Soalan

Assalamualaikum ustaz. Terdapat sebahagian kita yang melakukan solat di tingkat yang berasingan, walaupun ruang di dewan solat masih kosong. Mohon penjelasan tentang perkara ini.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perbuatan memenuhkan dan meluruskan saf merupakan perbuatan yang dituntut sebelum seseorang itu mendirikan solat. Ini kerana, terdapat banyak hadith yang menceritakan akan kelebihan perbuatan tersebut. Selain itu, perbuatan ini termasuk di dalam perkara yang sunat dilakukan sebelum solat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 236).

Antara hadis yang menyebut tentang perkara ini adalah, riwayat daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyambung saf maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf maka Allah akan memutuskannya.”

Riwayat Abu Daud (666) dan Ahmad (5724)

Hadith ini membicarakan berkaitan kepentingan meluruskan saf ketika solat dan memenuhi ruang saf yang kosong adalah termasuk di dalam meluruskan saf. Di dalam Aun al-Ma’bud, penulis menyatakan ketika mensyarahkan hadith ini bahawa maksud sesiapa yang menyambung saf itu adalah datang pada saf tersebut serta memenuhi ruang kosong yang ada padanya. Adapun yang dimaksudkan dengan Allah menyambungnya adalah Allah SWT akan menyambungnya dengan rahmat-Nya. Barangsiapa yang memotong saf pula bermaksud sesiapa yang tidak datang ke saf tersebut dan tidak memenuhi ruang yang kosong itu atau meletakkan sesuatu benda yang menghalang (daripada dirapatkan saf). Selain itu juga, Allah akan memotongnya bermaksud terputus daripada rahmat Allah dan penjagaan-Nya yang sempurna. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 258/2).

Berdasarkan pertanyaan di atas beberapa perkara perlu difahami untuk menjawab persoalan ini. Kami mulakan dengan menyenaraikan syarat-syarat sah qudwah berdasarkan Mazhab al-Syafie secara umum:

  1. Makmum tidak boleh terkehadapan posisinya daripada imam.
  2. Makmum mestilah mengetahui perpindahan perbuatan imam.
  3. Makmum hendaklah berniat mengikut imam.
  4. Makmum hendaklah mengikut jenis solat imam yang sama bentuknya.[1]
  5. Makmum tidak boleh bercanggah dengan imam pada perbuatan sunat yang jelas melibatkan anggota seperti sujud sahwi dan tilawah.
  6. Makmum tidak boleh bercanggah dengan imam sehingga dua rukun, sama ada terkehadapan atau tertinggal.
  7. Hendaklah imam dan makmum itu ijtima’(berhimpun) di satu tempat.[2]

Syarat ijtima` ini berbeza antara solat yang dilaksanakan di masjid dan di luar masjid. Jika di masjid, antara syaratnya adalah hendaklah tiada penghalang untuk makmum sampai kepada imam walaupun perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat. Ini kerana masjid dibina untuk tujuan solat berjemaah, maka setiap hukum yang dilakukan di dalamnya mengambilkira keadaan berjemaah. (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/307; al-Bayan oleh al-Imrani, 4/139 dan al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 2/152).

Manakala bagi qudwah di luar masjid atau salah seorangnya, sama ada imam atau makmum, di luar masjid, syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  • Hendaklah tiada penghadang yang menegah daripada musyahadah (melihat kepada imam atau makmum yang sah qudwahnya dengan imam)
  • Hendaklah tiada penghalang bagi istitraq (boleh makmum berjalan sampai kepada imam tanpa perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat.)
  • Tidak melebihi 300 dzira’di antara imam di dalam masjid dan makmum di luarnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 295-297; Nail al-Raja’, hlm. 147).

Selain itu, Imam al-Nawawi  turut menyatakan: “Seorang makmum itu tidak boleh untuk mendahului imamnya dari sudut kedudukan. Sekiranya dia mendahului imam, maka batal solatnya menurut qaul jadid. Dan tidak memudharatkan (jemaah) sekiranya kedudukannya selari dengan imam, dan sunat untuk dia berada di belakang sedikit, dan yang diambil iktibar adalah mengikut kedudukan tumit.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 40).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami bahagikan situasi seperti berikut:

Pertama: Imam dan Makmum di dalam Masjid yang Sama

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan pada bab sekiranya makmum dan imam di dalam masjid yang sama: Sah mengikut imam secara ijma’ walaupun jarak yang jauh dan bangunan mempunyai laluan serta pintu yang menghubungkan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/313).

Maka, berdasarkan apa yang disebutkan di atas, sah qudwah makmum yang mengikuti imam dalam masjid dengan jarak yang jauh dengan syarat berhubung atau mempunyai laluan yang boleh dilalui tanpa halangan.


Kedua: Makmum di atas Bumbung Bangunan Sekeliling Masjid, dan Imam Berada di dalam Masjid

Kata Imam al-Nawawi: “Sekiranya makmum berada di platform yang tinggi dan imamnya di bawah, atau sebaliknya, (sah qudwah) dengan syarat selari sebahagian badan makmum dan dengan badan imam.” Beliau berkata lagi: “makruh kedudukan makmum lebih tinggi daripada imam atau sebaliknya, melainkan terdapat keperluan maka hukumnya adalah disunatkan.” (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/41).

Manakala Imam Ibn Imad pula berkata: “Jika solat di atas bumbung yang berada di luar masjid maka ikutannya tidak sah kerana berlainan bangunan dan kerana tidak bertentangan imam dengan makmum. Demikian dinaskan oleh Syeikh Abu Muhammad, jika berdiri makmum di halaman yang di dalam masjid maka hukumnya seperti masjid juga. Adapun halaman di luar masjid, maka berkata Imam al-Rafi’ie sesungguhnya jumhur ulama’ telah memberi hukumnya seperti masjid pada sah ikutan makmum dengan imamnya.” (Lihat al-Qaul al-Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam, hlm. 90).


Kesimpulan

Berdasarkan hujah di atas, kami berpendapat bahawa sekiranya terdapat ruang kosong di dewan solat utama, maka perlulah untuk dipenuhkan terlebih dahulu berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kamu, sesunggunya meluruskan saf itu sebahagian daripada (urusan) mendirikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (723)

Hal ini kerana, ruang solat dalam masjid surau adalah tempat solat, maka perlulah dipenuhkan terlebih dahulu ruang utama tersebut.

Namun begitu, sekiranya pengawal keselamatan yang sedang bertugas terpaksa untuk solat di tempat yang jauh dari dewan solat utama kerana sedang bertugas, maka kami katakan sah solatnya dan diberi kelonggaran dalam hal merapatkan saf.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

[1] Sebagai contoh, tidak boleh orang yang menunaikan solat fardhu mengikut imam yang melakukan solat jenazah atau solat gerhana. Begitu juga sebaliknya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 296)

[2] Ini kerana berbeza bangunan mewajibkan iftiraq (perpisahan tempat). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/316).

Leave a Reply