Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu kemuskilan hingga sekarang belum dapat jawapan daripada mana-mana asatizah Apakah hukum makan haiwan tenuk atau dipanggil juga tapir? Ini kerana ada sebahagian kaum yang makan benda ini. Harap ustaz dapat membantu memberi pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499).

Definisi Tapir

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tapir ialah sejenis binatang liar, dan dipanggil juga sebagai tenuk.[1] Tapir dianggap sebagai fosil hidup kerana ia tidak banyak berubah sejak evolusi mereka, lebih daripada 50 juta tahun yang lalu, dan dianggap sebagai salah satu mamalia besar yang paling primitif di dunia. Secara umumnya, Tapir moden semuanya mempunyai muncung panjang, dikenali sebagai probosis, iaitu omnidirectional. Mereka menggunakannya untuk mengumpul beri, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan lain dari semua kawasan sekitar. Mulut mereka mengandungi antara 42 dan 44 gigi yang sebahagian besarnya rata untuk membantu mengisar tumbuhan dan buah-buahan.

Gambar atas: Tapir Malayan

Selain daripada hidung, haiwan ini mempunyai saiz dan bentuk yang serupa dengan babi hutan atau badak sumbu. Mereka boleh mencapai lebih daripada enam kaki panjang dan hampir tiga kaki tinggi. Haiwan ini yang dewasa mempunyai berat antara 400 hingga 800 paun dan mempunyai kulit yang keras yang menjadikan mereka tahan terhadap banyak pemangsa yang berasal dari Amerika Selatan, India, dan Asia.Haiwan ini secara amnya adalah makhluk yang bersendirian. Mereka akan berkumpul dalam kumpulan kecil, untuk membiak dan untuk interaksi sosial. Anak yang baru dilahirkan akan kekal bersama ibu mereka sehingga mereka mencapai umur enam hingga lapan bulan. Selepas itu, ia akan pergi mencari makanan sendiri dan ibu akan membesarkan pula anak yang lain.

Terdapat empat spesies haiwan ini yang masih hidup atau wujud:

  • Tapirus terrestris, atau Tapir Amerika Selatan.
  • Tapirus pinchaque, atau tapir berbulu.
  • Tapirus indicus, atau tapir Malayan
  • Tapirus bairdii, atau tapir Baird.

Gambar atas: Tapir Baird

Tapir mempunyai habitat asal yang pelbagai bergantung kepada spesies mana ia dan di mana ia ditemui. Contohnya, spesies Amerika Selatan, nama saintifik Tapirus terrestris, tinggal di dataran berumput Brazil, Venezuela, Colombia, Argentina, Peru, Ecuador, dan Guiana. Sebaliknya, Tenuk Baird (Tapirus bairdii), berkeliaran di padang rumput Mexico, Amerika Tengah, dan bahagian utara Amerika Selatan. Tapir Gunung lebih kecil dan lebih berbulu daripada jenis-jenis yang lain, dan ia tinggal di pergunungan Andes. Tapir India atau Asia ditemui di Kemboja, Indonesia, dan Laos. Ia juga telah dilihat di Malaysia, Myanmar, Thailand, dan Vietnam. Haiwan ini suka mencari makan di dalam hutan dan hutan hujan di negara-negara tersebut.

Gambar atas: Tapir Amerika Selatan

Semua spesies tapir adalah herbivor. Dalam erti kata lain, makanan mereka hanyalah rumput, biji-bijian, buah-buahan, dan tumbuhan-tumbuhan lain. Probosis (belalai) makhluk ini boleh bergerak ke semua arah yang berbeza untuk meraih daun dan buah yang rendah yang mungkin tidak dapat dicapai oleh haiwan lain. Haiwan ini tidak makan daging, jadi giginya digunakan semata-mata untuk mengisar makanan berunsurkan tumbuh-tumbuhan.

Haiwan ini mempunyai kulit yang keras di belakang dan lehernya yang membantu melindunginya daripada banyak pemangsa yang mungkin ingin menyasarkannya sebagai sumber daging. Seperti mana yang diketahui, buaya akan menyerang mereka semasa mereka berkubang di dalam paya dan lubang lumpur atau semasa cuba menyejukkan diri di tasik dan sungai. Begitu juga kucing hutan liar yang berkeliaran di dataran berumput di Amerika Tengah atau hutan di Amerika Selatan dan Asia juga mungkin akan memburu haiwan ini. Contohnya, harimau, jaguar, dan puma termasuk dalam tiga jenis kucing besar liar yang memburu tapir. Tambahan lagi, orang ramai telah memburu tapir selama berabad-abad untuk mendapatkan bukan sahaja dagingnya tetapi juga kulitnya. Kulit tapir yang tahan lasak menjadikan mereka sangat berharga untuk kerja kulit di beberapa bahagian Asia dan India.

Gambar atas: Tapir gunung atau tapir berbulu

Semua spesies tapir sedang diancam kepupusan. Tiada satu pun daripada empat spesies itu mempunyai populasi lebih besar daripada 4,500 di alam liar. Para saintis percaya bahawa Tapir Malayan mungkin mempunyai populasi serendah 3,000 yang tinggal di dunia. Berbanding tenuk baird yang lebih baik sedikit iaitu pada 4,500 haiwan.[2]

Hukum memakan tapir

Mengenai hal ini, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102); Syeikh al-Albani dalam al-Ta‘liqat al-Radhiyyah (3/24) menilainya sebagai sahih. Al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (1/176) menilai sanadnya sebagai hasan dan menyebutkan, semua perawinya adalah boleh dipercayai.

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada keterangan di atas, kami berpendapat bahawa tapir atau tenuk adalah halal dimakan. Lebih-lebih lagi, ia juga bukanlah tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Akan tetapi ia merupakan haiwan herbivor yang hanya makan rumput, pokok renek dan seumpamanya. Tapir juga tidak akan makan daging sama sekali. Selain itu, ia telah diburu oleh manusia selama berabad-abad bagi mendapatkan daging dan juga kulitnya.

Sekalipun begitu, di Malaysia, tapir atau tenuk ini termasuk dalam kategori haiwan yang dilindungi sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua (seksyen 3), daripada Akta 716. Dalam jadual tersebut telah menyenaraikan sejumlah famili Tapiridae iaitu Tapir Baird (Tapirus bairdii), Tapir Malayan (Tapirus indicus), Tapir Andean atau dikenali juga sebagai Tapir Gunung (Tapirus pinchaque) dan Tamir Amerika Selatan atau dikenali juga sebagai Lowland Tapir (Tapirus terrestris).[3]

Oleh sebab itu, tidak boleh sewenang-wenangnya memburu, menangkap atau menahan jerat terhadap haiwan-haiwan berkenaan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan dan hukuman sebagaimana yang telah termaktub di dalam akta berkenaan. Dalam isu ini, pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Kami juga mengambil kesempatan di sini menyatakan, dalam konteks kita sebagai rakyat Malaysia, sebaik-baiknya kita tidak terlibat dalam pemburuan tapir atau tenuk tersebut, sekalipun ia adalah halal. Hal ini kerana menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri dalam hal-hal yang baik, di samping mengelakkan diri daripada disabitkan atau dikenakan tindakan undang-undang. Apatah lagi, tapir termasuk dalam hidupan yang semakin pupus dan terancam. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenalinya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tapir. Diakses pada 13 April 2023.

[2] Lihat https://a-z-animals.com/animals/tapir/. Diakses pada 13 April 2023.

[3] Lihat https://www.wildlife.gov.my/images/document/Akta_716_BM.pdf. Diakses pada 14 April 2023.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H

Leave a Reply