Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah jika ayah keluarkan zakat kepada anak kandungnya yang menyambung pelajaran ke IPT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang bertujuan untuk menjaga dan membantu dalam hal ekonomi masyarakat Islam. Di dalam pembahagian dan pemberian zakat Allah SWT telah menetapkan golongan yang mempunyai hak dalam menerimanya. Ini sepertimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah, 60)

Syeikh Dr. Muhammad Zuhaili menyebut wajib memberi zakat harta dan zakat Fitrah kepada lapan golongan asnaf. Dan mereka itu adalah golongan fakir dan miskin, amil zakat, muallaf, hamba, orang yang berhutang, golongan yang berjuang di jalan Allah dan musafir. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/105)

 

Berdasarkan persoalan di atas, seseorang muslim tidak boleh memberikan zakat kepada mereka yang di bawah tanggungannya. Ini bermakna, anak atau isteri tidak boleh mendapatkan harta zakat daripada bapa atau suaminya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/41) 

Imam al-Nawawi berkata:

وَلَا يَجُوزُ دَفْعُهَا إِلَى مَنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ مِنَ الْأقَارِبِ وَالزَّوْجَاتِ مِنْ سَهْمِ الْفُقَرَاءِ

Maksudnya: “Tidak harus memberinya (zakat) kepada sesiapa yang wajib untuk dinafkahkannya daripada golongan keluarganya dan isteri-isterinya daripada bahagian orang-orang fakir.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/229)

Begitu juga yang disebut oleh Dr Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya bahawa disyaratkan kepada sesiapa yang hendak memberi zakat, hendaklah mereka itu bukan daripada golongan yang di bawah tanggungan nafkahnya. Ini seperti wajib seseorang itu menanggung nafkah isterinya, usul dan furu’nya, maka tidak boleh ia memberi zakat kepada isterinya walaupun isterinya seorang yang fakir atau miskin. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/121)

Dalam al-Fiqh al-Manhaji juga menyatakan, golongan yang berhak menerima zakat mestilah bukan daripada golongan yang menjadi tanggungan nafkah si pembayar zakat. Ini kerana seseorang yang nafkahnya ditanggung oleh pembayar zakat dianggap sebagai kaya dengan nafkahnya itu. Dan memberi zakat kepada seseorang yang di bawah tanggungan nafkahnya seolah-olah memberi zakat kepada dirinya sendiri. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’e, 2/64-65)

Penutup

Saya syorkan pada saudara jika berkemampuan membayar zakat maka bayarlah kepada Pusat Pungutan Zakat di negeri yang saudara berada. Kemudian, rundingkan kepadanya berkenaan dengan anak yang sedang belajar, adakah peruntukan untuk asnaf fi sabilillah. InsyaAllah itu jauh lebih baik kerana kita menunaikan tanggungjawab kita kepada pemerintah dan agama kita seperti menunaikan zakat dengan lebih baik dan sempurna. Semoga Allah lapangkan anak saudara pada rezekinya dalam menuntut ilmu. Amin.

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply