#1264: Mati dalam Kebakaran Dianggap Mati Syahid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Adakah seseorang yang mati dalam kebakaran dikategorikan sebagai mati syahid? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”

(Surah al-Baqarah: 154)

Ayat di atas merupakan peringatan kepada orang yang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh pada jalan Allah — kerana membela agama-Nya — ialah orang-orang yang mati — yakni tiada apa-apa nilai. Bahkan mereka itu ialah orang-orang yang hidup dengan keadaan hidup yang istimewa — yakni secara khusus — di dalam kubur-kubur mereka, yang mana tidak diketahui bagaimana hidupnya itu melainkan oleh Allah SWT. Akan tetapi kamu juga tidak dapat menyedarinya. Ini adalah dalil yang menunjukkan kepada wujudnya nikmat di dalam kubur. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 24).

Secara umumnya, terdapat banyak riwayat yang menyebutkan kematian orang Islam yang dikira atau dikaitkan dengan mati syahid, dan salah satu daripada kematian tersebut ialah orang yang mati dalam kebakaran. Di antaranya riwayat daripada Jabir bin ‘Atik bahawa: 

أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ ثَابِتٍ لَمَّا مَاتَ قَالَتْ ابْنَتُهُ: وَاللهِ إِنْ كُنْتُ لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ شَهِيدًا، أَمَا إِنَّكَ قَدْ كُنْتَ قَضَيْتَ جِهَازَكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ قَدْ أَوْقَعَ أَجْرَهُ عَلَى قَدْرِ نِيَّتِهِ، وَمَا تَعُدُّونَ الشَّهَادَةَ؟ قَالُوا: قَتْلٌ فِي سَبِيلِ اللهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدَةٌ 

Maksudnya:Abdullah bin Thabit ketika meninggal dunia, anak perempuannya berkata: ‘Demi Allah, aku sangat berharap engkau mati syahid. Adapun engkau telah mempersiapkan peralatan engkau (bagi menyediakan peralatan perang dan ekspedisi serta lain-lain).’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah menjadikan pahalanya setimpal dengan apa yang diniatkannya, dan menurut kamu, siapakah orang yang dikira mati syahid itu?’ Mereka menjawab: ‘(Orang yang mati syahid itu) ialah orang yang terbunuh di jalan Allah.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh orang, iaitu orang yang mati kerana taun adalah syahid, orang yang mati tenggelam (lemas) adalah syahid, orang yang mempunyai luka pada lambung lalu mati adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, orang yang mati dalam kebakaran adalah syahid, orang yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal dunia sedangkan dia dalam keadaan mengandung adalah syahid.’

Riwayat Ahmad (23753); riwayat Nasa’i dalam hadith yang panjang dengan sedikit perbezaan lafaz (1846); riwayat Ibn Majah dengan lafaz seumpamanya (2803); Syeikh Syu‘aib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad (23753) menilainya sebagai sahih. Begitu juga al-Albani dalam Sahih Abi Daud (3111) menilainya sebagai sahih.

Al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “صَاحِبُ الْحَرِيقِ” ialah orang yang terbakar. Dalam erti kata lain, seseorang yang mati disebabkan oleh kebakaran. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/1140).

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT kepada mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka.  (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan dalam kitabnya bahawa melalui hadith-hadith yang menyebutkan berkenaan orang-orang yang dikira syahid, kita dapat bahagikan mati syahid itu kepada dua kategori iaitu:

  • Syahid di akhirat dan syahid di dunia iaitu sesiapa yang gugur (terbunuh) di jalan Allah melawan orang-orang kafir (bagi menegakkan agama-Nya) ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri — daripada musuh.
  • Syahid di akhirat sahaja iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia — yakni mereka masih lagi perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, Cet. Dar al-Salam, 6/55).

Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi menambah kategori yang ketiga iaitu mereka yang mati syahid di dunia tetapi tidak di akhirat. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550). Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan kategori ini di dalam kitabnya yang lain dan menyatakan, mereka ialah sesiapa yang gugur di dalam perang melawan orang-orang kafir — yakni bagi menegakkan agama-Nya — tetapi adanya halangan ke atas mereka seperti niat yang rosak dan ketika lari dari medan perang. (Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 189).

Oleh itu, kita mengetahui bahawa seseorang yang mati dalam kebakaran termasuk dalam jenis syahid di akhirat tetapi tidak di dunia. Ini bermakna bagi mereka di akhirat pahala mati syahid tetapi di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan. Mengenai ini, Imam al-Nawawi menukilkan bahawa syahid yang dimaksudkan ialah mereka kesemuanya kecuali yang gugur di jalan Allah, kelak di akhirat akan mendapat pahala mati syahid. Adapun di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550).

Seterusnya, mengkhususkan istilah syahid kepada seseorang hendaklah dilihat dari dua sudut iaitu:

Penyaksian Umum: Yakni kita menentukan kesyahidan berdasarkan keadaan atau sifat yang berlaku, yang mana sifat atau keadaan itu dinyatakan melalui al-Quran atau hadith Rasulullah SAW. Contohnya seperti hadith Jabir R.A di atas. Maka hukumnya adalah diharuskan bahkan wajib untuk membenarkannya, kerana kita menyaksikannya berdasarkan sifat yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW.

Penyaksian Khusus: Yakni kita mengucapkan seseorang itu syahid pada orang tertentu seperti kita mengatakan: “Orang itu syahid.” Maka hal ini tidak dibenarkan melainkan individu tersebut disaksikan syahid oleh Rasulullah SAW sendiri atau kesepakatan umat Islam.

Oleh sebab itu, Imam al-Bukhari membuat bab khas dalam Sahih al-Bukhari: “Larangan Mengatakan Seseorang Itu Syahid.” Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, larangan itu bermaksud atas jalan yang pasti. Ini kerana kepastian hanyalah boleh diterima berdasarkan kenyataan wahyu. Justeru, Imam al-Bukhari seolah-olah menyandarkan larangan ini kepada hadith Umar bin al-Khattab yang berkhutbah: “Kamu mengatakan dalam peperangan-peperangan kamu, ‘si fulan mati syahid’ dan ‘si fulan mati syahid’ padahal mungkin orang itu mati kerana membebani tunggangannya dengan terlalu berat (lalu mati jatuh kenderaan). Oleh itu, janganlah kamu mengatakan sedemikian, sebaliknya katakanlah seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

مَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ قُتِلَ فَهُوَ شَهِيدٌ

 Maksudnya: “Sesiapa yang mati atau terbunuh di jalan Allah, maka dia telah syahid.”

Al-Hafiz Ibn Hajar menilai hadith ini sebagai hasan dan ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Sa‘id bin Mansur dan selain mereka. (Lihat Fath al-Bari, 6/90)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa orang Islam yang meninggal dunia disebabkan oleh kebakaran dianggap sebagai mati syahid sebagaimana yang dinyatakan dalam nas yang sahih. Walau bagaimanapun, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak. Adapun semasa di dunia, jenazah mereka masih perlu diuruskan seperti biasa iaitu perlu dimandikan dan disolatkan.

Kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat yang sahih. Namun, hakikatnya hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya. Oleh itu, kita mendoakan dan mengharapkan ganjaran syahid kepada orang yang mati dalam keadaan syahid seperti mana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tanpa kita menetapkannya secara qat‘i dan kita bersangka baik dengannya.

Kami akhiri dengan riwayat daripada Sahl bin Hunaif bahawa Nabi SAW bersabda: 

مَن سَأَلَ اللَّهَ الشَّهادَةَ بصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنازِلَ الشُّهَداءِ، وإنْ ماتَ على فِراشِهِ

Maksudnya:Sesiapa yang memohon kepada Allah SWT mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan, Allah SWT akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).

Riwayat Muslim (1909)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *