Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada persoalan berkenaan pekerjaan sebagai content moderator yang perlu melihat kandungan yang menaikkan syahwat ketika berkerja, adakah terbatal puasanya jika terkeluar air mani?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT berkenaan kewajipan menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang menaikkan syahwat:

‌قُل ‌لِّلۡمُؤۡمِنِينَ ‌يَغُضُّواْ ‌مِنۡ ‌أَبۡصَٰرِهِمۡ ‌وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki yang beriman agar menundukkan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang menaikkan syahwat) dan menjaga kehormatan mereka.”[1]

Firman Allah SWT lagi pada ayat yang berikutnya:

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada perempuan-perempuan yang beriman agar menundukkan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang menaikkan syahwat) dan menjaga kehormatan mereka.”[2]

Antara perkara yang mampu menaikkan syahwat ialah aurat antara lelaki dan perempuan. Aurat merujuk kepada semua anggota yang wajib ditutup atau diharamkan untuk dilihat oleh orang lain.[3] Larangan yang jelas dari melihat aurat lelaki dan perempuan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id Al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Dan tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berada (tidur) dalam satu selimut.”

Riwayat Muslim (338)

Terdapat dua keadaan untuk batasan aurat bagi lelaki di luar solat menurut Mazhab Syafie:

  1. Aurat lelaki dengan lelaki dan perempuan yang mahramnya: Auratnya antara pusat hingga lutut sahaja.
  2. Aurat lelaki dengan perempuan yang bukan mahramnya: Auratnya adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Manakala aurat wanita pula menurut Mazhab Syafie juga ada dua keadaan:

  1. Aurat perempuan dengan perempuan dan lelaki yang mahramnya: Auratnya antara pusat hingga lutut sahaja.
  2. Aurat perempuan dengan lelaki yang bukan mahramnya: Auratnya adalah seluruh badan, terdapat juga pandangan kedua di dalam mazhab yang mengecualikan muka dan kedua tapak tangan daripada aurat jika diyakini aman daripada fitnah.[4]

Hukum Content Moderator Terkeluar Mani Di Bulan Ramadhan

Merujuk kepada soalan yang ditanyakan, suka untuk kami menyatakan terlebih dahulu maksud Content Moderator ini, ia merujuk kepada suatu pekerjaan yang memerlukan seseorang untuk membuat pemantauan dan tapisan terhadap kandungan yang tidak relevan, lucah, menyalahi undang-undang, memudaratkan atau menghina.[5]

Situasi yang ditanyakan di atas adalah seorang Content Moderator perlu membuat pemantauan dan tapisan terhadap bahan yang mampu menaikkan syahwat seperti video atau gambar lucah sehingga terkeluar air mani di bulan Ramadhan.

Seperti yang sedia maklum, hukum asal melihat aurat adalah haram. Manakala mengeluarkan air mani dengan sengaja secara sentuhan seperti beronani dan bersetubuh, Imam Al-Nawawi mengatakan bahawa ianya membatalkan puasa.[6]

Adapun jika air mani itu keluar dengan cara tidak sengaja maka hal tersebut tidak membatalkan puasa. Begitu juga jika dia melihat dengan matanya secara berulang kali tanpa bersentuhan, atau membayangkan tanpa sebarang sentuhan[7] lalu keluar air mani, maka hal ini tidak membatalkan puasanya kerana tidak berlakunya secara mubasyarah (sentuhan).[8]

Imam Nawawi menyatakan, jika seorang lelaki melihat perempuan atau seumpamanya (amradh) dengan bernafsu lalu terkeluar air mani, puasanya tidak terbatal meskipun dia melihat berkali-kali atau tidak, dan tiada khilaf tentang perkara ini menurut Mazhab Syafi‘i. Antara yang berpegang dengan pandangan ini ialah Tabi‘in Abu Al-Sha‘tha’ Jabir bin Zaid, Sufyan Al-Thauri, Abu Hanifah, Abu Yusuf dan Abu Thaur.

Terdapat satu pandangan yang ganjil dalam Mazhab Syafi‘i seperti yang disebutkan Al-Sarakhsi di dalam kitabnya Al-Amali: “Jika dia melihat berkali-kali sehingga terkeluar air mani, puasanya terbatal”, ini merupakan pandangan yang disebutkan oleh Ibn Al-Munzir daripada Al-Hasan Al-Basri. Perbuatan tersebut (melihat perempuan sehingga terkeluar mani) diumpamakan seperti bersetubuh, diwajibkan ke atas pelakunya untuk ganti puasa dan membayar Kaffarah.[9]

Hukum pekerjaan sebagai Content Moderator ini pula perlu melihat kepada keadaan yang dilalui.

Jika Content Moderator tersebut telah ditetapkan skop pekerjaannya, seperti membuat pemantauan dan tapisan terhadap kandungan dewasa (kandungan tidak bermoral atau lucah), dia perlu melihat kandungan tersebut dan tidak dibenarkan untuk beri kandungan tersebut kepada orang lain, kecuali jika dia tidak tahu sama ada kandungan tersebut melanggar polisi syarikat atau tidak, maka pada keadaan ini dia boleh diqiaskan dengan doktor lelaki di bahagian Sakit Puan yang mempunyai keperluan untuk melihat aurat perempuan pada keadaan darurat. Meskipun ia dibenarkan, dia perlu cakna bahawa keharusan tersebut bergantung kepada keperluan yang mendesak sahaja, jika tiada keperluan maka hukumnya kekal haram. Ini berdasarkan kaedah yang masyhur:

الضَرُورَاتُ تُقدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksudnya: “Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja.”

Perbuatan melihat aurat secara berulang kali ini juga dilarang oleh Rasulullah SAW seperti di dalam hadith riwayat Ali bin Abi Talib RA:

‏ يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ

Maksudnya: “Wahai Ali! Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua.”

Riwayat Abu Dawud (2149)

Jika Content Moderator tersebut telah ditetapkan untuk membuat pemantauan dan tapisan terhadap kandungan dewasa (kandungan tidak bermoral atau lucah), tetapi dia mempunyai pilihan untuk memberikannya kepada orang lain.[10] Maka dia tidak lagi berada dalam keadaan darurat kerana mempunyai pilihan lain untuk tidak melakukan perkara yang mempunyai larangan yang jelas oleh syara‘.

Kesimpulan

Kami dapat simpulkan, jika Content Moderator tersebut tidak mempunyai pilihan lain untuk tidak menapis kandungan berunsur lucah atau memberikannya pada orang lain, maka puasanya sah dan tidak batal. Hal yang demikian kerana dia mempunyai keperluan mendesak untuk menapis kandungan-kandungan tersebut agar ia tidak tersebar di khalayak dan menjadi tatapan umum, maka ia dibolehkan hanya atas desakan tersebut.

Keadaan itu juga tidak termasuk dalam kategori mengeluarkan air mani dengan sengaja melalui sentuhan terus, sama ada dengan tangan atau mendatangi pasangan.

Meskipun begitu, kami menyarankan kepada masyarakat islam di Malaysia umumnya agar dapat memilih kerjaya yang lebih baik dan menjaga diri serta maruahnya daripada terjerumus ke dalam perkara yang dilarang oleh agama.

Kami juga menasihatkan, sebaiknya dalam bulan puasa ini janganlah berfikir atau melihat perkara yang tidak memberi manfaat jika tiada keperluan, dan sibukkanlah diri dengan amalan kebajikan yang dilipat gandakan pahalanya di bulan mulia ini. Firman Allah Taala dalam sebuah hadith Qudsi:

الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَأَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ أَجْلِي، وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ

Maksudnya: “Puasa itu untuk Aku, dan Aku sendiri akan mengganjarinya, orang yang berpuasa itu meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya kerana Aku, maka puasa itu ibarat perisai.”

Riwayat Bukhari (7492)

Wallahua‘lam.

[1] Surah Al-Nur: 30.

[2] Surah Al-Nur: 31.

[3] Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji, 1/124.

[4] Lihat Al-Fiqh ‘Ala Al-Mazahib Al-Arba‘ah, 1/175; Al-Fiqh Al-Manhaji, 1/124.

[5] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Content_moderation, disemak pada 6 April 2023.

[6] Lihat Raudhah al-Talibin, 2/247.

[7] Berbeza dengan perbuatan onani yang berlaku dengan cara membayangkan berserta sentuhan pada kemaluan.

[8] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184.

[9] Lihat Al-Majmu‘, 6/322.

[10] Seperti Content Moderator perempuan, mereka lebih sesuai untuk memantau dan menapis kandungan yang mungkin mempunyai aurat perempuan lain.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Leave a Reply