Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, ketika saya tengah bergaduh besar dan dalam keadaan marah, adakah sah talak yang dilafazkan kepada saya walaupun masa itu suami saya tidak sedar apa yang dia lafazkan. (Apabila saya tolak dia, baru dia sedar dan saya beritahu bahawa dia telah ceraikan saya. Tetapi dia kata dia tidak sedar apa yang dia ucapkan).

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Surah al-Baqarah (229)

Berkenaan dengan persoalan di atas, terdapat hadith Nabi SAW:

لَا طَلَاقَ وَلَا عَتَاقَ فِي إِغْلَاقٍ

Maksudnya: “Tidak berlaku talak dan pembebasan hamba yang dilakukan dalam keadaan Ighlaq.”

Riwayat Abu Daud (2193)

Berkata al-Syaukani dalam Nail al-Autar (6/279): “Maksud ‘ فِي إِغْلَاقٍ’… para ulama al-gharib (pakar dalam istilah-istilah yang sulit) menafsirkannya sebagai paksaan. Ini diriwayatkan daripada Ibn Qutaibah, al-Khattabi, Ibn Sayyid dan selain mereka. Dikatakan maksudnya ialah gila tetap al-Mutarrizi mengecualikannya. Dikatakan juga maksudnya adalah marah. Inilah yang terdapat dalam Sunan Abi Daud, satu riwayat daripada Ibn al-A`rabi dan tafsiran Imam Ahmad. Akan tetapi Ibn Sayyid mengkritik: “Kalau begitu tidak akan pernah berlaku talak kerana seseorang itu tidak mentalakkan melainkan dalam keadaan marah.” Berkata Abu Ubaidah: Ighlaq itu penyempitan.”

Justeru dalam mazhab al-Syafi’i, talak yang dijatuhkan ketika marah adalah sah. Namun kami juga cenderung juga kepada pendapat jika marah itu sifatnya melampau sehingga hilang akal dan perasaan, seperti orang gila, maka tidak jatuh talak. Bagi kedua-dua keadaan, memandangkan lafaz itu disebut secara sarih, hendaklah isteri atau suami itu wajib segera merujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah setempat bagi Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai kerana urusan talak ini adalah urusan yang serius berkait dengan tujuan Syariah iaitu penjagaan nasab, keluarga dan keturunan.

Seperti yang kami katakan:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Saya mengambil kesempatan untuk menasihatkan pasangan agar sentiasa muhasabah diri masing-masing dengan menhadirkan diri ke majlis ilmu. Ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman termasuklah dalam isu melayari bahtera kehidupan dengan sebaik-baiknya mengikut neraca syariat. Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

0 thoughts on “#1327: Lafaz Talak Tanpa Sedar

Leave a Reply