Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, penduduk Taman Klebang Putra 1 di Ipoh berarak dengan laungan “bangun sahur” sambil diiringi paluan rebana dan selawat dalam membawa tradisi kampung ke taman bagi mengejutkan umat Islam di kawasan perumahan itu supaya bersahur kira-kira 3.30 pagi tadi. https://l.facebook.com/l.php?u=https%3A%2F%2Ftwitter.com%2Fbernamadotcom%2Fstatus%2F1642312049102557184%3Fs%3D46%26t%3DXakTHa8CMQ-IQ46CdzlkNw%26fbclid%3DIwAR3CUglHb_Tx376MbAT3maUSPyhlQKEwv5k8x_aJ1hiTD_xRvxSBQsPMHVc&h=AT1yfODSsLJJK3Svaib7sT5p_8-zsQ70H9WQwRx87bHF9rbfyo_gfzL9-nXXLkcgo3VIDQ8UhlwrqCMISpu30TyV_Uq-aWGaSlJF3DqNYlDovTqhF03t-1Y2mdieMKdmOCaamBzrOGAFiS_cffh4BQ 

Adakah amalan seperti ini sejajar dengan kehendak sunnah baginda Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagai mana yang kita maklum, asal ibadat adalah tawaqquf atau taabbudi, ia terhenti di atas perbuatan Rasulullah SAW dan perlakuannya. Dengan sebab itu, apabila membabitkan ibadat hendaklah mengikut nas dan amalan Rasulullah SAW. Sebaliknya, jika tidak, ia boleh membawa kepada bid’ah

Dalam persoalan di atas, saya berpendapat niat untuk mengejutkan umat Islam bersahur adalah amat baik. Tetapi, penggunaan seperti itu boleh jadi sesuai pada zaman dahulu dan kemungkinan kurang sesuai pada zaman sekarang. Ini kerana, mungkin boleh mengganggu sebahagian orang yang sudah bangun untuk beribadat atau kanak-kanak kecil yang sedang tidur. Di samping itu, terlalu banyak alternative yang boleh digunakan untuk seseorang itu bangkit dari tidur dalam melaksanakan ibadat sahur. 

Justeru, saya cadangkan alangkah lebih baik jika dibuat dua kali azan. Azan yang pertama satu jam sebelum masuk waktu sebenar dan azan yang kedua selepas masuk waktu. Ini juga diamalkan di Masjidil Haram kota suci Mekah al-Mukarramah dan Masjid Nabawi di al-Madinah al-Munawwarah. Sebuah hadith Rasulullah SAW daripada Ibnu Umar dan al-Qasim bin Muhammad, daripada Aisyah R.Anha:

أَنَّ بِلاَلاً، كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ ‏”‏‏.‏ قَالَ الْقَاسِمُ وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَ أَذَانِهِمَا إِلاَّ أَنْ يَرْقَى ذَا وَيَنْزِلَ ذَا‏.‏

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Bilal melakukan azan pada waktu malam, makas sabda Rasulullah SAW: Makan dan minumlah (bersahur) sehingga azannya Ibnu Ummi Maktum kerana dia tidak tidak azan kecuali sudah masuk fajar.” Al–Qasim berkata: Tiadalah di antara dua azan tersebut melainkan yang ini naik tempat ini (menara) dan yang ini turun daripada ini (menara).

Riwayat Bukhari (1918)

Saya syorkan dalam isu ini juga rujuklah kepada imam dan tokoh-tokoh agama temaptan untuk diselaraskan cara yang terbaik dalam mengejutkan masyarakat setempat untuk bersahur. Ini kerana sahur merupakan sunnah yang amat digalakkan dalam Islam. Benarlah hadith Nabi SAW, daripada Sahl bin Sa’ad R.A, sabda Baginda SAW:

لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السُّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ

Maksudnya: “Umatku akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana melewatkan bersahur dan mempercepatkan berbuka puasa.”

Riwayat al-Bukhari (1957), Muslim (1098) tanpa lafaz ‘أخَّروا السُّحورَ’ dan Ahmad (21546) dengan lafaz di atas.

Marilah sama-sama kita insafi untuk menjadi hamba-hamba Allah SWT yang mendapat pahala dengan sebanyak-banyaknya di bulan Ramadhan al-Mubarak dalam mengajak orang ramai ke arah kebaikan serta menjauhkan dari sebarang bentuk kemungkaran. Akhirnya, kita mengharapkan agar natijah puasa yang kita lakukan berhak memperolehi taqwa. Seterusnya, menjadikan kita golongan muttaqin. Amin.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply