Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada rantai tangan emas. Boleh ke saya trade in dengan rantai emas yang baru? Atau saya perlu jual dahulu. Kemudian duit tersebut guna untuk beli barang kemas.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum trade in rantai emas dengan rantai emas yang baru telah dibahaskan oleh ulama. Ini kerana, emas termasuk dalam perkara ribawi. Justeru, dikenakan syaratnya. Rasulullah SAW bersabda:

 الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والوَرِقُ بالوَرِقُ، مِثلًا بمِثلٍ، يَدًا بيَدٍ

Riwayat Ahmad (9639), Al-Nasa‘ie (4569), dan Muslim (1588)

Imam Nawawi berkata: Para ulama’ bersepakat bahawa tidak boleh jual beli perkara ribawi untuk jenisnya dengan salah satunya ditangguhkan, dan tidak boleh melebihkan (kuantiti pada salah satunya) jika dijual untuk jenisnya secara langsung, seperti emas dengan emas. Dan ia tidak dibenarkan untuk bersurai sebelum pertukaran jika ia dijual untuk jenisnya atau jenis yang berbeza dari apa yang berkongsi ‘illah, seperti emas dengan perak, dan gandum dengan barli. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 11/194)

Berdasarkan nas di atas, menunjukkan kepada kita bahawa syarat bagi trade in emas mestilah:

  • Hendaklah jumlah dan nilai beratnya sama
  • Hendaklah bersifat secara langsung tanpa bertangguh

Apabila dipenuhi dua syarat ini, maka bolehlah trade in emas seperti rantai tangan emas kita dengan rantai emas yang baru. Isu emas ini amat perlu kita berhati-hati supaya kita dapat mengelakkan diri kita dari terbelenggu dan terjatuh ke dalam lembah riba. Sedangkan riba termasuk salah satu daripada 7 dosa besar yang wajib dijauhi oleh umat Islam. Cukuplah firman Allah SWT yang meggambarkan kehinaan serta kerugian yang amat besar kepada mereka yang beramal dengan riba dan makan riba.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ 

Maksudnya: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: ‘Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba’. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah Al-Baqarah: 275)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata, bahawa mereka yang makan riba’ tidak akan bangkit dari kuburnya pada hari kiamat, melainkan sebagaimana orang yang menghidapi sakit sawan itu bangkit ketika dia menderita terkena sawan, dan (rasukan) syaitan membuatnya terhuyung-hayang. Dan itu adalah kerana dia berdiri dalam kehinaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/708)

Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang taat serta menjarakkan dar larangan-Nya termasuklah debu-debu riba. Amin.

 

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply