Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah solat sunat selepas tawaf wada’ disunatkan, kerana saya mendengar bahawa setiap kali selepas tawaf, kita disunatkan untuk melakukan solat sunat tawaf? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya (di Makkah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”

Riwayat Muslim (1327)

Solat sunat tawaf merupakan salah satu solat sunat yang disyariatkan dan thabit sandarannya di sisi syarak berdasarkan beberapa nas daripada Rasulullah SAW. Terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A, beliau berkata:

لَسْنَا نَنْوِي إلَّا الحَجَّ، لَسْنَا نَعْرِفُ العُمْرَةَ، حتَّى إذَا أَتَيْنَا البَيْتَ مَعَهُ، اسْتَلَمَ الرُّكْنَ فَرَمَلَ ثَلَاثًا وَمَشَى أَرْبَعًا، ثُمَّ نَفَذَ إلى مَقَامِ إبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام، فَقَرَأَ: {وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى}، فَجَعَلَ المَقَامَ بيْنَهُ وبيْنَ البَيْتِ، فَكَانَ أَبِي يَقُولُ – وَلَا أَعْلَمُهُ ذَكَرَهُ إلَّا عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ – : كَانَ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ}.

Maksudnya: “Kami tidak berniat melainkan hanya untuk mengerjakan haji, dan kami belum mengenal umrah. Setelah sampai di Baitullah bersamanya, Baginda mencium salah satu sudutnya — yakni hajarul aswad. (Kemudian Baginda tawaf) dengan berlari-lari anak sebanyak tiga kali dan berjalan biasa sebanyak empat kali. Kemudian Baginda terus menuju ke maqam Ibrahim A.S, lalu membaca ayat: “وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى” (Maksudnya: “Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat solat.”) [Surah al-Baqarah: 125]. Lalu dijadikan maqam itu berada di antaranya dengan Baitullah. Sementara itu bapaku berkata — dan aku tidak mengetahui apa yang disebutkannya itu melainkan daripada Nabi SAW — bahawasanya Baginda membaca dalam dua rakaat solatnya surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun.”

Riwayat Muslim (1218)

Menurut Imam al-Nawawi, apabila seseorang itu selesai daripada tawafnya, maka solatlah dua rakaat tawaf. Hal ini kerana dua rakaat solat itu hukumnya adalah sunat muakkad menurut pendapat yang paling sahih. Akan tetapi terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kedua-duanya adalah wajib. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah, hlm. 244). 

Dalam Sahih al-Bukhari terdapat hadith daripada ‘Amr bin Dinar menyampaikan kepada kami, katanya: Aku mendengar Ibn Umar R.Anhuma berkata:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَطَافَ بِالْبَيْتِ سَبْعًا، وَصَلَّى خَلْفَ الْمَقَامِ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّفَا. وَقَدْ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: {لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ}

Maksudnya:Nabi SAW tiba di Makkah, lalu mengerjakan tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, dan menunaikan solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim. Kemudian Baginda keluar menuju ke Safa. Allah SWT berfirman, “لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ” (Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”)[Surah al-Ahzab: 21].”

Riwayat al-Bukhari (1627)

Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini di bawah ‘Bab: Orang yang Solat Sunat Tawaf Dua Rakaat di Belakang Maqam Ibrahim’. (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/154).

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa disunatkan untuk melaksanakan solat dua rakaat selepas tawaf — sebagai mengikuti Nabi SAW — bertempat di belakang maqam Ibrahim, atau di dalam Ka’bah, atau di kawasan yang terletak al-Mizab, ataupun di mana-mana kawasan Masjid al-Haram. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/386).

Solat Sunat Tawaf Selepas Tawaf Wada’

Berdasarkan persoalan di atas, mereka yang melakukan tawaf wada’ juga disunatkan untuk melakukan solat sunat tawaf berdasarkan keumuman dalil daripada Nabi SAW.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya berkenaan hal ini, beliau menjawab: “Setiap kali tawaf, disyariatkan (sunat) untuk solat dibelakang maqam Ibrahim sebanyak dua rakaat. Hal ini kerana Nabi SAW apabila baginda tawaf, baginda akan solat dua rakaat. Nabi SAW ketika melakukan tawaf wada’ ketika ibadah haji baginda, baginda melakukan solat dua rakaat dan melakukan perjalanan pulang ke Madinah. Dan sesiapa yang mengalami kesusahan untuk solat di belakang maqam Ibrahim, maka dia boleh solat di mana-mana tempat di dalam Masjid al-Haram. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalat al-Syeikh Bin Baz, 17/227)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin juga ketika ditanya berkenaan hal ini, beliau menjawab: “Pada zahirnya ialah disunatkan untuk solat dua rakaat selepas tawaf wada’. Hal ini kerana Nabi SAW ketika ingin meninggalkan Kaabah ketika haji baginda, baginda SAW solat fardhu Subuh dan tidak menjadikan solat Subuh itu selepas daripada tawaf. Bahkan baginda melakukan tawaf dahulu, kemudia baginda SAW solat. Justeru, para ulama’ menyebut kaedah umum bahawa setiap kali tawaf, maka selepasnya dua rakaat.[1]

Justeru, dalam isu ini kami menyatakan bahawa solat sunat tawaf adalah disunatkan walaupun setelah tawaf wada’ sebagaimana petunjuk yang ditunjuk oleh Nabi SAW. Wallahua’lam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] https://binothaimeen.net/content/362#:~:text=الجواب%3A,قالوا%3A%20كل%20طواف%20فبعده%20ركعتان.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply