Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukum seseorang yang bekerja sebagai penghantar makanan (rider) mengambil dan menghantar makanan haram seperti sup babi dari restoran tidak halal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302). Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Selain itu, Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya, perniagaan yang mengandunginya dan membantu hal-hal yang melibatkannya. Maka, Allah SWT telah mengharamkan daging babi, maka diharamkan juga berjual beli dengannya, menghidangkannya dan membantu untuk memakannya.  Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ ۗ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.

(Surah al-Ma’idah: 3)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’

Riwayat al-Bukhari (2236)

Sesungguhnya Allah SWT tidak mengharamkan sesuatu melainkan Dia mencukupkan (manusia) dengan penggantinya daripada jenisnya yang diharuskan. Maka Dia mengharamkan zina tetapi mengharuskan nikah, mengharamkan daging babi tetapi mengharuskan daging unta, mengharamkan sutera (untuk lelaki) tetapi mengharuskan bulu biri-biri dan kapas, mengharamkan rampasan dan rompakan tetapi menhalalkan ghanimah (harta rampasan perang), mengharamkan pencerobohan dan penindasan tetapi mengharuskan jihad dan begitulah seterusnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/390).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Dr Solah al-Sawi yang pernah ditanyakan mengenai soalan seumpamanya menyebutkan, hukum asal membawa atau memindahkan daging babi adalah tidak dibolehkan. Hal ini kerana perkara tersebut dilihat seolah-olah membantu kepada perkara maksiat. Sekiranya hal tersebut berterusan, maka dia hendaklah mencari alternatif atau pekerjaan lain yang halal yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Tuhannya. Adapun jika hal itu adalah sesuatu yang mendatang atau berlaku secara tiba-tiba yang tidak dapat dielakkan sedangkan asas pekerjaannya melibatkan pemindahan atau penghantaran benda-benda yang baik (yakni yang halal), maka diharapkannya mendapat pengampunan Allah SWT dengan syarat dia mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang diharamkan itu. (Lihat Mausu‘ah Fatawa al-Mughtaribin, 5/445).

Seterusnya pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang diharamkan boleh disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam. Hal ini sebagaimana fatwa Imam al-Ghazali yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya dari segi boleh dikongsi bersama orang Islam.

Begitu juga Imam al-Ghazali menukilkan daripada Mu‘awiyah bin Abu Sufyan, dan selainnya daripada kalangan ulama salaf seperti Imam Ahmad bin Hanbal, al-Harith al-Muhasibi dan ulama yang warak selain mereka berdua, kerana tidak dibenarkan untuk menghapuskan harta haram itu dan mencampakkannya ke dalam laut. Maka tiada pilihan melainkan digunakan untuk kepentingan atau maslahat umat Islam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/351).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang Muslim yang bekerja sebagai penghantar makanan (rider) tidak boleh menghantar makanan berasaskan babi dan barang-barang haram yang lain seperti arak sekalipun kepada pelanggan yang bukan Islam. Jika perkara tersebut berterusan, maka pada masa yang sama dia hendaklah berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Allah SWT.

Walau bagaimanapun, sekiranya asas pekerjaannya itu adalah baik, di mana dia sepatutnya hanya menghantar makanan-makanan yang halal dan boleh memilih untuk tidak menghantar makanan yang tidak halal, tetapi kadang-kadang dalam situasi tertentu dia terpaksa juga menerima pesanan untuk menghantar makanan yang tidak halal kerana dikhuatiri jika kerap menolak untuk menghantar makanan (yang tidak halal) atau seumpamanya, maka dia boleh dibuang daripada pekerjaan tersebut. Jadi, ketika dalam situasi tersebut, apatah lagi dalam keadaan yang amat sukar memperolehi pekerjaan untuk menampung hidupnya, maka tidak mengapa dan semoga Allah SWT mengampuni ketergelincirannya itu. Akan tetapi dia hendaklah mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang haram tersebut, lalu disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:14 April 2023 bersamaan 23 Ramadhan 1444H

Leave a Reply