Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, sedikit syubhah pada saya dan mohon ustaz beri sedikit pencerahan iaitu berkaitan rasuah agar saya tidak keliru dalam amar makruf dan nahi mungkar.

  1. Adakah saya dikira telah memberi rasuah dan berdosa sekiranya ada anak-anak bukan Islam yang berumur bawah 18 tahun dan mereka secara sukarela untuk masuk Islam tanpa paksaan tetapi mendapat halangan penjaga mereka. Adakah dikira rasuah sekiranya saya dengan rela hati dan dengan wang saya sendiri telah berjanji untuk menampung keperluan penjaga tersebut dengan syarat hanya membenarkan anak-anak mereka untuk beramal dengan Islam. Dan penjaga tersebut bersetuju tanpa ada paksaan. 
  2. Syubhah yang kedua iaitu ada yang membenarkan perkara di atas berdalilkan kisah sahabat Nabi SAW yang mahu berhijrah tetapi dihalang oleh orang musyirikin Mekah lalu sahabat Nabi SAW ini memberitahu dimana hartanya disimpan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, perlu kita fahami takrif dan definisi rasuah dengan lebih terperinci.

Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)

Ibn al-Athir pula menyebut: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan/hajat dengan cara pujukan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athr, 2/226)

Dari segi istilah, al-risywah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627)

Istilah rasuah telah digunapakai dalam bahasa Melayu yang bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu menyogok, menyuap. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Syed Hussein al-Attas dalam buku Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi, menyatakan rasuah merupakan penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi.

Manakala menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.

Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.” Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”

Adapun hakikat rasuah, maka sudah tentu ia adalah haram berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abdullah  ‘Amru R.Anhuma, katanya:

 لَعَنَ رَسُولُ اَللَّهِ ‏- صلى الله عليه وسلم ‏-اَلرَّاشِي وَالْمُرْتَشِيَ  

Maksudnya: “Rasullullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Abu Dawud (3580), Tirmizi (1337), Ahmad (6532), dan Ibn Majah (2313). Kata al-Tirmizi: Hasan Sahih

Daripada Thauban R.A:

وَزَادَ: «وَالرَائِشَ» يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

Dan menambah: “(الرَّائِشَ) Yang menjadi penghubung antara pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (22399), Ibn Abi Syaibah (22529) dan al-Bazzar (4160)

Adapun persoalan di atas, saya tidak menganggap sebagai rasuah tetapi membantu keluarga yang memerlukan bantuan dan keperluan untuk hidup. Bahkan, berdasarkan definisi yang dikemukakan maka isu persoalan saudara tidak termasuk dalam rasuah dan tidak terpakai.

Justeru, tidak timbul isu memberi rasuah di sini. Usaha anda menyampaikan dakwah dengan penuh hikmah dan toleransi juga boleh mendekatkan hubungan antara sesama manusia sehingga merentasi agama. 

Akhir kalam, saya berdoa kepada Allah SWT moga-moga usaha yang dilakukan oleh saudara diganjari pahala. Benarlah firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).”

(Surah Fussilat : 33)

Semoga kita semua menjadi hamba-hamba Allah SWT yang taat dan patuh kepada-Nya seterusnya mencapai mardhatillah. Amin.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply