Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya tentang keuntungan saham tidak patuh syariah. Ke manakah ianya boleh disalurkan (soalan 1)? Saya hanya memahami wang haram boleh digunakan untuk perkara awam (tak terperinci). Bolehkah Dato’ Seri jelaskan dengan jelas, ringkas dan padat. Bolehkah ianya digunakan untuk diri dan keluarga seperti pembaikan rumah, membeli perabot; iaitu perkara bukan melibatkan pemakanan/makanan yang menjadi darah daging (soalan 2).

Jawapan:

Waalaikumsalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, harta yang kita perolehi boleh berlaku dari tiga sumber:

  • Sumber halal
  • Sumber haram
  • Sumber syubhah

Dalam Islam halal dan haram adalah nyata sedangkan syubhah hendaklah kita menjarakkannya kerana ia boleh memelihara maruah dan agama seseorang. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya.”

Riwayat al-Tirmizi (1205)

Hadith ini memberi banyak pedoman kepada kita dalam melayari bahtera kehidupan dengan mengenal pasti yang halal dan haram, begitu juga cuba menjarakkan perkara yang menjadi kesamaran. Hadith ini banyak faedahnya.

Antaranya:

  • Salah satu tanda sikap wara’ adalah meninggalkan perkara syubhah.
  • Banyak melakukan perkara syubhah membawa seseorang itu kepada perbuatan haram.
  • Petanda taqwa seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang dibenarkan kerana khuatir terjerumus dalam perkara yang haram.
  • Hendaklah menutup pintu dan ruang terhadap peluang yang membawa kepada perbuatan haram.
  • Makan makanan yang halal dan berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan yang halal kerana ia sangat memberi kesan terhadap iman dan hati. Imam Ahmad Rahimahullah ditanya tentang apakah perkara yang melembutkan hati? Beliau menjawab, “Makan makanan yang halal.”
  • Setiap keraguan dan kesamaran dalam sesuatu perkara sewajarnya ditinggalkan. Hal ini penting agar diri tidak terjebak dengan perkara haram. Hadith ini menjadi dasar bagi prinsip hukum sad al-zara’i’ (سد الذرائع) iaitu menutup pintu keburukan. Selain itu, dengan menjauhi kesamaran ini, kita telah menghiasi diri kita dengan sifat wara’.

Kami nyatakan pendapat Dr Yusuf al-Qaradhawi: 

“Di sini, kami menegaskan bahawa mengetahui yang halal dan haram secara umum sahaja masih tidak memadai. Asas halal dan haram sememangnya tidak lari bagi setiap Muslim, akan tetapi masih terdapat segelintir umat Islam terjerumus ke dalam perkara yang diharamkan seolah-olah mereka sedang menerokai perjalanan untuk jatuh ke lembah neraka, sedangkan mereka semua mengetahui apa yang mereka lakukan.

Yang penting di sini, seseorang itu mestilah mempunyai sifat takwa kepada Allah SWT yang menjadi asas bagi semua permasalahan hidup. 

Mereka juga boleh menggunakan ungkapan lain yang sering kedengaran sejak akhir-akhir ini seperti: Seseorang itu mestilah mempunyai kesedaran yang tinggi yang boleh menahan orang yang beragama Islam pada batasan halal serta melindungi mereka daripada melalui jalan yang haram. 

Apabila seseorang Islam sudah dilengkapi dengan sesuatu ilmu yang menyedarkan tentang batasan agama dan syariatnya, di samping adanya kesedaran yang jitu berkenaan perihal menjaga diri daripada melalui batasan itu supaya tidak mendekatinya, maka pada ketika itu akan lengkaplah semua kebaikan pada dirinya.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 67-68)

Pendapat kami dalam isu di atas, sekiranya harta tersebut diketahui pemiliknya yang sebenar seperti dalam kes curi atau rompakan, ianya perlu dikembalikan kepada pemiliknya yang asal. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal atau Institusi Islam yang seumpamanya.

Sekiranya harta tersebut diperolehi daripada perkara yang haram seperti perjudian, arak atau riba, maka hakmilik harta ini telah terpindah kepada kemaslahatan umum. Ia hendaklah diserahkan kepada Baitulmal atau boleh juga diserahkan kepada golongan fakir miskin dan memerlukan atau diserah untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti untuk membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya.

Mengenai pemberian kepada golongan fakir miskin, ia ada disebutkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din, 2/131. Ia juga adalah fatwa yang  dikemukakan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah, 2/451. Ia juga keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma’ Buhuth Mesir dan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. (Lihat Kompilasi Muzakarah Fatwa Kebangsaan, hlm. 76)

Saya syorkan elakkan menggunakan duit dari sumber yang haram ini untuk peribadi seperti soalan di atas walaupun pembaikan rumah atau tandas kita. Semoga jawapan ini memberi kelegaan kepada kita.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply