Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah hukum jika seseorang itu menangis (berteriak) ketika seseorang meninggalkan dunia?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, pada asasnya, jika menangis atau mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi adalah  dibolehkan. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

دَخَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَيْفٍ الْقَيْنِ، وَكَانَ ظِئْرًا لإِبْرَاهِيمَ، عَلَيْهِ السَّلاَمُ ـ فَأَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِبْرَاهِيمَ فَقَبَّلَهُ وَشَمَّهُ، ثُمَّ دَخَلْنَا عَلَيْهِ بَعْدَ ذَلِكَ، وَإِبْرَاهِيمُ يَجُودُ بِنَفْسِهِ، فَجَعَلَتْ عَيْنَا رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَذْرِفَانِ‏.‏ فَقَالَ لَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ـ وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ ‏«يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ»‏‏.‏ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‏«إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ، وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ، وَلاَ نَقُولُ إِلاَّ مَا يَرْضَى رَبُّنَا، وَإِنّ َا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ»‏‏.‏ رَوَاهُ مُوسَى عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ الْمُغِيرَةِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ‏.

Maksudnya: “Kami pergi bersama Rasulullah SAW menemui tukang besi bernama Abu Saif, dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah SAW mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lalu mata Rasulullah SAW mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: “Tuan menangis wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Wahai Ibn ‘Auf, ini ialah rahmat.” Kemudian air mata Baginda mengalir lagi. Sabda Baginda: “Sesungguhnya mata menangis dan hati bersedih, kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami redha. Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahanmu.”

Riwayat al-Bukhari (1303)

Imam al-Syirazi menyebut:

وَيَجُوْزُ الْبُكاءُ عَلَى الْمَيِّتِ مِنْ غَيْرِ نَدْبٍ وَلاَ نِيَاحَةٍ 

Maksudnya: “Dan harus menangis atas mayat dengan tidak mengangkat suara dan meratap.” (Lihat al-Tanbih fi al-Fiqh al-Syafi’i, hlm. 53)

Imam Abu Syuja’ berkata:

وَلَا بَأْسَ بِالْبُكَاءِ عَلَى الْمَيِّتِ؛ مِنْ غَيْرِ نَوْحٍ وَلَا شَقِّ جَيْبٍ

Maksudnya: “Dan tidak mengapa dengan menangis atas mayat selagimana tidak meratap dan tidak mengoyakkan pakaian dan tidak menampar-nampar pipi.” (Lihat al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 16)

Manakala, jika seseorang menangis dengan suara yang kuat iaitu dengan meraung, melolong, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut, maka perbuatan ini jelas diharamkan. Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:

اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ

Maksudnya: “Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.”

Riwayat Muslim (67)

Imam al-Nawawi berkata:

أَمَّا النَّدْبُ وَالنِّيَاحَةُ وَلَطْمُ الْخَدِّ وَشَقُّ الْجَيْبِ وَخَمْشُ الْوَجْهِ وَنَشْرُ الشَّعْرِ وَالدُّعَاءُ بِالْوَيْلِ وَالثُّبُورِ فَكُلُّهَا مُحَرَّمَةٌ بِاتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ

“Adapun menangis dengan meraung yakni mengangkat suara seperti bertempik terlolong-lolong dan meratap dan menampar pipi dan mengoyakkan pakaian dan mencakar muka dan menarik-narik rambut dan menyeru dengan ucapan-ucapan jahiliah seperti berkata ‘matilah aku’ atau ‘binasalah aku’ maka sekaliannya haram dengan sepakat Ashab.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/312)

Bahkan dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ المَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarganya terhadapnya.”

Riwayat al-Bukhari (1286), Muslim (928) 

Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini diberi beberapa takwilan antaranya:

  • Ia ditanggung dengan maksud jika si mati mewasiatkan kepada keluarga dan yang hidup untuk meratap dan meraung atas kematiannya.
  • Ia memberi maksud kaum keluarga menangis pada tahap ratapan
  • Ia bermaksud ia diazab dengan sebab memperdengarkan tangisan keluarganya untuk menjadikan hati mereka mengasihani berlebihan. Inilah pendapat Ibn Jarir al-Tabari. Hal ini juga dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/228)

Justeru, jika hanya sekadar tangisan biasa atau kesedihan, maka ia tidaklah menjadi kesalahan. Namun, sekiranya menangis dengan suara yang kuat, berteriak dan meraung-raung, maka ia ditegah dan tidak dibenarkan sama sekali. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abdullah R.A, katanya: Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الخُدُودَ، وَشَقَّ الجُيُوبَ، وَدَعَا بِدَعْوَى الجَاهِلِيَّةِ.

Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami sesiapa yang menampar-nampar pipi, mencarik-carik pakaian dan menyeru dengan seruan Jahiliyyah (meratap).”

Riwayat al-Bukhari (1294)

Semoga Allah SWT menjadikan kita sentiasa beriltizam dan mengikut titah-perintah-Nya. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply