Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu kemusykilan. Beberapa malam lepas, di surau yang saya dirikan solat tarawih, tiba-tiba terdapat pengumuman daripada pihak surau yang menyatakan bahawa solat tarawih yang telah didirikan tidak sah dan perlu diulangi semula kerana terdapat kesilapan dan kesalahan pada selawat antara tarawih. Jadi persoalan saya, benarkah sekiranya selawat antara tarawih itu berlaku kesalahan, maka solat tarawih yang dilakukan itu tidak sah? Mohon pencerahan.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertamanya, kami mengucapkan syabas atas kecaknaan saudara yang amat prihatin kepada persoaalan ini, begitu juga kerana saudara tidak mudah menerima dan mengikut secara mutlak pada perkara yang meragui saudara. Keduanya, sikap saudara yang bertanya adalah sifat yang terpuji lagi mendapat kefahaman yang jelas berkenaan dengan agama.

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan zat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Pensyariatan Solat Tarawih

Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.

Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)

Imam al-Nawawi berkata: “Makna “إيمانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “إحتِسابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan  pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan. Makna yang dikehendaki daripada  “Qiyam Ramadhan” ialah perlaksanaan solat Tarawih. Para ulama bersepakat tentang hukumnya adalah disunatkan.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39)

Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minin Aisyah R.Anha, katanya:

 ‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ: “‏قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ”‏، وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah S.A.W sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.

Riwayat Al-Bukhari (1129)

Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah S.A.W pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah SAW. Demikian juga pada malam yang kedua, Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid. Maka pada malam yang berikutnya, Nabi SAW tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadith ini beliau berkata: Baginda takut solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dilakukan secara berterusan. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 4/180)

Berselawat Antara Tarawih

Amalan berselawat antara tarawih ini merupakan amalan yang dilakukan sejak turun temurun dalam kalangan penduduk di nusantara ini. Hal ini bertujuan untuk mengisi dan meraikan makna tarawih itu sendiri. Perkataan Tarawih berasal daripada perkataan “raaha” yang bermakna istirahat, atau santai, atau tidak tergesa-gesa dalam pelaksanaannya, dalam erti kata lain ialah tidak terus berdiri setelah selesai daripada dua rakaat tarawih, namun seseorang itu boleh istirahat beberapa minit dengan berzikir, berselawat, berdoa dan seumpamanya.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, para fuqaha’ bersepakat akan pengsyariatan istirahah pada setiap empat rakaat tarawih kerana ia merupakan warisan daripada para salaf. Mereka memanjangkan qiyam dalam tarawih, dan imam serta makmum berehat setelah 4 rakaat tarawih. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/144)

Imam Zakariyya Al-Anshaariy berkata: “Dan dinamakan bagi setiap empat rakaat tarwihah kerana mereka dahulu berhenti berehat setelahnya, iaitu beristirehat.” (Lihat Asna Al-Matalib, 1/200)

Al-Kasani berkata: Bahawa setiap kali imam solat tarwihah, maka imam duduk antara dua tarwihah dengan kadar tarwihah dengan bertasbih, bertahlil, bertakbir, berselawat ke atas Nabi SAW, dan berdoa.(Lihat al-Badai’, 1/291)

Namun begitu, perbuatan meninggalkan istirahah ini juga adalah dibolehkan, tetapi melakukannya adalah lebih utama daripada meninggalkannya. Al-Mardawi berkata: “Adanya istirahah  selepas setiap empat rakaat dengan rehat yang singkat. Hal ini dilakukan oleh para salah, dan tidak ada salah jika meninggalkannya. (Lihat al-Insaf, 2/182)

Justeru, dalam hal ini, para ulama’ terdahulu tidak pernah menetapkan amalan-amalan yang perlu dilakukan antara setiap tarawih melainkan amalan yang bersifat umum seperti berzikir, berselawat, membaca al-Quran, berdoa dan seumpamanya bagi mengisi waktu istirahah antara tarawih tersebut. Malah ketika mana penduduk Makkah melakukan solat tarawih sebanyak dua puluh rakaat, mereka melakukan tawaf di Kaabah sebanyak 7 kali pusingan pada setiap dua kali tarwihah. Hal ini menyebabkan penduduk Madinah menambah rakaat Tarawih kepada 36 rakaat bagi mengimbangi amalan yang dilakukan oleh ahli Makkah.

Al-Sarkhasiy berkata : “Hal ini kerana sesungguhnya ia dinamakan dengan nama tarawih yang bermakna istirehat dan istilah ini diambil daripada perbuatan para salaf dan penduduk Haramain. Sesungguhnya penduduk Makkah melaksanakan tawaf tujuh kali diantara setiap dua tarwihah sebagaimana diriwayatkan kepada kami daripada Imam Malik.” (Lihat al-Mabsut, 2/145)

 

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan yang diajukan, suka untuk kami nyatakan bahawa selawat antara tarawih seperti yang diamalkan di negara kita ini bukanlah penentu kepada sahnya solat sunat tarawih tersebut. Hal ini kerana selawat tersebut merupakan amalan yang disusun bertujuan untuk mengisi waktu istirahah antara tarawih tersebut dan sekiranya ia ditinggalkan, ia tidak menjadi masalah kepada solat tarawih yang didirikan. Tambahan pula, selawat yang dikhususkan tersebut juga tidaklah menjadi ketetapan kerana tidak ada contoh daripada Nabi SAW, para sahabat dan para salaf yang menetapkan sedemikian melainkan amalan yang bersifat umum seperti berzikir, berselawat, berdoa, membaca al-Quran dan seumpamanya.

Begitu juga jika kita menekuni sejarah salaf al-soleh, khususnya bagi penduduk Makkah dan Madinah. Ada di kalangan mereka selepas 4 rakaat melakukan tawaf. Justeru, penduduk Madinah merasakan perlu menambah bagi setiap tawaf penduduk Makkah dengan 4 rakaat tarawih. Ini menjadikan solat tarawih bagi penduduk Madinah pada satu ketika mencapai 36 rakaat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua‘lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply