Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan agama. Bolehkah dalam tempoh ‘iddah mak saya yang kematian ayah saya, saya hendak membawa mak saya pulang ke kampung untuk menemui nenek (belah arwah ayah)? Hari ini genap 3 bulan ayah saya meninggal dunia.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. Hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:

  • Menunjuk kesetiaan kepada suami yang telah meninggal dunia. Justeru, Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya, setia dan melayaninya. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
  • Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

Para ulama’ dan imam-imam mazhab yang empat telah membuat kesimpulan berkaitan dengan hukum-hakam ihdad antara lain kata mereka:

  • Bahawa sesungguhnya ihdad wajib ke atas kematian suami untuk menzahirkan rasa dukacita dan menunaikan janjinya. Begitu juga kerana terputusnya nikmat perkahwinan dan bukan semata-mata nikmat dunia tetapi melangkaui akhirat. Ini kerana, nikah menjadi sebab kejayaan mereka di dunia dan akhirat.
  • Begitu juga pensyariatan ihdad kerana mencegah niat lelaki untuk bersama dengannya kerana kalau dia berhias-hias sudah pasti membawa ke arah itu dan ini tidak dibenarkan sama sekali. (Lihat Hasyiah Sa’di Jalbi ‘ala Syarh Fath al-Qadir, 3/291)

‘Iddah kerana kematian ialah `iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:

  • Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka `iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada `iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.
  • Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Ini seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka `iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji 3/63)

Wanita yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya. Kewajiban untuk beriddah selama empat bulan sepuluh hari bagi wanita yang kematian suaminya adalah sabit dalam Hukum Syara’. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.

Riwayat al-Bukhari (5338)

Keluar Rumah Ketika Dalam Iddah

Pada asasnya, seorang wanita yang berada dalam iddah kematian suami, tidak boleh keluar daripada rumahnya sepanjang tempoh iddah dan berkabung. Hal ini kerana wanita yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:

  • Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, berhias, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.
  • Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat seperti membeli keperluan makanan dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73)

Justeru, tidak ada masalah bagi orang yang berada dalam iddah untuk keluar dengan hajat walaupun dengan hajat yang ringan. Hal ini kerana Nabi SAW mengizinkan ibu saudara Jabir bin Abdullah RA yang masih dalam iddah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya:Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: “Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”

Riwayat Muslim (1483)

Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini menjadi dalil bahawa bolehnya perempuan dalam iddah bain untuk keluar dengan hajat. Ini merupakan pendapat mazhab Malik, al-Thauri, al-Laith, al-Syafi’ie, Ahmad dan lain-lain yang mengharuskan perempuan dalam iddah untuk keluar dengan hajat pada siang hari. Begitu juga mereka mengharuskan perempuan yang dalam iddah kematian suami untuk keluar dengan hajat dan ia dipersetujui oleh Abu Hanifah. Namun begitu, Abu Hanifah menyatakan bahawa bagi iddah talak bain, wanita tersebut tidak boleh keluar rumah, sama ada malam atau pun siang. Hadith ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/108)

Imam al-Nawawi berkata lagi: Perempuan yang kematian suami boleh keluar ketika dalam iddah kematian tersebut (dengan hajat), begitu juga bagi yang dalam iddah bain pada siang  hari untuk membeli makanan dan seumpamanya, dan juga pada malam hari dengan jiran tetangga untuk bercakap, dan seumpamanya, dengan syarat dia pulang dan bermalam di rumahnya. (Lihat al-Minhaj al-Talibin, hlm. 256-257)

Rukhsah dan keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita yang beriddah tadi hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam ke rumah tempat iddahnya. Fakta ini ada disebutkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli apabila mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi: [Dengan syarat hendaklah wanita itu pulang ke dan bermalam di rumahnya] sepertimana yang riwayat daripada al-Syafie dan al-Baihaqi – semoga Allah Ta’ala merahmati mereka berdua: Sesungguhnya ramai orang lelaki telah syahid sewaktu Perang Uhud. Lalu golongan wanita (balu-balu itu) berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami berasa takut berada di rumah-rumah kami lalu kami bermalam di rumah salah seorang daripada kalangan kami.” Lalu baginda SAW mengizinkan mereka untuk berbual di rumah salah seorang daripada mereka, tetapi apabila waktu tidur, setiap seorang daripada mereka hendalah balik ke rumah masing-masing.”  (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 7/156)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa sekiranya lawatan atau ziarah tersebut merupakan keperluan atau hajat yang penting, maka ia dibenarkan dengan syarat dia keluar dalam keadaan tidak berhias dan juga dia keluar pada siang hari serta pulang bermalam di rumah tempat dia menyelesaikan iddah. Tetapi sekiranya ziarah tersebut bukanlah keperluan atau hajat yang penting, maka dia perlu terus kekal berada di rumahnya untuk menyelesaikan iddahnya selama 4 bulan 10 hari.

Namun begitu, sekiranya rumah mertua yang ingin diziarah tersebut walaupun dengan hajat yang penting mencapai had musafir, maka ia tidaklah dibolehkan. Dairah al-Ifta’ Jordan dalam fatwanya menyebutkan: “Kami berpendapat bahawa tidak ada halangan bagi wanita yang beriddah untuk keluar dengan kadar yang perlu seperti keluar bekerja atau berziarah dengan tujuan yang penting dengan syarat dia kembali dan tinggal bermalam di rumah yang diwajibkan untuk dia menyelesaikan iddahnya, adapun sekiranya dia keluar sehingga mencapai had musafir, maka dia tidak boleh keluar ke tempat tersebut. wallahu’alam.[1]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3382

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 12 Syawal 1444H

Leave a Reply