Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya selalu dengar bahawa solat di saf pertama mempunyai kelebihan yang besar. Boleh jelaskan kelebihannya?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Allah SWT menganjurkan umat Islam supaya bersegera dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan memohon keampunan kepada-Nya. Firman Allah SWT:
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
Maksudnya: “Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”
Syeikh al-Maraghi berkata bahawa berlumba-lumba dalam (mengejar) kebaikan dan melakukan amalan soleh ialah dengan cara mengisi kesempatan dengan melakukan hal yang baik dan melipatgandakan amalan kebaikan. Ini kerana, orang yang cemerlang dalam perlumbaan itulah yang paling dekat dengan Allah SWT. Maka, dalam apa jua kebajikan sekalipun, segerakanlah diri dalam menyempurnakan amalan tersebut melebihi orang lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1595).
Firman Allah SWT:
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Ali Imran: 133)
Ibn Kathir menyebut bahawa makna bersegera kepada keampunan Allah SWT itu ialah menggalakkan mereka untuk melakukan perkara kebaikan dan berlumba-lumba untuk melaksanakan ketaatan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/183).
Berkenaan isu di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Solat di saf yang pertama mempunyai begitu banyak kelebihan seperti yang disebutkan oleh banyak riwayat. Berikut kami kongsikan beberapa kelebihan saf yang pertama serta keutamaan solat di dalamnya.
Pertama: Allah dan Para Malaikat Berselawat Kepada Saf Pertama
Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abd al-Rahman bin ‘Auf beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصَّفِّ الأَوَّلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas saf yang pertama.”
Imam al-Munawi apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Iaitu Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada ahlinya (mereka yang bersolat di saf yang pertama) iaitu dengan beristighfar kepada mereka. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/341).
Kedua: Rasulullah SAW menyebut tentang kelebihannya sehingga jika sekiranya perlu untuk dibuat undian, maka sudah tentu orang ramai akan membuatnya untuk mendapatkan perkara tersebut. Rasulullah SAW bersabda:
لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا
Maksudnya: “Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatkan ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi.”
Riwayat al-Bukhari (615)
Berdasarkan hadis di atas, sekiranya manusia itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan terhadap besarnya ganjaran dan fadhilat solat di saf yang pertama, sudah pasti mereka akan berebut-rebut mengambil peluang bagi memenuhkan saf pertama. Sehingga jika tiada cara lain, pasti mereka akan menggunakan cara mencabut undi bagi menentukan siapakah yang dapat mengisi saf yang pertama.
Ketiga: Saf Terbaik Bagi Lelaki Adalah Saf Pertama
Hal ini merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا
Maksudnya: “Sebaik-baik saf orang lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling belakang. Manakala sebaik-baik saf orang perempuan adalah saf yang terakhir manakala seburuk-buruk saf orang perempuan adalah yang paling hadapan.”
Riwayat Muslim (440)
Dalam hadis di atas, saf paling baik bagi orang lelaki adalah saf yang pertama. Ini kerana, saf yang pertama menjadikan kita sebagai manusia yang bersegera ke arah kebaikan, hampir kedudukan dengan imam, dapat mendengar dengan baik bacaan imam serta mendapat pengajaran dari bacaan imam, serta lebih sejahtera pemikiran dari melihat orang yang berada di hadapannya.
Yang dimaksudkan dengan seburuk-buruk saf bagi lelaki dan perempuan adalah: Yang paling kurang pahala dan kelebihan serta jauh dari kehendak dan tuntutan syara’. Manakala maksud sebaik-baik saf bagi lelaki dan perempuan pula adalah: Yang paling banyak pahala dan kebaikan serta memenuhi kehendak syarak.
Kami nyatakan di sini, kelebihan saf yang terakhir bagi orang perempuan adalah apabila berlakunya solat berjamaah yang melibatkan orang lelaki dan juga orang perempuan. Namun sekiranya solat berjamaah hanya melibatkan orang perempuan sahaja, maka keadaannya kembali kepada saf terbaik adalah saf pertama manakala saf terburuk adalah saf yang di belakang.
Bagi jemaah perempuan, baiknya saf terakhir dalam solat berjemaah yang melibatkan orang lelaki adalah kerana yang demikian itu menjauhkan jarak mereka dari bercampur dengan orang lelaki, menjauhkan mereka dari memandang ke arah lelaki ajnabi serta mendengar ucapan-ucapan mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/158).
Justeru, marilah kita sentiasa melazimi solat di saf yang pertama. Elakkan saf-saf dari dikosongkan atau lambat dipenuhkan. Hal ini kerana begitu besar fadhilat dan ganjaran yang ada padanya sepertimana yang telah dijelaskan.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H