Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya telah berusaha menyusukan anak angkat (lelaki sejak dia bayi tapi tak berjaya) Kini usianya 2 tahun 2 bulan mengikut kalendar islam. Adakah saya masih boleh berusaha sehingga umurnya 2 tahun 6 bulan? Kerana saya ada membaca terdapat beberapa pendapat tentang had maksimum umur anak susuan iaitu 2 tahun, 2 tahun 2 bulan dan 2 tahun 6 bulan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Penyusuan ataupun dalam bahasa Arabnya al-Rada‘ (الرّضَاع)  menurut al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (22/238) ialah perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu.  Manakala menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, al-Rada‘ ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi. (Lihat al-Fiqh al- Manhaji, 3/119).

Pada asasnya, penyusuan yang memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan akan menyebabkan terjadinya hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya:Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.” 

(Surah al-Nisa’: 23)

Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini seperti mana anak yang dilahirkannya. Hal ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Saidina Hamzah R.A:

لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya:Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.” 

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الوِلاَدَةُ

Maksudnya:Persusuan mengharamkan perkara yang diharamkan kerana nasab kelahiran.” 

Riwayat al-Bukhari (5099)

Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram muabbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/23).

Umumnya bagi menyebabkan anak susuan dan ibu susuan mengambil hukum mahram terdapat tiga rukun:

  1. Penyusu
  2. Anak yang menyusu
  3. Susu

Justeru, untuk menjawab soalan yang diajukan, kami fokuskan perbahasan ini kepada syarat ke atas anak yang menyusu.  Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili terdapat dua syarat bagi anak yang menyusu. 

Pertama, disyaratkan bahawa anak itu mestilah mempunyai hayah mustaqirrah supaya penyusuan tersebut dapat dicapai dan menghasilkan kesan. Jika anak tersebut telah menyusu sebanyak empat kali susuan dalam keadaan hidup, kemudian dia meninggal dunia (sebelum sempat susuan kali kelima). Lalu dimasukkan susu ke dalam kerongkongnya (bagi mencukupkan lima kali), maka perkara tersebut tidak memberi kesan sekalipun susu yang dimasukkan itu sampai ke dalam jaufnya (perutnya) kerana ia tidak lagi dikira sebagai makanan yang boleh mengenyangkan dan menumbuhkan daging. Begitu juga jika budak itu bukan lagi dalam keadaan hayah mustaqirrah tetapi keadaannya seperti disembelih, maka hukumnya adalah seperti hukum orang yang sudah meninggal dunia.

Kedua, disyaratkan umur budak yang menyusu itu kurang dua tahun mengikut hilal (bulan Islam). Apabila usianya mencapai dua tahun atau melebihinya, maka penyusuan itu tidak memberi kesan dan tidak menjadikannya sebagai mahram kepada ibu susuan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Maka, Allah SWT menjadikan tempoh penyusuan yang sempurna itu selama dua tahun. Justeru, dapat difahami bahawa hukum selepas dua tahun adalah sebaliknya. Firman Allah SWT:

وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

Maksudnya:dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.

(Surah Luqman: 14)

Perkataan al-Fisal (الفصال) bermaksud bercerai susu kerana ia memisahkan bayi dengan ibunya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/324-325).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

لا رَضاعَ إلّا ما كان في الحَولَينِ

Maksudnya:Tidak ada penyusuan kecuali dalam masa dua tahun.”

Kesimpulannya

Berdasarkan perbincangan di atas, maka kami berpendapat anak angkat puan sudah terkeluar dari sudut syarak untuk menjadi anak susu kerana usianya telah melebihi dua tahun mengikut takwim Hijir atau kalendar Islam. Adapun niat puan untuk menjadikan anak susuan adalah terpuji tetapi kepatuhan kita kepada hukum adalah lebih utama. Tarbiyahlah anak puan sebagai anak angkat dengan sebaik mungkin. 

Mudah-mudahan ia memberi manfaat dan menjadi cahaya mata hati puan pada masa akan datang. Besar pahala seseorang memelihara anak angkat dan memberi tarbiyah dengan sebaiknya sehingga menjadi manusia yang benar-benar patuh kepada Allah SWT lagi bertaqwa.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply