Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Semoga sentiasa dalam rahmatnya. Soalan saya, adakah sah zakat yang dikeluarkan dan disalurkan kepada ayah kandung yang muallaf? 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, saya ucapkan syabas kepada anda kerana soalan yang dikemukakan ini. 

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan daripada Ibn al-Munzir yang berkata, “Telah ijma’ ahlu ilmu bahawa zakat tidak harus diberikan oleh anak kepada kedua ibu bapanya dalam keadaan yang diwajibkan padanya untuk memberi nafkah ke atas mereka. Ini kerana, dengan memberi zakat kepada kedua orang tua yang muallaf, akan mencukupkannya daripada memberi nafkah dan hal ini sudah tentu kembali manfaat kepada yang memberi zakat itu. Seolah-olah ia mendapat manfaat kembali kepada dirinya sendiri. Justeru, hal ini tidak harus memberi zakat kepada orang tua sendiri atas nama muallaf.” (Lihat al-Mughni, oleh Ibnu Qudamah, 2/647)

Begitu juga, kerana harta anak dianggap harta kedua ibu bapanya. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, daripada Jabir bin Abdullah RA, katanya: “Bahawa sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan bapaku ingin mengambil hartaku.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

أَنْتَ وَمَالُكَ لِأَبِيْكَ

Maksudnya: “Kamu dan harta kamu adalah milik bapa kamu.”

Riwayat Ahmad (6678, 6902 dan 7001) dan telah disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir.

Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti al-Daraqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwayatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya.” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)

Imam al-Suyuti Rahimahullah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid daripada hadith riwayat ‘Aisyah R.Anha.” (Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah, 3/37)

Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” atau pun tidak.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah berkata: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil.” (Lihat al-Mughni, 5/397).

Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:

يَأْخُذُ الْأَبُ وَالْأُمُّ مِنْ مَالِ وَلَدِهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِ ، وَلَا يَأْخُذُ الِابْنُ وَالِابْنَةُ مِنْ مَالِ أَبَوَيْهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِمَا

Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua.” (Lihat al-Muhalla, 6/385)

Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atha’ bin Abi Rabah dan al-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. (Lihat al-Mudawwanah, 2/264)

Justeru, kami katakan alangkah bertuahnya anda jika ayah anda telah memeluk agama Islam maka itu antara sebesar-besar nikmat. Justeru, nafkahilah mereka dan berbaktilah kepadanya supaya anda termasuk di kalangan orang yang disebut sebagai berbakti kepada kedua ibu bapa. 

Pada saat yang sama, bayarlah zakat dan tunaikanlah di pusat-pusat zakat tempat di mana anda berada. Semoga Allah sinarkan kebaikan dan kebahagiaan kepada diri anda.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply