنَّكَ قَدْ كُنْتَ قَضَيْتَ جِهَازَكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ قَدْ أَوْقَعَ أَجْرَهُ عَلَى قَدْرِ نِيَّتِهِ، وَمَا تَعُدُّونَ الشَّهَادَةَ؟ قَالُوا: قَتْلٌ فِي سَبِيلِ اللهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدَةٌ 

Maksudnya:Abdullah bin Thabit ketika meninggal dunia, anak perempuannya berkata: ‘Demi Allah, aku sangat berharap engkau mati syahid. Adapun engkau telah mempersiapkan peralatan engkau (bagi menyediakan peralatan perang dan ekspedisi serta lain-lain).’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah menjadikan pahalanya setimpal dengan apa yang diniatkannya, dan menurut kamu, siapakah orang yang dikira mati syahid itu?’ Mereka menjawab: ‘(Orang yang mati syahid itu) ialah orang yang terbunuh di jalan Allah.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh orang, iaitu orang yang mati kerana taun adalah syahid, orang yang mati tenggelam (lemas) adalah syahid, orang yang mempunyai luka pada lambung lalu mati adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, orang yang mati dalam kebakaran adalah syahid, orang yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal dunia sedangkan dia dalam keadaan mengandung adalah syahid.’

Riwayat Ahmad (23753); riwayat Nasa’i dalam hadith yang panjang dengan sedikit perbezaan lafaz (1846); riwayat Ibn Majah dengan lafaz seumpamanya (2803); Syeikh Syu‘aib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad (23753) menilainya sebagai sahih. Begitu juga al-Albani dalam Sahih Abi Daud (3111) menilainya sebagai sahih.

Al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “صَاحِبُ الْحَرِيقِ” ialah orang yang terbakar. Dalam erti kata lain, seseorang yang mati disebabkan oleh kebakaran. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/1140).

Sekalipun begitu, orang yang mati kebakaran termasuk dalam kategori syahid di akhirat iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia. Dalam erti kata lain, ketika di dunia, dia masih perlu dimandikan dan disolatkan. (Lihat Fath al-Bari, Cet. Dar al-Salam, 6/55; al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550).

Sebelum kita menjawab soalan yang diajukan, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa termasuk dalam perkara yang wajib dilakukan kepada orang mati adalah disunatkan segera menguruskan jenazah dengan memandikan, mengkafankan, mendirikan solat jenazah dan mengebumikannya. Ulama Islam telah berijmak menyatakan hukum keempat-empat urusan tersebut adalah fardhu kifayah atas kesemua orang Islam di tempat kematian. Jika tidak ada seorang pun di kalangan mereka melaksanakan tugas tersebut, maka berdosalah semuanya. 

Ketahuilah bahawa tujuan disyariatkan mandi mayat adalah untuk memuliakan dan membersihkannya. Hukumnya wajib bagi semua mayat orang Islam melainkan mayat orang yang mati syahid dalam medan peperangan (fi sabilillah). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/249-251).

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, hukum asal bagi jenazah adalah wajib dimandikan, tidak kira jenazah tersebut merupakan mangsa kebakaran ataupun tidak. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansari R.Anha, beliau berkata:

دَخَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ تُوُفِّيَتِ ابْنَتُهُ، فَقَالَ: اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا، أَوْ خَمْسًا، أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ، بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الآخِرَةِ كَافُورًا – أَوْ شَيْئًا مِنْ كَافُورٍ – فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي، فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَعْطَانَا حِقْوَهُ، فَقَالَ: أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ تَعْنِي إِزَارَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menemui kami ketika kewafatan puterinya, lalu bersabda: ‘Mandikannya sebanyak tiga atau lima kali atau lebih sekiranya engkau rasakan perlu, dengan menggunakan air serta daun bidara dan pada akhirnya letakkannya kapur barus (wangian) – atau sesuatu daripadanya – (syak perawi). Apabila sudah selesai, beritahu kepadaku.’ Ketika kami sudah selesai kami memberitahu Baginda, lalu Baginda memberikan kepada kami kainnya dan bersabda: ‘Pakaikanlah kepadanya’ iaitu kainnya.”

Riwayat al-Bukhari (1253)

Akan tetapi sekiranya terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), di mana tidak boleh terkena air kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan lagi keadaan. Maka, dalam situasi ini dibolehkan untuk digantikan dengan tayammum. Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafi‘i. Dalil bagi para fuqaha’ bagi perkara ini adalah qias kepada keadaan orang yang hidup. Sekiranya seseorang yang sihat boleh berubah daripada berwuduk dengan air kepada tayammum disebabkan keuzuran tertentu, begitu juga bolehnya ditayammumkan jenazah kerana keuzuran pada jenazah itu sendiri. 

Perkara ini dapat dilihat melalui kenyatakan Imam al-Nawawi ketika menjelaskan hal ini dengan menyebutkan, apabila terdapatnya keuzuran untuk memandikan mayat disebabkan ketiadaan air, atau jenazah terbakar, yang mana jika dia tetap dimandikan akan menyebabkan daging terpisah, maka dia tidak dimandikan sebaliknya ditayammumkan. Tayammum ini pula hukumnya adalah wajib kerana ia adalah proses penyucian yang tidak berkaitan dengan menghilangkan najis. Justeru, wajib untuk beralih kepada tayammum tersebut ketika tidak mampu menggunakan air sama seperti mandi janabah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/178).

Tambahan lagi, dalam kitabnya yang lain, Imam al-Nawawi turut menyatakan hal yang sama iaitu jika seseorang Islam terbakar sekira-kira jika dia dimandikan dia akan hancur lumat, maka (dalam situasi ini) dia tidaklah dimandikan, akan tetapi cukup dengan hanya ditayammumkan. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/108).

Begitu juga Syeikh Nawawi al-Bantani juga ada menyebutkan bahawa mayat yang tidak dapat dimandikan disebabkan oleh ketiadaan air atau seumpamanya seperti jenazah yang terbakar jika dimandikan akan hancur, maka (dalam keadaan ini) dia hendaklah  ditayammumkan. (Lihat Nihayah aI-Zain, hlm. 151).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa cara untuk memandikan jenazah mangsa kebakaran hendaklah dilihat kepada keadaan mayat mangsa berkenaan iaitu:

  • Sekiranya kebakaran yang dialami pada mayat itu tidak parah atau dalam erti kata lain terlalu sedikit, dan mayat berkenaan boleh terkena air (yakni tidak menjejaskannya), maka dalam keadaan ini, dia hendaklah dimandikan dengan menggunakan air sebagaimana jenazah yang lain. Pada masa yang sama hendaklah mengambil kira juga keadaan mayat. Justeru kami mencadangkan agar memandikannya dengan cara ringkas yang mencapai maksud mandi dan terlepas daripada dosa iaitu dengan menghilangkan najis yang mungkin terdapat di badan, kemudian meratakan air ke seluruh badannya.
  • Akan tetapi jika kebakaran yang dialami oleh mayat itu amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), di mana tidak boleh terkena air kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan lagi keadaan. Maka, jenazah itu tidak dimandikan, sebaliknya wajib digantikan dengan tayammum. Hal ini kerana keadaan atau situasi yang dialami oleh mayat itu termasuk dalam keuzuran. Inilah juga pendapat dalam mazhab Syafi‘i.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply