Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagi seseorang wanita yang istihadah, wuduknya hanya sah untuk menunaikan solat fardhu 1 waktu sahaja, manakala sunat boleh. Persoalan saya, bagaimanakah wuduk bagi wanita istihadah yang dalam musafir dan perlu menunaikan solat jamak qasar? Adakah perlu mengambil 2 kali wudu’? Terutamanya menunaikan solat pada waktu puncak dan ramai orang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Terima kasih Dato’ Seri.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Istihadah menurut syarak ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai (العاذل) selepas tempoh sebanyak-banyak haid atau selepas tempoh sebanyak-banyak nifas atau darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. (Lihat al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1/126)

Wanita istihadah dihukumkan seperti wanita suci. Maka, wanita istihadah (mustahadah)  boleh melakukan solat, puasa dan semua ibadah. Berkata  Imam al-Nawawi:

الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا

Maksudnya: “Orang yang sedang istihadah seperti (mengambil hukum) orang yang suci dalam (hukum) solat, puasa, iktikaf, membaca al-quran dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘, 2/372).

Perintah kewajipan melakukan solat bagi perempuan yang sedang beristihadah  berdasarkan riwayat Aisyah R.Anha, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW  kemudian dia bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang mengalami darah istihadah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak, kerana darah itu daripada urat (darah penyakit)  bukannya darah haid. Maka ketika kedatangan haid tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis haid  (kadar adatnya).   Maka kamu mandilah, dan dirikanlah solat.”

Riwayat al-Bukhari (306) dan Muslim (333)

Imam Nawawi menyatakan  bahawa makmum wanita dibenarkan solat berimamkan wanita istihadah  yang kekal dalam hadas dan  sah solat mereka. Namun, makmum wanita tidak dibenarkan solat berimamkan  wanita mutahayyarah [1]. Ini pendapat paling sahih  dalam Mazhab Syafie.  (Lihat Mughni al-Muhtaj (1/484); Lihat  Raudhah al-Talibin (1/351). Wanita mutahayyarah (مُتَحيَّرَة) tidak dibenarkan menjadi imam sekalipun makmumnya  wanita mutahayyarah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/172; Tuhfah al-Muhtaj, 2/289).

Imam Ibn Hajar menjelaskan alasan solat  makmum wanita sah yang  berimamkan mustahadah adalah kerana wanita istihadah solatnya sah. Sekiranya barisan makmum wanita turut  mengalami istihadah, maka sah juga solat jemaahnya tanpa ada perselisihan pendapat (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/289; Nihayah al-Muhtaj, 2/172). Oleh itu, wanita istihadah boleh solat berjemaah sama ada menjadi makmum mahupun imam.

Hukum  wanita istihadah (mustahadah) sama hukumnya dengan mereka mengalami kencing tidak lawas (سَلِس الْبَوْل) yang tidak terhalang untuk melaksanakan solat dan puasa. Wanita istihadah wajib membasuh faraj serta membalutnya (sumbat dengan kapas dan memakai tuala wanita). Seterusnya mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat. Adapun, melambatkan  solat hanya pada perkara-perkara persediaan sebelum solat ( kemaslahatan yang berkaitan solat) seperti menutup aurat, menanti jemaah dan seumpamanya. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wuduknya (tidak batal). Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya keperluan, maka terbatal  wuduk  menurut pendapat sahih. Wajib keatas mustahadah mengambil wuduk setiap kali solat fardu dan memperbaharui balutan (tuala wanita) menurut pendapat paling sahih (al-ashah) (Lihat Minhaj al-Talibin 1/19).

Menjawab persoalan di atas, sebahagian ulama mengharuskan orang yang menghadapi masalah sedemikian menjamakkan dua solat dengan sekali wuduk iaitu menjamakkan Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isyak. Ini kerana Rasulullah SAW pernah menyuruh Hamnah binti Jahsyi R.Anha yang mengalami masalah istihadhah menjamakkan dua solatnya dengan sekali mandi sebagaimana baginda pernah menyuruh Sahlah binti Suhail R.Anha berbuat yang sama.

Daripada Hamnah binti Jahsy R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda: 

 وإنْ قَويتِ على أنْ تُؤخِّري الظُّهرَ وتُعَجِّلي العَصرَ، فتَغتَسِلينَ، وتَجمَعينَ بينَ الصلاتَيْنِ: الظُّهرِ والعَصرِ، وتُؤخِّرينَ المَغرِبَ وتُعَجِّلينَ العِشاءَ، ثم تَغتَسِلينَ وتَجمَعينَ بينَ الصلاتَيْنِ، فافْعَلي، وتَغتَسِلينَ معَ الفَجرِ فافْعَلي.

Maksudnya: “Jika kamu mampu untuk menta’khirkan solat Zohor dan mengawalkan solat Asar, maka kamu mandilah dan kamu himpunkanlah antara dua solat tersebut, Zohor dan Asar. Begitu juga kamu menta’khirkan solat maghrib dan kamu menyegerakan solat Isyak dan kemudian kamu mandi dan himpunkan antara dua solat, maka lakukanlah. Kamu hanya mandi hanya untuk solat fajar, maka lakukanlah.”

Riwayat Abu Daud (287)

Sebahagian ulama menganggap ini adalah jama’ Suri atau gambaran sahaja seperti jamak, tetapi bukan jama’. Wallahu a’lam.

Daripada ‘Aisyah Ummul Mukminin R.Anha, katanya: 

 إنّ سَهلةَ بنتَ سُهيلِ بنِ عَمرٍو استُحيضَتْ، فأتَتْ رسولَ اللهِ ﷺ، فسأَلَتْه عن ذلك، فأمَرَها بالغُسلِ عندَ كلِّ صلاةٍ، فلمّا جهَدَها ذلك، أمَرَها أنْ تَجمَعَ بينَ الظُّهرِ والعَصرِ بغُسلٍ، والمَغرِبِ والعِشاءِ بغُسلٍ، والصبْحِ بغُسلٍ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Sahlah binti Suhail bin Amru didatangi istihadah, maka dia berjumpa Rasulullah SAW lalu bertanya kepadanya tentang hal tersebut. Kemudian baginda memerintahkannya untuk mandi bagi setiap solat, tatkala dia sukar dan letih melaksanakannya, maka Rsulullah SAW memerintahkannya untuk menghimpunkan  antara Zohor dan Asar dengan satu kali mandi, Maghrib dan Isyak dengan satu kali mandi, dan Subuh satu kali mandi.”

Riwayat Abu Daud (295) dan Ahmad (24879)

Berdasarkan nas di atas, saya lebih cenderung bahawa dalam isu ini boleh bagi wanita istihadah untuk melakukan sekali wuduk sahaja. Sementelahan lagi solat tersebut adalah solat jamak. Ini kerana, solat tersebut dijamakkan dan gambaran jamak tidak akan zahir dengan sebab terputus masa antara 2 solat semata-mata untuk berwuduk. Jika berlaku pengambilan wuduk, dengan situasi yang berlaku di  kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang penuh sesak dengan orang ramai, terutamanya waktu puncak seperti perayaan, percutian, dan lain-lain, maka sudah tentu akan menyukarkan wanita tadi dan mengambil masa yang amat lama untuk berwuduk kali kedua. Wallahu a‘lam.

[1] Wanita mutahayyirah ( kebingungan ) istilah bagi wanita yang keluar darah tidak henti dan lupa  mengingati tempoh kebiasaan bilangan haidnya, permulaan dan akhirnya  (Lihat : al-Majmu Syarh Muhazab 2/459)

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply