Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, adakah SPayLater yang diperkenalkan di dalam aplikasi Shopee mematuhi garis panduan syariah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami jelaskan terlebih dahulu maksud dan makna SPayLater:

SPayLater ialah penyelesaian kewangan yang menyediakan pengguna dengan fleksibiliti pembayaran melalui pengalaman digital yang lancar. Ia membolehkan pengguna membeli sekarang tetapi dengan pilihan untuk membayar pembelian mereka kemudian. Pengguna boleh memilih daripada pelbagai skim pembayaran antara satu bulan sehingga maksimum dua belas bulan.

Pada permulaan sistem ini diperkenalkan kami mendapati terdapat unsur riba. Ini kerana kaedah yang digunakan adalah buy now, pay later kerana Shopee mengenakan caj 1.5% sebulan jika pembeli lewat membayar. Bagaimanapun untuk pembayaran sekaligus atau one-off sebulan, ia dibolehkan kerana tidak ada caj lebihan.

Kini, Shopee memberitahu bahawa pelan ansuran (BNPL) SPayLater mereka telah mendapat pengiktirafan patuh syariah daripada sebuah firma berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti. Antara perubahannya ialah jika pembeli lewat bayar, mereka tidak akan dikenakan caj seperti sebelum ini namun sebaliknya akaun SPayLater mereka akan dibekukan. Jika mahu terus menggunakan SPayLater, mereka perlu membayar caj lewat sebanyak RM10. Selain itu, penstrukturan patuh syariah ini juga memperlihatkan kenaikan yuran pemprosesan daripada 1.25% ke 1.5% sebulan.

Justeru, kami katakan:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: “Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.”

Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Kaedah “Hukum Berlegar Bersama-sama Illahnya Ketika Ia Ada Ataupun Tiada” bermaksud: Apabila Allah mengaitkan sesuatu hukum dengan sebab ataupun ‘illah tertentu, maka hukum tersebut akan hilang apabila hilangnya kedua-duanya iaitu sebab atau ‘illah. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 4/80)

Begitu juga dengan kaedah:

إِذَا انْتَفَتِ العِلَّةُ انْتَفَى الحُكْمُ

Maksudnya: “Apabila ternafinya ‘illah, maka ternafilah hukum berkenaan.” (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 7/396)

Berdasarkan dapatan terkini dan juga perubahan yang dibuat disamping telah disemak dan disahkan oleh Sekuriti Syariah maka hukumnya sekarang adalah harus dan boleh digunakan melalui SPayLater. Ini bermakna individu yang beragama Islam sudah pasti dapat menikmatinya tanpa merasa ragu-ragu yang terkait dengan soal hukum di sisi agama.

Walaupun begitu, saya syorkan agar bayarlah sesegera mungkin setiap pembelian supaya tiada sebarang keraguan bahkan itulah yang menepati akad jual beli secara langsung.

Semoga Allah SWT faqihkan kita dalam agama kita dan sentiasa memberikan taufiq dan hidayah. Amin.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply