Soalan

Apakah membaca al-Quran dengan suara perlahan seperti dalam solat atau selainnya memerlukan untuk dibaca dengan tajwid? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tajwid dari sudut istilah ialah memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau menyembunyikan, dan juga apa yang dimestikan baginya dari segi apa yang terhasil daripada sifat-sifat itu seperti tebal, nipis dan sebagainya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/177).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tajwid bermaksud ilmu atau hukum yang berkaitan dengan lafaz atau sebutan yang betul dan tepat dalam bacaan al-Quran.[1]

Ibn al-Jazari berkata: Kewajipan membaca tajwid ini adalah adalah pada mereka yang mampu kerana Allah SWT menurunkan kitab-Nya al-Quran kepada Nabi-Nya SAW sehingga ia sampai kepada kita secara mutawatir dengan bertajwid. Manakala bagi sesiapa yang tidak memperelokkan dan memperbetulkan bacaan al-Qurannya, sedangkan dia mampu, maka dia telah berdosa dan telah melakukan maksiat. (Lihat Syarh Toyyibah al-Nasyr li Ibn al-Jazariyy, hlm.35)

Ibn al-Jazari berkata lagi bahawa tajwid adalah perhiasan bagi bacaan al-Quran, iaitu memberikan hak pada huruf-huruf mereka dan susunan mereka berdasarkan kedudukan mereka, dan meletakkan atau memulangkan huruf pada tempat keluar makhrajnya dan melampirkannya dengan apa yang seumpamanya, dan membetulkan lafaznya, dan melembutkan sebutannya berdasarkan kepada bentuknya, dan juga keadaannya, tanpa berlebihan dan juga menguranginya. (Lihat al-Nasyru fi al-Qira’at al-‘Asyr; 1/212)

Membaca Al-Quran Dengan Suara Perlahan Dengan Bertajwid atau tidak?

Sesungguhnya bagi setiap pembaca al-Quran, hendaklah membaca al-Quran dengan tartil dan bertajwid dengan kadar yang wajib baginya samaada ia dibaca dengan perlahan ataupun dengan kuat. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا

Maksudnya:Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”

(Surah al-Muzammil: 4)

Syeikh al-Tantawi di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan ‘وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا’ itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Wasit, 15/155)

Terdapat perbezaan pandangan ulama’ terdahulu bersama ulama’ kontemporari, di mana ulama’ terdahulu mewajibkan orang Islam untuk membaca al-Quran dengan bertajwid dan berdosa sekiranya meninggalkannya, dan asas tajwid ini adalah yang berkaitan dengan penjagaan huruf (dari sudut yang boleh mengubah struktur ayat dan juga maknanya) atau yang berkaitan selain darinya seperti hukum idgham, idzhar dan sebagainya.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah menyatakan: “Ulama’ qiraat dan tajwid yang terdahulu berpendapat bahawa kesemua usul dalam tajwid adalah wajib dan berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya sama ada ia berkait dengan penjagaan huruf daripada mengubah struktur ayat ataupun merosakkan maknanya atau yang berkaitan selain daripadanya yang disebut oleh para ulama’ dalam kitab-kitab tajwid seperti idgham dan seumpamanya. )Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/179)

Ibn al-Jazari menukilkan daripada Imam Nasr al-Syairazi: Mengamalkan bacaan tajwid adalah wajib dalam membaca al-Quran. Dan wajib bagi pembaca al-Quran untuk membaca al-Quran dengan bacaan yang benar. (Lihat al-Nasyr fi al-Qira’at al-‘Asyr, 1/112)

Namun, ulama’ masa kini memperincikan lebih lagi kepada wajib syar’ie dan wajib sina’ie. Wajib syar’ie di sini adalah kewajipan mempelajari asas tajwid yang jika ditinggalkan boleh membawa kepada perubahan makna atau kerosakan pada makna. Adapun wajib sina’ie pula adalah apa yang diwajibkan ke atas ahli ilmu tersebut untuk menyempurnakan lagi bacaan al-Quran, dan ia adalah sepertimana yang disebut oleh para ulama’ dalam kitab-kitab tajwid seperti idgham, ikhfa’ dan sebagainya, dan jenis ini jika ia ditinggalkan daripada mempelajarinya tidaklah berdosa. )Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/179)

Syeikh ‘Ali al-Qari berkata: Maka hendaklah meraikan semua kaedah-kaedah makhraj huruf dan sifatnya secara wajib pada perkara yang boleh mengubah struktur ayat atau merosakkan makna, dan dianjurkan pada apa yang dapat mengelokkan lafaz dan sebutan ketika membacanya. (Lihat al-Minah al-Fikriyyah fi Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah, hlm.112)

Justeru, pendapat yang terpilih dalam kalangan ulama’ berkenaan bahawa yang diwajibkan bagi pembaca al-Quran berdasarkan hukum syara’ ialah dengan memelihara lafaz huruf-huruf itu, dan mengeluarkannya daripada makhrajnya, tanpa menggantikan satu huruf dengan huruf yang lain, dan bacaannya itu tidak mengubah makna, atau struktur kalimah atau ayat. Selain daripada itu, maka ia tidak wajib menurut syara’, tetapi ia dianjurkan dan digalakkan seperti memerdukan bacaan al-Quran dan melagukannya.

Berdasarkan persoalan di atas, hukum tajwid tetap perlu diamalkan bagi pembaca al-Quran yang membacanya secara perlahan sama ada dalam solat ataupun diluar solat. Hal ini kerana al-Quran mesti dibaca dengan betul dan tepat daripada sudut lafaznya, makhrajnya dan seumpamanya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, al-Quran yang dibaca secara perlahan sama ada di dalam solat ataupun diluar solat, perlu dibaca dengan bertajwid dengan penjagaan yang paling asasnya ialah dengan menjaga hurufnya, mengeluarkan huruf daripada makhrajnya, menjaga mad dan idghamnya, serta menjaga lafaznya daripada merosakkan makna ayat tersebut. Wallahua’lam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tajwid

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply