Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato Seri. Maaf soalan saya agak panjang. Saya wanita, belum berkahwin dan menghidap penyakit kronik. Doktor memberitahu bahawa penyakit saya boleh menyebabkan komplikasi dan kematian sekiranya saya mengandung. 

Hal ini menyebabkan saya tidak pernah meletakkan harapan untuk berkahwin kerana tahu tidak semua orang dapat terima pesakit seperti saya sebagai pasangan hidup. Saya masih berdoa untuk diberikan jodoh yang baik tapi hanya lafaz secara lisan sahaja tanpa berharap kerana takut kecewa jika doa saya tidak dimakbulkan. 

Adakah saya dikira orang yang berputus asa? Dan bagaimana untuk saya tetap dapat menjaga kehormatan diri sebagai seorang muslimah jika memang tiada jodoh saya di dunia? Dalam kesempatan ini saya mohon doa dari Dato Seri semoga Allah sembuhkan sakit saya dan sesiapa sahaja yang menghidap penyakit, diampuni dosa dan diterima segala amal ibadat.

Terima kasih Dato Seri sudi menjawab soalan saya. Moga Allah berkati Dato Seri sekeluarga dan seluruh team Maktabah Al-Bakri.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah: 155)

Ibn Kathir berkata Allah SWT memberitahu hamba-Nya bahawa Dia akan menimpakan ujian kepada hamba-Nya untuk membezakan yang benar (imannya) daripada yang palsu dan membezakan hambanya yang gelisah dan yang sabar. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/344)

Al-Syaukani berkata: Makna ‘وَلَنَبْلُوَنَّكُم’ adalah kami mencuba kamu untuk menguji kamu, apakah kamu bersabar terhadap qadha’ atau tidak? Penyebutan lafaz ‘شَيْء’ secara nakirah menunjukkan sedikit. Yakni, dengan sedikit daripada perkara-perkara ini. (Lihat Fath al-Qadir, 1/609)

Saya katakan jadilah orang Islam yang sentiasa mendapat kebaikan di sisi Allah SWT sama ada ketika diuji atau mendapat kurniaan. Sabda Nabi SAW:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Dalam menjawab persoalan saudari, saya kemukakan beberapa noktah:

  • Sikap saudari ingin mempelajari ilmu dan bertanya adalah sikap yang terpuji. Ini supaya, kita sentiasa berjalan di bawah panduan kitabullah dan hadyun nabawi
  • Kesabaran yang saudari lazimi dan pakaikan pada diri saudari adalah sifat yang baik. Kelebihan dan fadhilat sabar amat banyak sama ada dalam nas dan hadith Nabi SAW termasuk yang telah kami sebutkan tadi.
  • Saya yakin setiap penyakit ada ubatnya dan penawarnya. Justeru, jangan berputus asa dalam mencari penawar dan ubat serta mohonlah kepada Allah SWT kerana Allah lah asyafi al-haqiqi atau penyembuh yang sebenarnya. Salah satu caranya dengan saudari bersedekah untuk diniatkan kesembuhan. Saya telah menyebut dalam buku Keajaiban Sedekah dengan dalil yang panjang.
  • Berdoa untuk bertemu dengan jodoh dan sikap tidak mengharapkan  kerana dibimbangi termasuk dalam putus asa adalah kurang sesuai. Sebaliknya, berdoalah kepada Allah SWT dengan sepenuh hati agar dikurniakan oleh Allah SWT. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.”

Riwayat al-Tirmizi (3479)

  • Selain dari itu, bertawakallah kepada Allah SWT serta sentiasa bertaqwa kerana dengan taqwa dan tawakkal akan diberi jalan pelepasan, diberi rezeki, dan Allah SWT mencukupkannya dalam kehidupan ini. Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

(Surah al-Talaq: 2-3)

  • Wajib bagi kita beriman dengan qadha’ dan qadar. Paling utama redha dengan keputusan Allah SWT, kerana matlamat hakiki kehidupan adalah mencari mardhatillah yang akhirnya menjadi lesen dan tiket menuju ke syurga Allah SWT. Di sana kelak, semua kehendak kita akan dikurniakan Allah SWT.

Justeru, saya akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ البَاسَ، اشْفِهِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan segala manusia, hilangkanlah sakit dan sembuhkanlah dia, Engkaulah yang Maha Menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada-Mu sahaja, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang rasa sakit lagi (selepas itu).” 

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply