Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya jika suami saya berkata “Aku tak nak tengok muka kau!” atau “Kau berambus dari rumah ni!”, banyak kali suami saya halau keluar dari rumah dia, dan hari ini dia berkata “Aku akan lepaskan kau,” adakah ia bermaksud sudah jatuh talak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, seperti yang kami terangkan terlebih dahulu, lafaz talak terbahagi kepada dua seacra kinayah atau majaz dan keduanya secara sarih atau hakikat. Adapun secara sarih atau hakikat seperti lafaz cerai, berpisah, dan beberapa kalimat yang lain yang memberi makna talak, maka ia adalah talak tanpa syak lagi dan tanpa perlu ada niat. 

Sebaliknya, jika lafaz kinayah atau majaz contohnya, kata lelaki pada isterinya: “Kamu bebas daripada aku!” atau “Pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak satu jika dia tidak menetapkan bilangan talak. Ulama’ Syafie juga meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah adalah lafaz tersebut mestilah berserta niat, bukan sebelum lafaz atau selepas lafaz. (Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/462)

Justeru, berdasarkan pengamatan kami, dalam hal ini termasuk dalam kinayah yang memerlukan kepada niat. Jika si suami berniat untuk menceraikannya maka jatuhlah talak. Sebaliknya, jika tidak, maka tidak jatuh talak. 

Saya suka nyatakan, janganlah mempermainkan isu talak kerana ia perkara halal yang paling dibenci oleh Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” 

Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)

Begitu juga, sama ada kita bersungguh atau bergurau ia juga boleh menyebabkan berlakunya talak. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ جَدُّهنَّ جَدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِكَاحُ، وَالطَلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh: nikah, cerai, rujuk semula.”

Riwayat Abu Daud (2194)

Bagi mendapat kepastian, silalah rujuk ke mahkamah Syariah yang terdekat dengan anda kerana keyakinan kepada keputusan yang diperoleh dari hakim adalah bersifat muktamad. Seperti kaedah yang sering kami nyatakan:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply