Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Soalan saya berkenaan zakat fitrah anak angkat yang masih mempunyai bapa kandung. Siapakah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah tersebut? Bapa kandung atau bapa angkat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat

Asal bagi zakat fitrah adalah kewajipan bapa atau walinya bagi kanak-kanak. Dalam isu ini, hadith daripada Ibn ‘Umar, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ أَوْ حُرٍّ صَغِيرٍ أَوْ كَبِيرٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan untuk memberi zakat fitrah.(Kadarnya ialah) segantang dari kurma atau gandum. Ianya diwajibkan untuk setiap hamba, yang merdeka. Yang kecil (kanak-kanak) mahupun besar (dewasa).”

Riwayat al-Bukhari (1503) dan Muslim (2326)

Berdasarkan nas di atas, maka tanggungjawab bapa adalah yang utama. Keadaan ini dapat dilihat melalui apa yang dinyatakan oleh Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Asna al-Matalib:

أَمَّا مَنْ ‌لَا ‌تَجِبُ عَلَيْهِ نَفَقَتُهُ فَلَا تَجِبُ عَلَيْهِ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: Bagi sesiapa yang tidak diwajibkan nafkah ke atasnya maka tidak wajib zakat fitrah untuk anaknya itu. (Lihat Asna al-Matalib 388/1)

Oleh kerana itu, jika seorang kanak-kanak yang mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri termasuk juga dalam perbincangan yang dinyatakan. Seorang bapa tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya itu kerana telah terputus tanggungjawab memberi nafkah kepada anak tersebut disebabkan dia sudah mampu untuk menjana sumber pendapatan sendiri. 

Bahkan dalam keadaan ini, tidak sah zakat fitrah yang dibayar oleh seorang bapa untuk anaknya yang sudah mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj 314/3; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie hlm.99)

Menjawab persoalan di atas, jika kanak-kanak tersebut perlu dizakatkan untuknya maka bapa sebenarnya itulah lebih utama dan berhak untuk mengeluarkan zakat. Kewajipan zakat fitrah tersebut adalah ke atasnya. Tetapi jika bapa angkat ingin mengeluarkan zakat bagi pihak anak angkatnya, maka ianya dibolehkan selepas dimaklumkan kepada bapa sebenar. 

Ini termasuk dalam melakukan kebaikan dan makruf kepada anak angkatnya di samping menolong bapa yang sebenar bagi kanak-kanak tersebut. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal kepada bapa angkat atas makruf dalam pelaksanaan ibadat zakat anak angkatnya.

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply