Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah status haiwan buruan yang berjaya ditembak tetapi masih ada kekuatan untuk melarikan diri bersembunyi, kemudian apabila ia ditemui, ia telah pun mati? Adakah ia halal untuk dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

Secara umumnya, haiwan buruan yang berjaya dipanah atau ditembak lalu ia mati, yang telah disebutkan nama Allah SWT sebelumnya, maka ia adalah halal untuk dimakan. Hal ini sebagaimana daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, katanya: Aku bertanya:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا. وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ. وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المــُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah.’

Riwayat al-Bukhari (5478)

Hadith di atas dapat difahami bahawa haiwan buruan yang terkena anak panah yang dilempar dengan bantuan busur dan disebutkan nama Allah ketika hendak melempar anak panah tersebut adalah halal untuk dimakan. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/ 2645). 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Dr. Yusuf al-Qaradhawi ada menyebutkan dalam kitabnya, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hlm. 68) bahawa apabila pemburu sudah melepaskan anak panahnya dan mengenai sasaran binatang buruan, tetapi binatang buruan itu lari bersembunyi dan apabila ditemui semula, binatang itu sudah mati. Boleh jadi perkara tersebut adalah selepas beberapa hari. Dalam isu ini, binatang buruan itu boleh menjadi halal dengan beberapa syarat, iaitu:

  1. Binatang buruan itu tidak jatuh ke dalam air. Nabi SAW bersabda:

إذا رَمَيْتَ سَهْمَكَ، فاذْكُرِ اسْمَ اللهِ، فإنْ وجَدْتَهُ قدْ قَتَلَ فَكُلْ، إلّا أنْ تَجِدَهُ قدْ وقَعَ في ماءٍ، فإنّكَ لا تَدْرِي الماءُ قَتَلَهُ، أوْ سَهْمُكَ

Maksudnya: “Jika kamu melepaskan anak panahmu dan telah menyebut nama Allah, jika kamu mendapatinya sudah mati, maka makanlah ia melainkan kamu mendapatinya telah jatuh ke dalam air, maka kamu tidak mengetahui adakah air yang membunuhnya atau anak panahmu?”

Riwayat Muslim (1929)

  1. Tidak terdapat pada binatang buruan itu kesan lain selain daripada kesan anak panah pemburu dan dia mengetahui (meyakini) bahawa bekas itulah yang menyebabkan kematian binatang buruan tersebut. Terdapat riwayat daripada ‘Adi bin Hatim R.A: katanya:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّا أَهْلُ الصَّيْدِ، وَإِنَّ أَحَدَنَا يَرْمِي الصَّيْدَ، فَيَغِيبُ عَنْهُ اللَّيْلَةَ وَاللَّيْلَتَيْنِ فَيَبْتَغِي الْأَثَرَ فَيَجِدُهُ مَيْتًا وَسَهْمُهُ فِيهِ، قَالَ: إِذَا وَجَدْتَ السَّهْمَ فِيهِ وَلَمْ تَجِدْ فِيهِ أَثَرَ سَبُعٍ وَعَلِمْتَ أَنَّ سَهْمَكَ قَتَلَهُ فَكُلْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami adalah orang yang biasa memburu, dan salah seorang di antara kami memanah haiwan buruan, kemudian ia menghilang daripadanya satu malam dan dua malam. Kemudian dia mencarinya, dan mendapatinya telah mati dan anak panahnya masih berada pada haiwan tersebut. Baginda bersabda: ‘Apabila kamu mendapati anak panah masih berada padanya dan tidak mendapati adanya kesan binatang buas (pada haiwan itu) dan dia mengetahui (meyakini) bahawa anak panahnya telah membunuh haiwan tersebut, maka makanlah.’”

Riwayat al-Nasa’i (4300)

  • Binatang buruan itu belum lagi sampai kepada tahap menjadi busuk dan rosak. Hal ini kerana fitrah manusia yang sihat dan normal pasti menganggap buruk sesuatu yang berbau busuk dan merasa jijik dengannya. Lebih-lebih lagi berkemungkinan ia boleh memberi mudarat (penyakit) jika memakannya. Berkenaan hal ini, Nabi SAW bersabda kepada Abu Tha‘labah al-Khusyani:

إذا رَمَيتَ الصَّيدَ فأدركتَه بعد ثلاثِ ليالِ وسهمُك فيه، فكُلْهُ ما لم يُنْتِن

Maksudnya: “Jika kamu melepaskan anak panahmu kepada binatang buruan, (lalu binatang buruan itu hilang) kemudian kamu menjumpainya selepas tiga malam dan anak panahmu masih berada pada binatang tersebut, maka makanlah binatang buruan itu selagi ia belum busuk.”

Riwayat Abu Daud (2861); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Daud (2861) menilainya sebagai sahih.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa haiwan buruan yang berjaya dipanah atau ditembak, lalu ia masih kuat untuk melarikan diri dan hanya dijumpai kemudiannya selepas beberapa hari dalam keadaan sudah mati, adalah halal untuk dimakan kerana kecederaan yang terkenanya hasil daripada panahan atau tembakan itulah sembelihannya. 

Sekalipun begitu, kehalalannya itu terikat dengan syarat haiwan itu tidak dijumpai terjatuh dalam air, dan tidak terdapat pada haiwan tersebut kesan lain seperti kesan binatang buas, kesan terjatuh dari tempat tinggi dan seumpamanya yang boleh menyebabkan kematiannya, selain daripada kesan panahan atau tembakan daripada pemburu dan pemburu mengetahui (meyakini) bahawa kesan tembakan atau panahan itulah yang menyebabkan kematian haiwan tersebut. Begitu juga tidak terdapat pada haiwan itu bau busuk atau dagingnya sudah rosak. Apatah lagi kebiasaannya bau busuk menunjukkan dagingnya itu sudah rosak dan dikhuatiri memberi mudarat kepada pemakannya. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:14 April 2023 bersamaan 23 Ramadhan 1444H

Leave a Reply