Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Ustaz, bolehkah mendirikan solat Isyak di masjid dengan mengikut imam berserta niat jamak ta’khir, kemudian barulah mengerjakan solat maghrib? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat secara jamak termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak. Di antara dalil disyariatkan jamak pula adalah berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.

Riwayat al-Bukhari (1107)

Jamak pula terbahagi kepada dua jenis iaitu iaitu jamak taqdim yang bermaksud membawa solat yang kedua ke dalam solat yang pertama, dan jamak ta’khir yang bermaksud membawa solat yang pertama ke dalam waktu solat yang kedua. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/188).

Secara umumnya, terdapat dua syarat untuk melakukan jamak ta’khir iaitu:

  • Berniat menjamakkan solat yang pertama dalam waktunya yang asal kepada solat yang kedua. Sekiranya tamat waktu Zuhur tanpa berniat menjamakkan solat Zuhur kepada Asar maka solat Zuhur wajib diqadha’kan serta berdosa oleh sebab melengah-lengahkannya.
  • Masih dalam musafir hingga selesai mengerjakan kedua-dua solat. Oleh itu, sekiranya telah sampai sebelum kedua-dua solat berkenaan selesai maka solat yang terkemudian menjadi solat qadha’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/189).

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam jamak ta’khir, tertib antara kedua-dua solat dan juga berturutan antara dua solat tidak disyaratkan mengikut pendapat yang sahih, akan tetapi ia disunatkan dan digalakkan. Maka, seseorang itu boleh memulakan dengan mana-mana antara dua solat yang dikehendakinya kerana ia tidak wajib kerana waktu tersebut adalah untuk solat kedua, maka ia tidak menjadi solat yang mengikut (solat yang pertama kerana itu adalah waktunya). Akan tetapi disunatkan untuk memulakan dengan solat yang pertama. Begitu juga tidak diwajibkan berturutan antara dua solat (muwalah) kerana keluarnya waktu solat pertama dari waktu asalnya menyerupai solat yang terluput dari waktunya, berdalilkan ketiadaan azan baginya. Jika ia tidak dikira solat yang terluput dari waktunya disebabkan pensyariatan jamak, namun muwalah tetap tidak diwajibkan kerana tidak wajib untuk berniat jamak dalam solat yang pertama (tetapi dalam waktu solat yang pertama). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/482; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 321; al-Fiqh al-Manhaji, 1/189).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang itu boleh untuk mengerjakan solat Isyak terlebih dahulu dan kemudiannya barulah solat Maghrib dalam jamak ta’khir sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana disunatkan untuk seseorang musafir itu dalam jamak ta’khir untuk mengikut tertib solat dengan menunaikan solat yang pertama dahulu, kemudian barulah solat yang kedua serta berturutan antara keduanya. Akan tetapi jika dia tetap memulakan dengan solat yang kedua, solatnya adalah sah.

Walau bagaimanapun tidak dinafikan bahawa dalam jamak ta’khir memulakan dengan solat Maghrib terlebih dahulu adalah lebih utama dan digalakkan serta keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkan mengikut tertib solat sekalipun ketika jamak ta’khir. Inilah yang kami lihat lebih baik (afdhal) untuk diamalkan. Ia juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

 

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply