Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah membuat nazar tetapi tidak mampu untuk menunaikannya. Dan saya juga telah membayar denda kaffarah. Soalan saya, adakah saya perlu menunaikan nazar tersebut walaupun sudah membayar kaffarah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nazar merupakan janji manusia kepada Allah SWT bagi tujuan mendekatkan diri kepada penciptaNya. Apabila sempurna syarat dan rukunnya maka wajib melaksanakannya. Firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya,”

(Surah al-Hajj:29)

Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain RA, sabda Baginda SAW:

لاَ نَذْرَ فِي مَعْصِيَةٍ

Maksudnya: “Tidak ada Nazar dalam perkara kemaksiatan kepada Allah SWT.”

Sunan Ibnu Majah (2124)

Berdasarkan persoalan di atas, saudara telah menunaikan kaffarah nazar. Hadis daripada ‘Uqbah Bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَّارَةُ النَّذْرِ كَفَّارَةُ اليَمِينِ

Maksudnya: “Kaffarah nazar sama seperti kaffarah sumpah.”

Riwayat Muslim (1645)

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Maidah, 89)

Justeru, saya katakan telah terangkat di atas zimmah saudara pelaksanaan nazar selepas dibayar kaffarah. Sebaik-baiknya, jika mempunyai peluang untuk melakukan maka lakukanlah tetapi bukanlah untuk melaksanakan nazar yang terdahulu yang sudah pun dibayar kaffarah.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam agama dan al-Quran.

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

 

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Leave a Reply