Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya bawa motosikal pada waktu tengahari, panas yang amat sangat. Ketika sampai di traffic light, lampu menunjukkan warna merah dan lama. Adakah batal puasa sekiranya saya memaki hamun traffic light tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Taqwa tidak akan dapat dan diperolehi kecuali dengan patuh segala perintah Allah SWT. Antaranya, menjaga adab ketika berpuasa. Sabda Rasulullah SAW:

إذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَصْخَبْ، فَإِنْ شَاتَمَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ: إنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu berpuasa, janganlah kamu berkata buruk dan bersikap bodoh. Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa.”

Riwayat al-Bukhari (5927) dan Muslim (1151)

Berdasarkan nas di atas, maka sewajarnya seseorang itu mesti memelihara lidah dan hatinya ketika berpuasa. Ini kerana, matlamat berpuasa untuk menyelamatkan dari terbatalnya puasa dan juga dari terbatalnya pahala ibadat puasa. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abi Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

‏‏ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan yang dusta dan beramal dengannya (pembohongan) maka Allah tidak berhajat ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan juga minum.”

Riwayat Bukhari (1903), Abu Dawud (2362), Tirmizi (707), Ibn Majah (1689), dan Ahmad (10562)

Nas di atas jelas menunjukkan kepada kita, sekali pun kita berpuasa dengan menahan diri dari makan dan minum, tetapi kita tidak menahan diri dari ucapan dusta, keji dan hina, sebaliknya, selalu menggunakannya maka dibimbangi terbatal pahala ibadat puasa. 

Justeru, saya katakan janganlah kita maki kepada orang ketika kita berpuasa termasuklah traffic light yang berwarna merah. Puasa itu sendiri mengajar kita berimsak (menahan diri). Termasuklah imsak dari ucapan yang keji dan perbuatan yang keji. Maki hamun serta mencela adalah ucapan yang keji yang sewajarnya kita menjarakkan dan menjauhinya agar ibadat puasa kita diterima oleh Allah SWT seterusnya, menatijahkan ketaqwaan. Amin.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply