Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Soalan saya dari anak saya yang berumur 8 tahun. Selepas meninggal masuk kubur, sekiranya soalan yang ditanya malaikat dapat dijawab, dimana roh kita selepas itu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, saya katakan isu ini terbahagi kepada dua. Pertama, jika seseorang itu mati syahid maka kedudukannya di dalam tembolok burung berwarna hijau berterbangan dalam syurga.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Nabi SAW bersabda:
لَمَّا أُصِيبَ إِخْوَانُكُمْ بِأُحُدٍ جَعَلَ اللَّهُ أَرْوَاحَهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ تَرِدُ أَنْهَارَ الْجَنَّةِ، تَأْكُلُ مِنْ ثِمَارِهَا، وَتَأْوِي إِلَى قَنَادِيلَ مِنْ ذَهَبٍ مُعَلَّقَةٍ فِي ظِلِّ الْعَرْشِ، فَلَمَّا وَجَدُوا طِيبَ مَأْكَلِهِمْ وَمَشْرَبِهِمْ وَمَقِيلِهِمْ قَالُوا : مَنْ يُبَلِّغُ إِخْوَانَنَا عَنَّا أَنَّا أَحْيَاءٌ فِي الْجَنَّةِ نُرْزَقُ لِئَلاَّ يَزْهَدُوا فِي الْجِهَادِ وَلاَ يَنْكُلُوا عِنْدَ الْحَرْبِ فَقَالَ اللَّهُ سُبْحَانَهُ : أَنَا أُبَلِّغُهُمْ عَنْكُمْ . قَالَ : فَأَنْزَلَ اللَّهُ {وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا}. إِلَى آخِرِ الآيَةِ .
Maksudnya: “Ketika saudara-saudara kamu gugur dalam Perang Uhud, Allah menjadikan ruh-ruh mereka di dalam tembolok burung hijau yang mendatangi sungai-sungai di Syurga, memakan buah-buahannya dan hinggap di lentera (lampu yang bertutup dengan kaca) daripada emas yang tergantung di bawah naungan Arasy. Ketika mereka mendapat makanan, minuman dan tempat tinggal yang baik, mereka berkata: ‘Siapa yang menyampaikan kepada saudara-saudara kami bahawa kami saat ini hidup di Syurga dalam keadaan diberi rezeki, agar mereka tidak bersikap menahan diri daripada jihad dan tidak menolak untuk berangkat berperang.’ Allah berfirman: “Aku yang menyampaikan untuk kamu semua kepada mereka.’ Maka turunlah ayat, ‘وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا’ sehingga akhir ayat. [Surah Ali Imran: 169].”
Riwayat Abu Dawud (2520); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (6/104); al-Sunan al-Kubra (9/275); al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/97); Ahmad (2388) dengan sedikit perbezaan. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan dalam takhrij Sunan Abi Dawud. Begitu juga Ibn Mulaqqin dalam Syarh al-Bukhari (17/403) menilainya sebagai sahih.
Ibnu Qayyim dalam kitab Ruh berkata (1/90-92), masalah ini khilaf yang besar. Antaranya:
- Ruh orang yang beriman di sisi Allah SWT dalam syurga sama ada mereka mati syahid atau pun sebaliknya. Ia bersyaratkan jika tidak dihalang daripada syurga dengan sebab dosa besar atau hutang dan mereka menerima keampunan Tuhan mereka dan rahmat. Inilah juga mazhab Abi Hurairah dan Abdullah bin Umar R.Anhum.
- Sebahagian ulama berpendapat dia berada berhampiran dengan pintu syurga yang datang kepada mereka daripada sebahagian nikmat dan rezeki syurga.
- Sebahagian ulama berpendapat ruh-ruh tersebut masih berada di kubur mereka.
- Imam Malik berpendapat telah sampai kepadaku bahawa ruh dibebaskan boleh pergi ke mana yang dia mahu.
- Imam Ahmad dalam riwayat anaknya, Abdullah berkata, “Ruh orang kafir dalam neraka dan ruh orang beriman dalam syurga.”
- Abu Abdillah bin Mandah berkata, “Sebahagian sahabat dan tabi’in berpendapat, ruh orang yang beriman di sisi Allah Azza wa Jalla dan tiadalah mereka menambah atas yang demikian.”
- Diriwayatkan daripada jama’ah sahabah dan tabi’in berkata, “Ruh orang-orang beriman di Jabiyah dan ruh orang-orang kafir di telaga Barahut, telaga yang terletak di Hadramaut.”
- Sebahagian ulama berkata, “Ruh orang-orang yang beriman di telaga zamzam sedangkan ruh orang-orang Kafir di telaga Barhut.”
- Salman al-Farisi berkata, “Ruh orang-orang yang beriman di barzakh di bumi boleh pergi ke mana ia mahu sedangkan ruh orang-orang kafir di Sijjin.” Dalam satu lafaz daripadanya, ruh orang yang beriman boleh pergi ke bumi di mana yang ia mahu.
- Sebahagian ulama berpendapat ruh orang-orang yang beriman di sebelah kanan Adam dan ruh orang-orang yang kafir di sebelah kirinya.
- Sebahagian ulama antaranya, Ibnu Hazm berpendapat, tempat tinggal ruh kembali ke tempat asal sebelum jasad diciptakan.
Ibnu Abi ‘Izz membuat komentar selepas menyebut pendapat ulama dalam masalah ini melalui kitab Syarah al-Aqidah al-Tahawiyah (1/396), khulasahnya ialah, bahawa ruh-ruh di barzakh berbeza kedudukan antara satu sama lain:
- Ruh yang berada di tempat tertinggi ‘Illiyyiin di al-Mala’ al-A’la iaitu ruh para nabi yang juga berbeza kedudukan mereka.
- Ruh yang berada dalam tembolok burung hijau yang berterbangan dalam syurga mengikut kemahuannya. Iaitu ruh sebahagian orang mati syahid bukan semuanya. Ini kerana, sebahagian mereka telah dihalang dari masuk syurga dengan sebab hutang.
- Ruh yang dihalang di pintu syurga, ruh yang dihalang di kuburnya, ruh yang berada di bumi, ruh yang berada seperti di tempat pembakar roti bagi golongan penzina lelaki dan perempuan, ruh yang berada di sungai darah yang berenang dan dilempar batu ke mulutnya. Semuanya ini berdasarkan kepada sunnah. Wallahu a’lam.
Justeru, saya katakan amallah dengan kebaikan. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan orang-orang soleh. Amin.
Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H
Assalamualaikum ustaz, mohon izin bertanya, boleh saya tahu pendapat ulama yg berbeza pandangan biasanya sebab apa ye? Mereka pandukan pada rujukan hadis yg berbeza ke?
Assalamu’alaikum Dr Zul
Terima kasih atas penerangan yg diberikan. Namun ilmu berkenaan ruh ini juga amat terbatas seperti firmanNya
QS 17:85.
Moga kita semua beroleh pengakhiran yg baik.