Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak bertanya apakah hukum menerima duit pampasan kemalangan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami nyatakan terlebih dahulu pengertian duit pampasan kemalangan. Wang pampasan adalah wang bayaran sebagai ganti rugi daripada syarikat tempat seseorang bekerja (berdasarkan perjanjian pekerjaan) atau syarikat insurans atau takaful.

Bagi isu insurans atau takaful, kedua-dua takaful dan insurans konvensional melindungi sekiranya kemalangan berlaku. Ahli akan menyumbang wang untuk mendapatkan perlindungan takaful ini. Untuk kedua-dua polisi, pihak yang diinsuranskan mesti mempunyai kepentingan kewangan yang sah dalam risiko tersebut. Ini bermakna ahli mesti mengalami kerugian wang semasa kejadian yang diinsuranskan berlaku.

Perbezaan antara takaful dan insurans konvensional yang paling ketara ialah takaful adalah berdasarkan hukum syariah. Takaful tidak melibatkan elemen gharar, maisir, atau riba. Ia diwujudkan sebagai alternatif kepada insurans konvensional untuk mengelakkan unsur-unsur terlarang ini.

Selain itu, bagi insurans konvensional, risiko dipindahkan daripada yang diinsuranskan kepada syarikat insurans. Manakala dalam takaful pula, ia adalah berdasarkan perkongsian risiko. Setiap ahli menyumbang dalam dana takaful dan sekiranya berlaku sebarang kejadian tak diingini, semua ahli akan mendapat jumlah pampasan atau tuntutan yang sama.

Wang pampasan atau wang sepenuhnya pemberian daripada syarikat di atas sebab kematian tidak termasuk dalam harta Tarikah (harta pusaka). Penama atau orang yang menerima pemberian wang tersebut harus membelanjakan wang tersebut mengikut kehendaknya, sama ada menggunakannya bagi keperluan diri sendiri, memberikannya kepada orang lain atau sebagainya. Wang tersebut tidak termasuk di dalam harta yang perlu difaraidkan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 September 2000 telah membincangkan Wang Pampasan Kematian Pekerja Yang Dianugerahkan Oleh Kerajaan Atau Syarikat Swasta. Muzakarah telah memutuskan bahawa wang pampasan yang diperolehi dari kematian pekerja, wang pampasan melalui tuntutan mahkamah, wang SOCSO dan seumpamanya tidak dianggap harta pusaka.

Justeru, kami katakan jika wang pampasan itu yang diterima dari sumber yang diizinkan syarak, maka hukumnya dibolehkan untuk menerima duit pampasan kemalangan tersebut. 

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply