Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Adakah halal haiwan yang diburu dengan menggunakan senapang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

Secara umumnya, alat-alat yang digunakan untuk memburu ada dua jenis:

Pertama: Semua alat yang boleh melukakan, seperti anak panah, pedang dan lembing sebagaimana ditunjukkan dalam ayat al-Quran al-Karim:

تَنَالُهُۥٓ أَيۡدِيكُمۡ وَرِمَاحُكُمۡ

Maksudnya: “Yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 94)

Kedua: Binatang yang boleh melukakan, yang boleh dilatih dan mengikut arahan tuannya seperti anjing pemburu. Firman Allah SWT:

قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۙ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ

Maksudnya: “Katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah SWT kepada kamu.’”

(Surah al-Ma’idah: 4)

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, memburu dengan menggunakan alat-alat atau senjata termasuklah senapang bagi menghalalkan haiwan yang diburu mempunyai dua syarat:

Pertama, pemburu mestilah menyebut nama Allah SWT pada alat tersebut ketika menggunakannya atau memukul dengannya bertepatan dengan ajaran Nabi SAW berdasarkan hadith-hadith. Di antaranya riwayat daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, katanya: Aku bertanya:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا. وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ. وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المــُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah.’

Riwayat al-Bukhari (5478)

Hadith di atas dapat difahami bahawa haiwan buruan yang terkena anak panah yang dilempar dengan bantuan busur dan disebutkan nama Allah ketika hendak melempar anak panah tersebut adalah halal untuk dimakan. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/ 2645). 

Ini juga jelas dapat dilihat melalui hadith ‘Adi bin Hatim R.A yang bertanya kepada Nabi SAW:

أُرْسِلُ كَلْبِي فَأَجِدُ مَعَهُ كَلْبًا آخَرَ؟ قَالَ: لاَ تَأْكُلْ، فَإِنَّكَ إِنَّمَا سَمَّيْتَ عَلَى كَلْبِكَ وَلَمْ تُسَمِّ عَلَى آخَرَ

Maksudnya:Aku telah melepaskan anjingku dan (kemudiannya) aku mendapati ada anjing lain bersamanya? Baginda bersabda: ‘Janganlah kamu makan kerana sesungguhnya engkau telah menyebut (nama Allah) untuk anjingmu sahaja dan engkau tidak menyebut (nama Allah) untuk anjing yang lain.’

Riwayat al-Bukhari (5476)

Oleh itu, termasuklah juga alat-alat pemburuan yang lain seperti lembing dan seumpamanya, wajib disebut nama Allah SWT sebelum melemparkannya atau melepaskannya.

Kedua, senjata itu mestilah tertusuk ke dalam badan binatang buruan tersebut lalu mati dengan sebab ketajaman dan tikaman alat tersebut bukan kerana beratnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat ‘Adi bin Hatim R.A, katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang (hukum memburu dengan menggunakan) al-Mi‘radh. Lalu Baginda bersabda:

إِذَا أَصَبْتَ بِحَدِّهِ فَكُلْ، فَإِذَا أَصَابَ بِعَرْضِهِ فَقَتَلَ فَإِنَّهُ وَقِيذٌ فَلاَ تَأْكُلْ

Maksudnya: “Sekiranya kamu memperolehi (binatang buruan tersebut) dengan bahagiannya yang tajam (yakni yang terkena pada haiwan itu), maka makanlah ia. Tetapi sekiranya ia mengenai haiwan buruan itu dengan sisinya (yang tumpul) lalu membunuhnya, maka sesungguhnya ia ialah waqiz. Oleh itu, janganlah kamu makan.”

Riwayat al-Bukhari (5476)

Al-Qastalani menyebutkan, hadith ini menjelaskan mengenai hukum berburu dengan alat yang dipanggil mi‘radh iaitu kayu yang bahagian atasnya seperti sampak yang mana para penunggang kuda akan melemparnya ke arah binatang buruan. Boleh jadi besi itu akan mengenai haiwan tersebut lalu membunuhnya dan menumpahkan darahnya. Oleh itu, harus untuk memakan haiwan itu sebagaimana (ia terkena) pedang dan tombak. Namun, boleh jadi juga kayu yang akan mengenainya, lalu menghempapnya (dan ia mati disebabkan oleh perkara tersebut). 

Maka Rasulullah SAW bersabda, jika kamu memperolehi binatang buruan itu dengan bahagian mi‘radh yang tajam, maka makanlah ia kerana sesungguhnya ia adalah sembelihannya. Namun, jika mi‘radh itu mengenai binatang pada bahagian sisinya iaitu selain bahagian bucunya yang tajam, lalu ia terbunuh (dengan sebab tersebut), maka ia adalah waqiz kerana ia semakna dengan kayu yang berat atau batu. Oleh sebab itu, binatang tersebut tidak boleh dimakan kerana ia sudah dikira sebagai bangkai. (Lihat Irsyad al-Sari, 8/257).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, ketika menjelaskan berkenaan hadith ‘Adi bin Hatim di atas menyebutkan, hadith ini jelas menunjukkan bahawa, yang dikira ialah apabila alat itu boleh menembusi badan, meskipun matinya dengan sebab alat yang berat, tetapi dapat menembusi. Dengan itu, bolehlah dihukumkan bahawa binatang buruan yang ditembak dengan senapang, pistol dan seumpamanya adalah halal. Ini kerana, ia boleh menembusi jasad binatang buruan dengan lebih hebat berbanding panah, tombak dan pedang.

Adapun hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang menyatakan:

لاَ تَأْكُلْ بِالبُنْدُقَةِ إِلاَّ مَا ذَكَّيتَ

Maksudnya: “Janganlah kamu makan binatang buruan yang ditembak mati kecuali kamu sempat menyembelihnya.”

Riwayat Ahmad (19392)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada pendapat Ibn Umar R.Anhuma berkenaan haiwan yang  mati disebabkan oleh bunduqah (peluru) bahawasanya ia adalah mauquzah (binatang yang dipukul). Justeru, maksud bunduqah di sini ialah pelurunya dibuat daripada tanah yang kering. Kemudian ditembak binatang itu dengannya. Oleh itu, ia adalah sesuatu yang lain (langsung tidak sama) dengan peluru yang dikenali sekarang. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 66).

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa perkataan bunduq (الْبُنْدُقُ) terdapat banyak makna. Ada di antara maknanya merujuk kepada sesuatu yang dimakan. Ada juga di antara maknanya merujuk kepada apa yang dibuat daripada tanah liat dalam bentuk bulat atau peluru yang digunakan untuk memburu. Kata tunggalnya disebut sebagai bunduqah (بُنْدُقَةٌ), manakala kata jamaknya pula dipanggil banadiq (بَنَادِقُ).  Makna yang dikehendaki di sini ialah apa yang dilemparkan untuk memburu. 

Adapun apa yang diperbuat daripada tanah liat, maka para fuqaha’ telah bersepakat bahawa haiwan yang dibunuh dengan peluru tanah liat yang berat adalah tidak halal untuk memakannya kerana ia dibunuh dengan sebab beratnya dan bukan dengan sebab ketajamannya. 

Ibn ‘Abidin menukilkan daripada Qadhi Khan yang menyatakan, tidak halal haiwan buruan yang diburu dengan bunduqah (peluru), batu, mi‘radh, tongkat dan seumpamanya, sekalipun ia melukakan kerana ia tidak menusuk melainkan sesuatu daripada alat tersebut telah ditajamkan dan dipanjangkan seperti anak panah, serta ia boleh untuk dilemparkan, maka jika demikianlah keadaannya dan ia menusuk dengan sebab ketajamannya, haiwan itu adalah halal untuk dimakan. Selain itu, luka yang terjadi pada bahagian batin haiwan (dalamnya) dan tidak menusuk pada bahagian zahirnya (luarnya yang kelihatan) adalah tidak halal kerana tidak tercapai dengannya maksud ‘menumpahkan darah’. Sesuatu yang berat daripada jenis besi dan selain besi adalah sama, jika ia menusuk (menumpahkan darah), maka halal haiwan buruan tersebut. Sekiranya tidak menusuk, maka tidak halal untuk memakannya. Seterusnya ulama mazhab Maliki berpendapat, tidak halal haiwan buruan yang diburu dengan peluru yang diperbuat daripada tanah liat kerana ia tidak melukakan, sebaliknya hanya meremukkan dan memecahkan.

Selain itu, Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj ada menyebutkan, jika seseorang membunuh haiwan buruan dengan benda berat atau dengan sebab beratnya sesuatu yang tajam seperti peluru dan cemeti, maka hukumnya adalah haram — yakni untuk memakannya. Manakala al-Bujairimi pula menyatakan, Ibn ‘Abd al-Salam telah mengeluarkan fatwa melarang (haram) melontar dengan peluru dan inilah pendapat yang telah dijelaskannya dalam al-Zakha’ir. Akan tetapi Imam al-Nawawi mengeluarkan fatwa menyatakan keharusan untuk melontar dengan peluru. Sebahagian mereka mengikatnya dengan haiwan yang kebiasaannya tidak terus mati apabila terkenanya seperti angsa, namun sekiranya ia mudah mati seperti burung ‘usfur, maka ia adalah haram. Sekiranya peluru mengenainya, lalu ia terbunuh disebabkan oleh kekuatannya atau leher haiwan itu terpotong, maka hukumnya adalah haram (untuk dimakan). Perincian ini adalah pendapat yang muktamad.

Kenyataan seumpamanya juga ada disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini, di mana beliau menyebutkan, sekiranya haiwan itu kebiasaannya mati disebabkan olehnya seperti burung ‘usfur dan haiwan liar yang kecil, maka haram menggunakannya sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim. Sekiranya ada kemungkinan ia berlaku begitu atau begini (yakni boleh jadi ia mati ataupun tidak mati), maka adanya kemungkinan tersebut mewajarkannya untuk diharamkan.

Seterusnya, dalam Kassyaf al-Qina‘ dinyatakan bahawa haiwan buruan itu mesti dilukakan (ditusuk) dengan benda tajam. Sekiranya haiwan itu mati dengan sebab beratnya (alat yang digunakan), maka ia tidak boleh untuk dimakan seperti (menggunakan) jaring, jerat, bunduqah (peluru), tongkat dan batu yang tidak tajam. Al-Buhuti menambah, sekalipun ia meretakkannya (mematahkannya), atau membakarnya, atau terputus halkum dan mari’nya.

Kesemua perbahasan ini berkisar mengenai peluru yang diperbuat daripada tanah liat atau yang diperbuat tanpa menggunakan bahan api. Adapun peluru yang diperbuat daripada besi dan dilepaskan dengan menggunakan bahan api (tembakan), maka para fuqaha berbeza pendapat mengenai hukumnya. Ulama mazhab Hanafi dan mazhab Syafi‘i menjelaskan bahawa ia adalah diharamkan. 

Ibn ‘Abidin menyebutkan, tidak tersembunyi lagi bahawa luka yang terhasil kerana peluru adalah disebabkan oleh pembakaran dan beratnya yang didorong melalui tembakan yang dilepaskan. Apatah lagi, ia tidak mempunyai ketajaman. Inilah juga pendapat yang difatwakan oleh Ibn Nujaim. Manakala al-Zaila‘i pula berpendapat, haiwan buruan itu mesti dilukakan (ditusuk) dan peluru tidak melukakan (menusuk kerana ketajamannya).

Kemudian, al-Bujairimi berpendapat, peluru yang diperbuat daripada besi dan dilepaskan dengan menggunakan bahan api (tembakan) adalah diharamkan secara mutlak, selagi mana penembak itu tidak mahir dan mengambil masa yang lama untuk mensasarkan ke arah sayapnya, barulah mengenainya. Manakala al-Qalyubi pula berpendapat, memburu dengan menggunakan peluru pada haiwan yang mudah mati disebabkan olehnya seperti burung ‘usfur adalah diharamkan, tidak kira memburu dengan menggunakan peluru yang dilepaskan dengan bahan api (tembakan) ataupun tidak.

Walau bagaimanapun, al-Dardir daripada ulama mazhab Maliki menjelaskan keharusan menggunakannya, di mana beliau menyebutkan, haiwan yang dibunuh dengan menggunakan tembakan peluru adalah halal untuk dimakan kerana tembakan peluru adalah lebih kuat daripada senjata lain, dan sebahagian daripada mereka berpegang dengan pendapat ini. Kemudian al-Dusuqi memperincikannya lagi dengan menyebutkan, memburu haiwan dengan menggunakan tembakan peluru tidak dijumpai perbahasan mengenainya dalam nas atau teks ulama terdahulu disebabkan oleh barunya muncul seiring dengan kemunculan mesiu (gunpowder) pada pertengahan kurun ke-8.

Selanjutnya, ulama terkemudian juga berselisih pendapat mengenai hukumnya. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, ia tidak dibenarkan kerana mengqiaskannya dengan peluru yang diperbuat daripada tanah liat. Ada juga dalam kalangan mereka yang mengharuskan penggunaannya disebabkan ia mengalirkan darah dan mempercepatkan kematian yang mana sembelihan disyariatkan kerananya. Manakala mengqiaskannya dengan peluru tanah liat adalah tidak tepat disebabkan adanya perbezaan antara keduanya iaitu terdapatnya tusukan dan kekuatan (ketajaman) pada peluru (yang diperbuat daripada besi dan ditembak dengan bahan api) secara pasti, berbeza sama sekali dengan peluru tanah liat yang tidak ada perkara tersebut (tusukan dan ketajaman) sebaliknya ia meremukkan dan memecahkan (dengan kekuatan beratnya). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/135-136)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa haiwan yang diburu dengan menggunakan senapang atau alat senjata moden seumpamanya adalah halal untuk dimakan. Apatah lagi tembakan peluru moden yang menembusi jasad binatang buruan adalah lebih hebat berbanding tusukan panah, tombak dan pedang. 

Di samping itu, kehalalan haiwan buruan itu juga terikat dengan syarat peluru yang digunakan mesti menembusi jasad haiwan tersebut dan mengalirkan darahnya serta mati disebabkan oleh ketajamannya. Begitu juga sebelum menembak haiwan buruan bagi menghalalkannya, penembak hendaklah menyebut nama Allah SWT ketika menembak atau menggunakannya. Jika cukup kedua-dua syarat ini, maka haiwan itu halal untuk dimakan. 

Namun, sekiranya peluru yang digunakan bukan jenis tajam yang menembusi jasad haiwan, sebaliknya ia hanya meledak dan membunuh haiwan melalui hentaman daripadanya, maka sekiranya haiwan itu mati disebabkan oleh peluru tersebut, ia adalah haram untuk dimakan dan dihukumkan sebagai bangkai. Sekiranya ia masih lagi mempunyai nyawa (hayah mustaqirrah), maka pemburu hendaklah segera menyembelih binatang buruan tersebut seperti biasa iaitu pada bahagian leher. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:14 April 2023 bersamaan 23 Ramadhan 1444H

Leave a Reply