Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah nasihat kepada masyarakat terutama anak-anak muda dan ibu bapa berkenaan isu zina yang semakin berleluasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Tamim al-Dari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Tentang siapa? Sabda Baginda: Tentang Allah, tentang Kitab-Nya, tentang Rasul-Nya, tentang pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.” 

Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasaie (7/156)

Kami menasihati masyarakat supaya mempermudahkan urusan perkahwinan anak-anak muda. Bahkan anak-anak muda ini sekiranya mereka mampu berkahwin, maka galakkanlah supaya mereka berkahwin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)

Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)

Imam al-Nawawi menjelaskan, adapun pengertian al-ba’ah (الْبَاءَةَ) sendiri adalah jima’ (hubungan intim), inilah makna al-ba’ah (الْبَاءَةَ) pada bahasa. Namun yang dimaksudkan adalah mampu untuk berjima’ disertai dengan kemampuan memberi nafkah terlebih dahulu. Sesiapa yang tidak mampu berjima’ lantaran belum mampu dari segi nafkah, maka hendaklah dia rajin berpuasa untuk mengekang syahwatnya yang menggelora. Gejolak maninya dapat ditahan dengan rajin berpuasa sunat seperti itu. Itulah maksud hadis yang dikemukakan di atas. Hadis tersebut ditujukan kepada para pemuda yang syahwatnya sudah menggelora namun belum mampu untuk memberi nafkah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/154)

Imam al-San’ani pula menyebut: Para ulama’ berselisih pendapat pada maksud al-Ba’ah (الباءة). Pendapat yang paling sahih (qaul al-asah), maksud al-Ba’ah ialah jima’ atau mampu bersetubuh. Maka hadis tersebut dibaca dengan: Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu bersetubuh kerana kemampuannya untuk menanggung perkahwinan, maka berkahwinlah. Sesiapa yang tidak mampu bersetubuh kerana lemah untuk menanggung perkahwinan, maka dia hendaklah berpuasa untuk mengekang syahwatnya. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram oleh al-San’ani, 2/159)

Dalam kitab Taudhih al-Ahkam menyebut: Al-Ba’ah (الْبَاءَة) pada bahasa bermaksud jima’ (bersetubuh). Akan tetapi maksud di sini ialah kemampuan untuk menanggung segala keperluan perkahwinan merangkumi mahar dan nafkah. Dan maksudnya, “sesiapa yang telah mampu dari kalangan kamu dengan memiliki kesemuanya itu, maka berkahwinlah.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, hlm. 214)

Hadis di atas juga menunjukkan bahawa yang belum mampu menikah dianjurkan menyibukkan diri dengan berpuasa. Ini kerana ia dapat melemahkan syahwat dan mempersempit jalan masuk syaitan dan perkara tersebut merupakan di antara sebab iffah (menjaga diri) dan menundukkan pandangan. (Lihat Majmu’ Fatawa, 3/329)

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang sudah mempunyai kemampuan sama ada secara fizikal atau ekonomi, maka hendaklah segera bernikah. Ini kerana terdapat padanya banyak faedah dan kebaikan. Disebut dalam kitab Syarh Bulugh al-Maram: Ramai dari kalangan ulama’ yang menyebut bahawa seseorang yang sudah mampu (secara fizikal dan ekonomi) untuk berkahwin, maka wajib baginya untuk berkahwin. Ini kerana pada dasarnya, perintah tersebut (فَلْيَتَزَوَّجْ) menunjukkan kewajiban, dan di dalam pernikahan itu terdapat maslahat yang agung. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 3/179)

Selain itu, hendaklah matlamat perkahwinan ini untuk menjaga pandangan, menjaga kehormatan diri, dan supaya menjadi lebih bertakwa kepada Allah SWT sebagai tuhan yang disembah. Dalam permasalahan ini, Rasulullah SAW pernah bersabda:

ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ

Maksudnya: Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya”

Riwayat al-Tirmidhi (1655), al-Nasa’i (3218)

Baginda bersabda lagi:

إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي

Maksudnya: Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.

Riwayat al-Baihaqi (5486), al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647)

Kami juga menasihati para pasangan supaya mengambil berat isu persetubuhan sebelum berkahwin agar tidak timbul isu nasab anak sehingga mendatangkan aib kepada diri sendiri dan aib kepada anak serta mengganggu emosi dan perasaan tidak selepas kepada ramai pihak.

Junjunglah serta taatlah perintah Allah SWT:

 وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. Lihat Tafsir al-Quran al-Azim (5/72)

Antara bentuk ( وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ) (“Dan janganlah kamu menghampiri zina”) ialah:

  • Berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah
  • Melihat filem pornografi
  • Membaca buku-buku berunsur pornografi
  • Menghadiri ke tempat-tempat yang lagha dan terdedah dengan pornografi
  • Menghampiri mereka yang berakhlak buruk yang banyak melakukan perbuatan keji seperti zina.

Sementara maksud وَسَاءَ سَبِيلًا sebagai mana pendapat Syeikh al-Maraghi: Sesungguhnya berzina itu nyata keburukannya, bahkan mengandungi pelbagai kerosakan. Antara yang terpenting ialah:

  • Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang pelacur perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.
  • Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga sewaktu kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!” 
  • Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.
  • Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pelampias syahwat semata-mata. Akan tetapi, ia dijadikan sebagai sekutu bagi kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas-tugasnya seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekaligus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja, bukan untuk lelaki-lelaki yang lain. 

Dalam erti kala yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942).

Marilah kita ganti kehidupan kita yang terleka dengan beriltizam solat berjemaah di masjid atau surau, menghadiri majlis ilmu agama, banyakkan membaca al-Quran, zikrullah, qiyamullail dan juga pilihlah sahabat-sahabat yang baik yang dapat membantu kita ke arah kebaikan.

Sentiasalah bertaqwa kepada Allah, menginsafi diri sendiri atas keterlanjuran, dan wajib mentaati-Nya. 

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply