Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, adakah dosa mengajar kemaksiatan kepada seseorang akan diwarisinya? Sebagai contoh, Ali pernah mengajar Awang melakukan kemungkaran. Setelah berlalu suatu masa, Ali sudah meninggalkan perkara tersebut tetapi Awang masih lagi tidak. Ali tidak dapat menegur Awang kerana terputus hubungan. Adakah Ali mendapat saham dosa Awang setiap kali Awang melakukan kemungkaran tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya,  Islam melarang keras umatnya untuk membantu serta melakukan perkara bercanggah dengan syariat. Ini kerana, sesiapa yang memberi pertunjuk kepada sesuatu perkara, maka Allah SWT akan membalas dan memberi ganjaran terhadap apa yang dilakukannya dengan mengikut apa yang dilakukannya.

Firman Allah SWT:

لِيَحْمِلُوا أَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۙ وَمِنْ أَوْزَارِ الَّذِينَ يُضِلُّونَهُم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ أَلَا سَاءَ مَا يَزِرُونَ

Maksudnya: “(Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.”

(Surah al-Nahl: 25)

Ibn Kathir menafsirkan ayat di atas dengan membawa pandangan Imam Mujahid katanya: Yang dimaksudkan (يَحْمِلُونَ أَثْقَالَهُمْ (“Ialah mereka akan menanggung segala dosanya dan dosa yang mengikutinya. Dan mereka tidak akan diberi keringanan azab siksaan kerana dosa orang yang mengikutinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/566)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا، وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mencipta dalam agama ikutan yang elok maka baginya pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya selepasnya dengan tiada kurang sedikit pun dari pahala mereka itu. Dan sesiapa yang mencipta pada agama akan satu ikutan yang keji maka adalah atasnya dosanya dan dosa orang yang beramal dengannya selepasnya dengan tiada kurang sedikit pun dari dosa mereka itu.”

Riwayat Muslim (1017)

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadis di atas dengan menyatakan, “Disunatkan membantu kepada perkara yang baik dan haram membantu kepada kemungkaran. Sesiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka akan diberi ganjaran seperti mana orang yang mengamalkannya sehingga hari kiamat. Begitu juga sebaliknya, sesiapa yang memberi petunjuk kepada kemungkaran maka akan mendapat balasan dosa seperti mana orang yang melakukannya sehingga hari kiamat…ini bermaksud ganjaran dan balasan akan berterusan pada waktu hidupnya atau selepas kematiannya”. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 16/226-227)

Selain itu al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya menyatakan, orang yang menanggung dosa yang diajarinya sehingga ke hari kiamat adalah orang yang masih belum bertaubat di atas dosanya itu. (Lihat Fath al-Bari, 12/193)

 

Penutup

Berdasarkan persoalan di atas, kami berpendapat bahawa ia tidak lagi diwarisi olehnya setelah ia bertaubat bersungguh-sungguh, memperbaiki keadaan dan kemaksiatan yang dilakukannya serta tidak mengulanginya kembali. Melainkan mereka yang masih belum bertaubat terhadap dosa yang dilakukannya.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ

Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).”

(Surah al-An’am: 164)

Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/383-384)

Begitu juga, apabila seseorang telah melakukan maksiat kemudian bertaubat dengan taubat nasuha, maka diharap dia termasuk dalam firman Allah SWT:

فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Furqan: 70)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan: Terdapat dua pendapat berkenaan tafsiran ayat ini, pertamanya: “Mereka mengganti tempat melakukan kejahatan dengan melakukan kebaikan. Ali bin Abi Talib meriwayatkan daripada Ibnu Abbas tentang firman Allah, ‘Mereka yang mengerjakan kebaikan, nescaya akan diberi balasan yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.’ Ibnu Abbas berkata, ‘Mereka adalah orang-orang beriman. Mereka sebelumnya melakukan kejahatan, kemudian Allah menghendaki agar mereka berpaling darinya dan berpindah kepada kebaikan. Maka Allah mengganti tempat kejahatan mereka dengan kebaikan.’ Pendapat kedua pula ialah Dosa-dosa yang telah lalu akan berubah menjadi kebaikan dengan taubat yang ikhlas. Dan itu tidak lain hanyalah dengan mengingati masa lalu, menyesal, kemudian merenungkannya dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Dosa tersebut akan berubah menjadi ketaatan dengan cara ini (bertaubat). Dan pada hari kiamat, meskipun dosa itu tertulis, namun ia tidak akan membahayakan seseorang dan dosa tersebut akan berubah menjadi kebaikan di dalam catatannya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/127)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Sesiapa yang bertaubat kepada Allah SWT di dunia daripada semua perbuatan dosa tersebut dengan meninggalkannya dan menyesalinya, maka dialah orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya, dan hari akhirat, serta mengerjakan amal kebajikan. Mereka itulah orang yang Allah SWT akan menghapus darinya dosa-dosa dan Allah SWT akan menggantikan dosa-dosa mereka dengan kebaikan (pahala) kerana mereka bertaubat dan mengerjakan kebajikan, atau perbuatan dosa-dosa yang telah lalu itu diganti dengan kebaikan (pahala) apabila bertaubat. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 10/124)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply