Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika seorang wanita itu bernikah ketika sedang hamil? Adakah sah pernikahan itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam sangat menggalakkan perkahwinan bagi umatnya, ini berdasarkan beberapa  dalil daripada al-Quran. 

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ

Maksudnya: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Firman Allah SWT lagi:

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Nur: 32)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya:Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka berkahwinlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).

Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)

Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu diketahui terlebih dahulu keadaan wanita yang hamil tersebut, sama ada kehamilan tersebut berlaku kerana wanita hamil tersebut dijatuhkan talak oleh suaminya ketika hamil, ataupun kematian suami ketika hamil, ataupun kehamilan tersebut berlaku kerana melakukan hubungan luar nikah.

Pertama: Hamil Selepas Perkahwinan yang Sah kemudian Ditalak atau Kematian Suami

Jika wanita hamil tersebut dijatuhkan talak oleh suaminya ketika hamil, ataupun kematian suami ketika hamil, maka hukum pernikahan tersebut adalah tidak sah. Hal ini kerana wujudnya sebab pengharaman pernikahan sementara. 

Haram yang sementara bermaksud perempuan yang haram dikahwini untuk sementara waktu atas sebab-sebab tertentu. Apabila sebab yang tersebut hilang, maka perempuan itu boleh dikahwini. Sekiranya perempuan itu dikahwini sebelum sebab pengharamannya hilang, perkahwinan tersebut batal.

Antara sebab-sebab tersebut adalah wanita tersebut masih di dalam tempoh ‘iddahnya.  ‘Iddah bagi wanita hamil kerana penceraian atau kematian suami adalah sehingga dia melahirkan anak di dalam kandungan. Firman Allah SWT

وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: “Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.”

(Surah al-Talaq: 4)

Ayat di atas diturunkan selepas diturunkan ayat 234 surah al-Baqarah dan ia telah memansuhkan tempoh iddah selama 4 bulan 10 hari bagi wanita mengandung yang kematian suaminya. Sementara itu, majoriti fuqaha mengkhususkan (takhsis) ayat 234 surah al-Baqarah yang menyatakan tempoh ‘iddah kematian suami iaitu 4 bulan 10 hari dengan hadith berikut:

Hadith yang diriwayatkan daripada al-Miswar bin Makhramah :

أَنَّ سُبَيْعَةَ نَفَسَتْ بَعْدَ وَفَاةِ زَوْجِهَا بِلَيَالٍ فَجَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَتْهُ أَنْ تَنْكِحَ، فَأَذِنَ لَهَا، فَنَكَحَتْ.

Maksudnya:Subai‘ah al-Aslamiyah R.Anha telah melahirkan anak pada malam selepas kematian suaminya. Subai’ah menemui Nabi SAW dan meminta izin untuk berkahwin, Baginda SAW membenarkannya lalu berkahwin.”

Riwayat al-Bukhari (5320)

Hadith tersebut menjelaskan, wanita dibenarkan berkahwin setelah melahirkan anak walaupun baru kematian suami. Ini bermakna situasi wanita tersebut telah selesai tempoh ‘iddah.

Khatib al-Syirbini menyatakan ‘iddah kematian suami bagi wanita yang hamil adalah selepas melahirkan anak, mahupun selepas sempurna melahirkan anak kembar yang kedua.  Hal ini berdasarkan hujah bahawa ‘iddah wanita mengandung ialah melahirkan anak sebagaimana dijelaskan melalui ayat 4 surah al-Talaq, yang merupakan muqayyad kepada ayat 234 surah al-Baqarah berkaitan tempoh ‘iddah wanita yang kematian suami iaitu 4 bulan 10 hari. (Lihat Iqna‘ fi Hal Alfaz Abi Syuja‘, 2/465).

Oleh yang demikian, tempoh ‘iddah wanita yang mengandung adalah selepas melahirkan anak sama ada bercerai mati atau  hidup  dengan talak raj‘i ataupun talak ba’in. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/ 84)

Kedua: Hamil Kerana Hubungan Luar Nikah

Jika wanita tersebut hamil kerana melakukan hubungan luar nikah, maka hukum pernikahan tersebut adalah sah menurut mazhab al-Syafi‘i. Firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ

Maksudnya:Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya).”

(Surah al-Nisa’: 24)

Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ

Maksudnya: “Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal.”

Riwayat Ibn Majah (2015)

Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina. Maka Saidina Umar al-Khattab R.A bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar R.A menyebat kedua-duanya. Umar R.A bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut, dan Umar R.A tidak menganggap hal itu menyebabkan ‘iddah. Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan, atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/241-242)

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya:

  • tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu,
  • tidak dapat pusaka daripadanya,
  • tidak menjadi mahram kepadanya
  • dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya. 

(Lihat  Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Fatwa Munakahat, hlm. 47)

Semoga Allah SWT melindungi kita dan keturunan kita ini daripada perbuatan zina yang sangat ditegah dan dilarang oleh syara’. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply