Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, Saya mempunyai satu soalan berhubung mimpi. Saya telah bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah gua tetapi baginda tidak berkata-kata. Hanya melambai dari satu jarak menjemput saya untuk minum teh bersama beliau. Di hadapan beliau terlantar satu meja bersama juga yg menyerupai jug teh orang-orang arab. Sewaktu mimpi tersebut, firasat saya kuat mengatakan lelaki tersebut adalah Rasulullah SAW. Adakah ianya mainan syaitan dalam mimpi saya? Mohon pendapat dari Dato’ Seri berhubung mimpi saya ini sama ada mempunyai sebarang maksud tersirat.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mimpi bertemu Rasulullah SAW adalah benar. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ بِي ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka sememangnya dia melihatku, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupai rupaku.”

Riwayat al-Bukhari (6993) dan Muslim (2266)

Kecuali para sahabat Nabi SAW seperti Ibn Abbas, bila seseorang itu mendakwa dia bermimpi Rasulullah SAW di kalangan tabi’in, maka Ibn Abbas akan bertanya sifat Rasulullah SAW, rupa dan bentuknya. Jika benar dengan realiti maka Ibn Abbas mengiyakannya. Ini bertujuan untuk menyanggah mereka yang berbohong yang mengataka mereka bermimpi Rasululah sedangkan sebaliknya tidak. 

Berdasarkan penerangan saudara, saya berpendapat bahawa anda bermimpi Rasulullah SAW. Semoga ianya membawa kebaikan dalam hidup anda dan bertakwalah kepada Allah serta tambahkan ilmu agama di samping banyakkan selawat kepada Nabi SAW. Semoga dengan mimpi tersebut mendekatkan diri anda kepada agama Islam serta menambahkan lagi cinta kepada Rasulullah SAW. ANtara bentuk cinta kepada Rasulullah SAW adalah mempertahankan Rasulullah dan sunnahnya di samping itu mengkaji sirah Rasulullah SAW sehingga benar-benar makrifah kepada Rasulullah SAW. Beliau adalah ikutan kita yang sewajibnya kita ikut. Firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

(Surah Al-Ahzab: 21)

Antara tanda kita menzahirkan tanda cinta kepada Allah adalah dengan mengikut Rasulullah SAW iaitu sunnahnya. Benarlah firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ 

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.”

(Surah Ali-Imran: 31)

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply