Soalan

Sah ke solat bila imam tidak betul membaca surah Al Fatihah? 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat mempunyai tiga rukun yang asas:

  •   Rukun fi‘li (perbuatan): Contohnya seperti rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan duduk tahiyyat akhir.
  •     Rukun qauli (ucapan): Contohnya seperti bacaan al-Fatihah, mengucap dua kalimah syahadah dan berselawat ke atas Nabi SAW pada rakaat terakhir, dan memberi salam.
  •     Rukun qalbi (hati): Contohnya seperti niat solat.

Rukun bermaksud apa-apa yang menjadi bahagian asas untuk sesuatu, seperti dinding yang menjadi asas untuk sebuah bilik. Maka solat juga terdapat asas-asasnya, tidak sempurna dan tidak sah solat itu tanpa asas-asasnya.[1]

Sekiranya seseorang itu tidak membaca surah al-Fatihah di dalam mana-mana rakaat maka solatnya itu tidak sah. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهِيَ خِدَاجٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang/rosak.”

Riwayat Muslim (395), Tirmizi (2953), Ibn Majah (3784) dan Ibn Hibban (776)

Imam Nawawi mengatakan bahawa membaca al-Fatihah adalah wajib pada kesemua solat, sama ada solat fardu mahupun solat sunat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafi‘ie.[2]

 

Imam Baca al-Fatihah Tidak Betul

Surah al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul dengan meraikan bacaan setiap baris yang betul berserta dengan tajwid dan makhrajnya. Kesalahan dalam tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain tidaklah membatalkan solat, namun perlulah diperbaiki bacaan tersebut dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkaliber dan berkelayakan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا

Maksudnya:Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”[3]

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa bacaan al-Fatihah adalah wajib merangkumi kesemua hurufnya (dari segi makhraj dan sifat) dan kesemua tanda sabdu.

Menurut Imam al-Nawawi juga, jika terdapat kesalahan dalam bacaan al-fatihah yang mengubah maksud ayat, seperti seseorang membaca (أَنْعَمْتُ) dengan baris hadapan dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalah (أَنْعَمْتَ) dengan baris atas, maka batal solatnya. Sekiranya dia tidak sengaja maka perlu diulangi bacaan yang betul.

Manakala jika kesalahan tersebut tidak mengubah maksud ayat, seperti membaca (نَعْبُدُ) dengan baris atas, maka solatnya tidak terbatal dan bacaannya sah, tetapi hukumnya makruh, dan diharamkan untuk melakukannya dengan sengaja. Ini merupakan pandangan yang benar menurut kesepakatan ulama’.[4]

Nabi SAW telah meletakkan kayu ukur untuk memilih imam, ini berdasarkan hadith riwayat ‘Uqbah Bin ‘Amru katanya, Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ القَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللهِ، فَإِنْ كَانُوا فِي القِرَاءَةِ سَوَاءٌ، فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُنَّةِ، فَإِنْ كَانُوا فِي السُنَّةِ سَوَاءٌ، فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً، فَإِنْ كَانُوا فِي الهِجْرَةِ سَوَاءٌ، فَأَقْدَمُهُمْ سِنًّا

Maksudnya: “Yang berhak menjadi imam sesuatu kaum ialah yang paling pandai membaca kitab Allah (Al-Quran). Sekiranya bacaan mereka sama, maka lihat kepada yang lebih mengetahui tentang Sunnah. Dan sekiranya (pengetahuan) Sunnah mereka sama, maka lebihkanlah kepada mereka yang lebih dahulu berhijrah, sekiranya sama pada hijrahnya, maka dahuluilah mereka yang berumur.”

Riwayat Muslim (348)

Berdasarkan hadith ini, dapat difahami bahawa seseorang yang dipilih menjadi imam itu sewajarnya adalah orang yang pandai membaca al-Quran dari segi makhraj dan hukum tajwid. Akan tetapi jika makmum yang masbuq mengetahu bacaan imam itu tidak baik, dia perlu menegur bacaannya.

Jika makmum mengetahui dari awal bahawa bacaan imam itu tidak baik, dia perlu menasihatkannya untuk memperbetulkan bacaan dengan guru yang betul terlebih dahulu. Hal yang demikian kerana jika dia menjadi makmum dalam keadaan dia mengetahui bacaan imam tersebut mempunyai kesalahan yang mengubah maksud ayat, maka solatnya tidak sah dan dia perlu ulang solat tersebut.

 

Kesimpulan

Kami katakan, pentingnya mempelajari bacaan al-Quran terutama bagi kaum lelaki yang mempelajari ilmu agama. Hal ini kerana mereka akan kembali berbakti kepada masyarakat seperti mengajarkan al-Quran dan mengimamkan solat di masjid atau surau.

Hukum makmum solat di belakang imam yang tidak betul bacaan al-Fatihahnya adalah sah selagimana kesalahan itu tidak merubah maksud. Dan sekiranya dia imam tersebut ingin berterusan mengimamkan solat, dia perlu berusaha memperbaiki bacaan al-Fatihahnya kerana solat itu akan menjadi lebih sempurna apabila setiap rukun-rukunnya dapat dilaksanakan dengan baik.

 

Wallahualam.

[1] Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/129.

[2] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283-288.

[3] Surah al-Muzammil: 4

[4] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/393.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply