Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah saya mendirikan solat Jumaat di masjid kariah lain?  Sebabnya, saya tinggal dan bermastautin di Cyberjaya tetapi bekerja di Nilai. Jadi, adakah sah solat Jumaat saya yang dilakukan di masjid di Nilai pada hari saya bekerja?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” 

(Surah al-Jumu‘ah : 9)

Ayat di atas adalah di antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga termasuk dalam beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198). 

Pada asasnya solat Jumaat adalah suatu kewajipan atau wajib ain bagi kaum lelaki yang memenuhi syarat-syaratnya iaitu beragama Islam, baligh, berakal, merdeka sepenuhnya (yakni bukan hamba), sihat tubuh badan dan bermukim di tempat solat Jumaat didirikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201). 

Selain itu, terdapat riwayat daripada Tariq bin Syihab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap lelaki Muslim.”

 Riwayat Abu Daud (1067)

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah dan Ibn Umar R.Anhum, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda berada di atas mimbarnya:

لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya: “Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.”

Riwayat Muslim (865)

Bahkan menurut Ibn Munzir menyebutkan bahawa mereka (kaum Muslimin) telah berijma‘ bahawa sesungguhnya solat Jumaat itu adalah wajib ke atas orang-orang lelaki yang merdeka, baligh, bermukim lagi tiada uzur yang menghalangi mereka. (Lihat al-Ijma‘, hlm 40).

Justeru, pensyariatan solat Jumaat adalah disepakati kewajipannya kepada kaum lelaki yang memenuhi syarat-syaratnya berdasarkan nas dan kesepakatan umat Islam.

Syarat sah solat Jumaat

Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut tidak sah, melainkan setelah dia memenuhi empat syarat yang berikut: 

  1. Solat Jumaat hendaklah didirikan di dalam kawasan binaan, sama ada di bandar atau di kariah yang mempunyai penduduk yang bermustautin tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang cukup syarat-syarat wajib mendirikan Jumaat.
  2. Bilangan Jemaah bagi solat Jumaat ialah tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة) iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.
  3. Solat Jumaat hendaklah didirikan dalam waktu Zuhur.
  4. Jangan didirikan lebih daripada satu solat Jumaat pada satu tempat selagi ia boleh dilakukan demikian. Malahan mereka wajib berhimpun pada satu tempat. Namun harus berbuat lebih daripada satu tempat jika tempat tersebut tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/202-203).

Selain daripada itu, sebahagian ulama ada menyebutkan beberapa lagi syarat sah solat Jumaat selain daripada empat syarat di atas iaitu:

  • Tidak boleh mendahului atau serentak takbiratul ihram antara satu Jumaat dengan Jumaat yang lain dalam satu tempat kerana ditegah berbilang-bilang Jumaat pada satu tempat, kecuali ahli Jumaatnya ramai sukar untuk berhimpun di satu tempat.
  • Ditunaikan secara berjemaah hanya pada rakaat yang pertama dan berkekalan jemaahnya hingga selesai sujud kedua walaupun sekalian makmumnya mufaraqah daripada imamnya selepas sujud kedua pada rakaat pertama. Tetapi bilangan 40 orang adalah adalah disyaratkannya berkekalan dari awal hingga akhir Jumaat. Ahli jemaah yang mendapat satu rakaat bersama Imam dianggap sebagai mendapat Jumaat.
  • Hendaklah didahului dengan dua khutbah. (Lihat Matla‘ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/160-163; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 327-328; Nail al-Raja’ bi Syarhi Safinah al-Naja’, hlm. 156-158).

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, titik perbincangan adalah pada salah satu syarat sah solat Jumaat iaitu jemaahnya cukup sekurang-kurangnya 40 orang dan orang yang bermastautin.

Syeikh Ahmad bin Umar al-Syatiri mendefinisikan mastautin sebagai orang yang tidak bermusafir dari tempat yang mereka menetap (bermukim) pada musim panas atau sejuk melainkan ada keperluan seperti berniaga atau ziarah. (Lihat Nail al-Raja’ bi Syarhi Safinah al-Naja’, hlm. 157). 

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa mereka yang solat Jumaat boleh dibahagikan kepada enam kategori. Salah satunya adalah orang yang wajib menunaikan solat Jumaat dan solat Jumaat tersebut boleh dilaksanakan dengan sebab kehadirannya (memenuhi syarat wajib Jumaat) iaitu dia adalah seorang lelaki yang merdeka, baligh, berakal dan mastautin serta tiada sebarang keuzuran. Manakala orang yang bermukim tanpa mastautin termasuk dalam kategori orang yang wajib menunaikan solat Jumaat serta sah solat tersebut. Akan tetapi kehadiran mereka tidak diambil kira sebagai orang yang memenuhi syarat wajib Jumaat. Tidak sah solat Jumaat kecuali dengan bilangan jemaah 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة), dan mereka ialah orang lelaki yang baligh serta bermastautin di tempat tersebut. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/501-503).

Justeru, kita mengetahui bahawa salah satu syarat yang diambil kira sebagai jemaah Jumaat yang mencukupkan bilangan 40 orang di sesuatu tempat atau kariah ialah orang yang bermastautin di tempat tersebut. 

Tambahan lagi, Syeikh al-Baijuri juga ada menyatakan bahawa orang mastautin yang diambil kira padanya bilangan jemaah yang berkumpul, tidak musafir dari tempat menetapnya pada musim sejuk atau panas melainkan ada keperluan. (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, 1/407).

Maka kita fahami daripada kenyataan di atas, seseorang yang bermastautin perlu menunaikan solat Jumaat di kariahnya (tempatnya) melainkan ada keuzuran yang diizinkan oleh syarak.

Selain itu, Abu al-Hasan al-Mawardi ada menyatakan bahawa orang yang berada di luar kawasan (خَارِجَ الْمِصْرِ) terbahagi kepada 3 kategori:

  1. Orang yang wajib solat Jumaat dengan sebab diri mereka sendiri iaitu ahli kariah yang bermastautin, yang menjadi pelengkap kepada bilangan jemaah 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة). Mereka wajib menunaikannya di tempat mereka (kariah), sama ada tempat tersebut jauh atau dekat, mereka mendengar azan ataupun tidak kerana syarat-syarat solat Jumaat menjadi cukup disebabkan oleh kehadiran mereka. Namun, sekiranya mereka tidak menunaikan solat Jumaat di tempat mereka, mereka berdosa tetapi solat tersebut sah (diterima) kerana mereka telah menunaikan kewajipan solat wajib tersebut.
  2. Orang yang tidak wajib solat Jumaat dengan sebab diri mereka sendiri dan tidak juga dengan sebab yang lain iaitu meraka daripada kawasan yang tidak cukup bilangan jemaah 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة), dan berada di luar kawasan pada jarak yang jauh sehingga tidak sampai azan kepada mereka (tidak mendengar azan). 
  3. Orang yang tidak wajib solat Jumaat dengan sebab diri mereka sendiri tetapi wajib dengan sebab yang lain iaitu meraka daripada kawasan yang tidak cukup bilangan jemaah 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة). Akan tetapi mereka mendengar azan. Maka, mereka wajib pergi menunaikan solat Jumaat (di tempat yang mereka dengar azan itu). (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/404-405).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami menyimpulkannya kepada beberapa perkara: 

  • Seseorang yang bermastautin di dalam satu kariah dan dia sedang berada di dalam kariah tersebut terbahagi kepada dua keadaan: 
  1. Sekiranya dia menjadi pelengkap kepada bilangan 40 orang di kariahnya, maka dia tidak boleh solat Jumaat di tempat lain melainkan ada keuzuran yang diizinkan syarak. Sekiranya dia sengaja tidak solat di kariahnya, dia berdosa tetapi solatnya adalah sah.
  2. Jemaah Jumaat di kariahnya ramai dan melebihi bilangan 40 orang. Dalam situasi ini, dia boleh memilih untuk solat di masjid kariahnya atau tempat lain.  
  • Seseorang yang bermastautin tetapi sedang berada di luar kawasan kariahnya kerana ada keperluan seperti ziarah, bekerja atau lain-lain. Bagi situasi ini, kami berpendapat bahawa mereka boleh solat Jumaat di mana-mana tempat selain kariah mereka. Hal ini kerana mengambil kira kesukaran dan kesulitan yang dialami oleh mereka sekiranya hendak pulang segera ke kariah masing-masing bagi menunaikan solat Jumaat. Ini selari dengan syariat Islam itu yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan.
  • Perlu kepada kita mengambil kira situasi dan keadaan semasa di mana istilah kampung dan taman hampir tidak popular jika di kawasan bandar atau separa bandar. Di samping masjid yang amat banyak dan tidaklah berjauhan antara satu sama lain. Sedangkan tempat seseorang itu tinggal masjidnya juga melebihi 40 jemaah. Kami melihat isu ini lebih kepada keringanan, maslahat dan kemudahan dalam menyahut nida’ (seruan) solat Jumaat itu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 27 April 2023 bersamaan 6 Syawal 1444H

0 thoughts on “#1393: Solat Jumaat di Kariah Lain

  1. Nazrol Hisham says:

    Assalamualikum
    Saya nak penjelasan tentang orang yang bermusafir pada hari Jumaat (bermusafir selepas waktu subuh) dan waktu magrib
    1) Boleh atau tidak, melakukan solat jamak takdim (Azar dalam Zohor), selepas mengikuti Solat Jumaat bersama imam mukim mukim/bermustautin.
    2) Boleh atau tidak, melakukan solat jamak takdim (Isyak dalam Magrib), setelah berimam dengan imam mukim/bermustautin.

Leave a Reply