Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum solat bagi seseorang yang memakai baju tiruan ketika solat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menutup aurat adalah syarat sah bagi solat. Jika seseorang bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula. Aurat bagi lelaki ialah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita ialah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan, berdasarkan mazhab Syafi’i. (Lihat al-Majmu’, 3/166-167).

Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat ialah, seperti kata Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab (125/1), “Dan wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna kulit.” Menurut Syeikh Zainuddin al-Malibari: “(penutupan aurat itu) dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit (yang boleh dilihat) dalam sebuah majlis percakapan.”(Lihat Fath al-Mu’in, 1/86). [1]

Berkenaan isu di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Imam al-Nawawi ada menjelaskan isu ini dengan katanya: “Ulama’ berijma’ akan bahawasanya haram seorang lelaki untuk solat dengan pakaian sutera. Maka sesungguhnya sah solat dengan pakaian berkenaan di sisi kami dan di sisi jumhur…Kami telah menyatakan bahawa sah kedua-dua solat dengan pakaian sutera dan pakaian yang diperoleh secara haram. Dan ini adalah pandangan jumhur ulama’…” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab3/180).

Terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian:

  • Sekiranya solat yang dilakukan itu menepati rukun dan syarat, maka solatnya dikira sah dan tidak perlu diulangi.
  • Isu barang tiruan, ianya perlu dilihat sama ada telah dipatenkan atau tidak. Jika ia sudah dipatenkan, ia adalah salah dan aktiviti menjual barang tiruan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK). Perlu diketahui bahawa membeli/menjual barangan tiruan atau membuat salinan/cetak semula secara tidak sah untuk barangan yang telah dipatenkan, hukum asalnya adalah haram.

Dalam perbahasan fiqh, di sana ada satu istilah yang dinamakan sebagai jihah munfakkah (terpisahnya bahagian). Isu sahnya solat dan isu memakai pakaian tiruan adalah dua isu yang berbeza. Maka, disimpulkan bahawa solat dengan pakaian tiruan adalah sah, sekiranya memenuhi rukun dan syarat. Namun, si pemakainya tetap dikira berdosa.

Hal yang hampir sama juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi ketika menerangkan berkenaan isu mengerjakan haji dengan menggunakan wang haram. Kata beliau, apabila seseorang itu melakukan haji dengan harta yang haram atau dia menunggang haiwan tunggangan yang dirampas ataupun haram keatasnya, maka dia mendapat dosa di atas perbuatannya, namun hajinya sah. Ini kerana, haji merupakan perbuatan-perbuatan yang khusus (rukun dan syarat) dan pengharamannya adalah disebabkan perkara yang di luar darinya. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 7/62).

Kami nyatakan juga di sini sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA untuk direnungi bersama-sama. Sabda Rasulullah SAW:

أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ “

Maksudnya: “Wahai manusia, Sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang beriman sebagaimana dia memerintahkan para rasul-Nya dengan firman-Nya:  “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” Dan Dia berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.” Kemudian Baginda menyebutkan ada seseorang dalam perjalanan jauh di mana keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit seraya berkata: Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan keperluannya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka bagaimana doanya akan dikabulkan?”

Riwayat Muslim (1015)

Lafaz Tayyib dalam hadis ini  bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 3/535).

Sebagai kesimpulan, kami tidaklah melihat isu ini terlalu besar melainkan ianya hanya melibatkan etika berpakaian itu sendiri. Semoga Allah SWT menerima ibadah solat kita dan menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Wallahua’lam.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

[1] Kadar yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan ini disyarahkan oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati sebagai: “Jika seseorang memerhatikan orang yang bersolat sambil mendekatkan diri dengan begitu dekat untuk melihat warna kulitnya, maka hal itu tidak memudaratkan (yakni tidak dianggap terbuka aurat).” (Lihat I’anah al-Talibin, 1/134). 

Leave a Reply