Soalan: 

Apakah hukum memakai gelang kaki? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 Kami mulakan perbahasan ini dengan firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A’raf, 31)

Syeikh al-Sa’di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini merupakan ayat perintah untuk menutup aurat ketika solat. Ayat ini juga menjelaskan tentang memakai pakaian yang baik dan bersih, arahan menutup aurat dan penggunaan perhiasan untuk kecantikan. (Lihat Taisir al-karim al-Rahman fi Tafsir kalam al-Mannan, 1/287)

 

Hukum Memakai Gelang Kaki

Hiasan kecantikan merupakan suatu fitrah bagi perempuan, akan tetapi mestilah ia tidak melanggar apa-apa yang telah dilarang oleh syarak. Pada asalnya, hukum memakai perhiasan di badan, pakaian atau tempat adalah diharuskan, selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal berkenaan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90) 

Firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”

(Surah al-A’raf: 32)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Allah SWT melarang perempuan-perempuan yang menghentakkan kakinya agar gelang kaki itu berbunyi dan bertujuan untuk menarik perhatian lelaki, Firman Allah SWT:

وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur, 31)

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, pada zaman jahiliah, wanita-wanita akan memakai gelang gelang kaki dan menghentak-hentak kaki mereka agar mendapat perhatian golongan lelaki. Maka Allah SWT melarang kaum perempuan untuk melakukan perbuatan tersebut. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/49)

Selain itu, Imam al-Qurtubi menyatakan dalam tafsirnya, “Sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut (menghentak kaki) untuk tujuan bermegah-megah dengan perhiasan yang dia miliki, maka hukumnya makruh. Begitu juga, jika ia bertujuan untuk tabarruj serta menarik perhatian lelaki, maka perbuatan tersebut diharamkan.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/238)

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan: “Pemakaian gelang kaki dan menghentak kaki dengan mengeluarkan bunyi untuk menarik perhatian lelaki, maka perbuatan ini dilarang bagi menunjukkan perhiasan dan ini juga merupakan dalil larangan melunakkan suara bagi perempuan. (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 18/212)

Kesimpulan

Justeru itu, kami berpandangan sekiranya perempuan itu memakai gelang kaki untuk menarik minat suaminya maka hukumnya harus. Selain itu, bagi kanak-kanak perempuan, jika tujuannya untuk pengawasan, maka hukumnya juga diharuskan. Begitu juga, sekiranya dengan memakai kasut tumit tinggi, ia dapat menarik perhatian lelaki, maka hukumnya juga haram. Hal ini kerana ia termasuk di dalam firman di atas. Oleh itu, jika sekiranya ia bukan untuk tujuan untuk tabarruj, ujub, riak, menarik perhatian lelaki, serta tidak berlebih-lebihan maka ianya dibolehkan. Terdapat juga saranan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin al- Ash RA:

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَتَصَدَّقُوا وَالْبَسُوا مَا لَمْ يُخَالِطْهُ إِسْرَافٌ أَوْ مَخِيلَةٌ ‏

Maksudnya: “Makan dan minumlah, bersedekah dan berpakaianlah tanpa ada unsur berlebihan atau sia-sia.”

Riwayat Ibn Majah (3605)

Semoga kita diberi kefahaman berkenaan dengan agama kita seterusnya dapat mengamalkan mengikut neraca syariat. Amin.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H

Leave a Reply