Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Saya bekerja sebagai seorang penghantar makanan. Di bulan puasa, saya ada menghantar makanan untuk customer orang Islam. Apakah hukumnya dan adakah saya patut beri keuzuran dan bersangka baik pada customer yang beragama Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih. 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh menghidangkan makanan mahupun menghantarnya kepada orang Islam yang lain yang tidak berpuasa tanpa sebarang keuzuran. Hal ini kerana perbuatan itu termasuk dalam perbuatan membantu orang lain dalam melakukan dosa.  Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan.

Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Oleh itu, walaupun seseorang itu tidak melakukan maksiat tersebut, namun perbuatannya dalam menolong orang lain untuk melakukan perbuatan maksiat akan turut dianggap sebagai maksiat.

Namun, jika orang yang dihantar makanan itu mempunyai keuzuran untuk tidak berpuasa seperti orang yang bermusafir, sakit, perempuan haid dan seumpamanya, atau orang yang dihantar makanan itu membelinya untuk anaknya yang masih kecil dan seumpamanya, maka tidak mengapa.

Pada masa yang sama, kita hendaklah bersangka baik atau bersikap husn al-Zan sesama manusia, yang mana iamerupakan satu perkara besar dan penting untuk dijadikan amalan bagi setiap insan yang bergelar Mukmin. Lebih-lebih lagi kita diperintahkan untuk menjauhi kebanyakan daripada prasangka kerana sebahagiannya adalah dosa. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang hamba-Nya daripada banyak buruk sangka dengan orang beriman kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Perkara tersebut adalah seperti sangkaan yang bukan berdasarkan hakikatnya sebenar mahupun bukti, begitu juga seperti sangkaan buruk, yang dikaitkan dengan banyak perkataan dan perbuatan yang diharamkan (dilarang). Apabila sangkaan buruk itu kekal di dalam hati seseorang, ia tidak terhad kepada itu sahaja, malah dia akan meneruskannya sehingga dia mengatakan apa yang tidak sepatutnya dan melakukan apa yang tidak sepatutnya, yang dalam pada itu juga termasuklah berburuk sangka dengan orang Islam, membencinya dan memusuhinya yang mana ia sepatutnya tidak berlaku.  (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/801).

Selain itu, Syeikh Dr. ‘Abd al-Bari ‘Awad al-Thubaiti (Imam Masjid al-Nabawi) dalam satu khutbahnya menyebutkan, apabila penyakit berburuk sangka menular ke dalam diri, ia akan membawa kepada terlalu cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan orang, suka menerima berita keburukan orang, suka mencari dan menyelidik rahsia keburukan orang. Oleh kerana itu, kita melihat orang yang bersikap buruk sangka sering berkata: “Saya akan cuba memastikan kebenaran perkara ini,” maka, dia mula mencari rahsia dan kemungkinan dia akan mengumpat. Mungkin juga, dia akan menyebut saudara Muslimnya dengan perkataan jahat maka dengan itu dia telah melakukan dosa yang berganda dan maksiat yang merosakkan. Di sini tersembunyi satu bahaya apabila hubungan sesama Muslim dibina di atas sikap berprasangka buruk, maka sangkaan menjadi asas kepada kasih sayang atau kebencian terhadap seseorang. Semua ini adalah pembunuh sikap berkasih sayang dan memusnahkan makna mahabbah.

Menebalnya sikap berprasangka buruk akan menjadikan manusia mudah melemparkan tuduhan terhadap sesama mereka, kemudian tidak akan ada lagi sikap saling percaya-mempercayai, bahkan mereka akan sering berbalah-balahan, tidak bertegur sapa dan memutuskan hubungan, ini merupakan suatu sikap yang akan membawa kepada hilangnya kekuatan dan keutuhan umat.

Sangkaan itu terbina di atas agakan atau dengan sebab satu perkataan atau amalan yang adanya kemungkinan. Sangkaan akan menjadikan seseorang menurut perasaan di dalam dirinya yang suka membuat tohmahan terhadap saudaranya, maka dengan itu ‘sangkaan’ akan menguasai dirinya dan juga cara pemikirannya. Sehingga kamu akan mendapati orang yang bersikap dengan prasangka buruk akan merasakan seseorang yang disangkakan tidak baik itu telah melakukan kesalahan yang banyak berdasarkan khayalan sangkaannya hasil daripada sikap buruk sangkaannya terhadap saudaranya.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa menghantar makanan kepada orang Islam pada siang Ramadhan hendaklah dilihat kepada dua sudut iaitu:

  • Jika dia menghantar makanan tersebut kepada orang Islam yang mempunyai keuzuran untuk tidak berpuasa seperti musafir, perempuan haid, orang sakit atau orang Islam yang membelinya untuk anaknya yang masih kecil dan seumpamanya, maka tidak mengapa. 
  • Namun, jika dia menghantarnya kepada orang Islam yang dia memang mengetahuinya dengan pasti bahawa orang tersebut tidak berpuasa tanpa sebarang keuzuran, maka seboleh-bolehnya hendaklah dia mengelak daripada menghantar makanan tersebut kepadanya kerana perbuatan memberi makanan kepada orang itu adalah haram dan dikhuatiri dia dikira membantu orang tersebut untuk melakukan maksiat, iaitu meninggalkan puasa tanpa keuzuran yang diizinkan syarak. Akan tetapi jika dia tidak dapat mengelak daripada menghantar makanan tersebut kepadanya disebabkan oleh pekerjaannya sebagai penghantar makanan dan itu satu-satunya sumber rezekinya, maka tidak mengapa kerana dalam situasi tersebut dia melakukannya kerana terpaksa dan hal itu berada di luar daripada kawalannya. 

Begitu juga, jika dia berasa syak atau tidak mengetahui orang Islam yang dihantar makanan tersebut mempunyai alasan dan keuzuran yang diizinkan syarak ataupun tidak. Maka, dalam hal ini, dia hendaklah bersangka baik dan tidak bersangka buruk kepadanya. Tersilap dalam bersangka baik adalah lebih baik daripada berburuk sangka. Hal ini kerana seseorang yang bersangka buruk tanpa mengetahui hakikat sebenarnya, dia seolah-olah telah memfitnah kerana perbuatan itu tidak mempunyai bukti nyata dan kukuh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply