Soalan: 

Kalau air zam zam tiada, bolehkah tahnik dilakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Air zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Di antara keistimewaan air Zamzam ini ialah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya serta penawar daripada penyakit. Perkara ini kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam dua artikel kami iaitu:

#369 Keberkatan Air Zamzam Tidak Terikat dengan Tanah Haram.

#374 Keharusan Membawa Air Zamzam Keluar dari Makkah.

#436 Mandi dengan Air Zamzam.

Hukum menggunakan air zam-zam untuk mentahnik

Tahnik bermaksud membelah mulut bayi yang baru dilahirkan, dengan menggunakan buah tamar (kurma) yang dikunyah dan kemudiannya, digosokkan ke mulut bayi di bahagian lelangit mulut, dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perut bayi tersebut. Amalan mentahnikkan bayi merupakan suatu sunnah yang thabit menerusi beberapa nas syarak. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ

Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah dibawa kepada baginda anak-anak kecil, kemudian baginda mendoakan keberkatan ke atas anak-anak tersebut dan mentahnik mereka.

Riwayat Muslim (2147)

Hadith ini menunjukkan anjuran dalam mentahnik bayi yang baru dilahirkan dan membawanya kepada mereka yang soleh Demikian juga disunatkan untuk orang-orang soleh tersebut mendoakan keberkatan kepada bayi-bayi yang dibawa kepadanya. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

 ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ فَقُلْتُ نَعَمْ‏ فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ

Maksudnya: Aku membawa Abdullah bin Abi Talhah Al-Ansari kepada Rasulullah S.A.W ketika dia baru dilahirkan dan Rasulullah S.A.W pada ketika itu memakai jubah berbulu sedang menguruskan seekor unta milik baginda. Lalu baginda S.A.W berkata : ‘’Adakah bersama dengan kamu tamar (kurma) ?’’. Aku menjawab: ‘’Ada’’. Lalu aku pun memberikan beberapa biji tamar kepada baginda, kemudian baginda memasukkan tamar itu ke dalam mulut dan melembutkannya dan baginda membuka mulut anak itu serta menyuapkan kurma tadi ke dalam mulut anak tersebut dan bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambal menghisap manisnya.

Riwayat Muslim (2144)

Berdasarkan hadith di atas, dapat difahami di sini bahawa:

  • Perbuatan mentahnik bayi yang baru dilahirkan adalah sunat.
  • Disunatkan bayi tersebut ditahnik oleh orang-orang soleh sama ada lelaki atau perempuan.

Begitu juga, Imam Nawawi menyebut dalam kitabnya:

كَوْنُ التَّحْنِيكِ بِتَمْرٍ وَهُوَ مُسْتَحَبٌّ وَلَوْ حَنَّك بِغَيْرِهِ حَصَلَ التَّحْنِيكُ وَلَكِنَّ التَّمْرَ أَفْضَلُ

Maksudnya : Perbuatan tahnik dengan tamar (kurma) adalah mustahab (sunat). Sekiranya tahnik dilakukan dengan selain kurma maka tetap terhasil tahnik tersebut akan tetapi dengan kurma adalah lebih afdhal. (Lihat Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/124)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa harus menggunakan air zamzam untuk mentahnik bayi, akan tetapi ia bukanlah satu kemestian. Pada asalnya, tahnik ini dilakukan hanya dengan buah kurma sahaja. Namun, mutaakhir ini, masyarakat banyak menjadikan air zam-zam itu sebagai salah satu bahan yang digunakan untuk mentahnik bayi mereka. Hakikatnya, ia bukanlah suatu kemestian, akan tetapi  sekadar untuk mengambil berkat dari air zam-zam tersebut.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Leave a Reply