Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah zikir yang diikuti para salaf dan Nabi Muhammad SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”

(Surah al-Ahzab: 41-42)

Allah SWT juga berfirman:

 أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah al-Ra’d: 28)

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan Rasulullah SAW amat menggalakkan kita untuk berzikir begitu juga nas yang kami nyatakan di atas. Kami telah kemukakan pelbagai zikir yang ma’thur daripada Rasulullah SAW dalam Kajian Ilmiah kami. Untuk mendapatkannya sila rujuk kepada maktabahalbakri.com 

Saya juga telah menguraikan dengan panjang lebar berkenaan dengan fadhilat dan kelebihan zikir dalam syarahan hadith Matan Arab’in Nawawiah iaitu hadith yang ke-50, bermula dari halaman 489 – 511. Sila rujuk untuk mendapat maklumat dan info tambahan.

Berkenaan dengan zikir Rasulullah SAW dan salafussoleh kami dapati ramai para ulama telah mengkaryakan karya yang baik berkenaan dengan zikir dan juga doa Rasulullah SAW termasuklah kitab-kitab hadith bermula dari Sahih Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Turmuzi, al-Nasaie, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad, Muwatta’ Imam Malik dan lain-lain lagi.

Antara kitab khusus berkenaan dengan zikir ini ialah:

  • Al-Azkar oleh Imam al-Nawawi
  • Hisn al-Muslim oleh al-Qahtani
  • ‘Amalu al-Yaumi wa al-Lailah oleh al-Nasa’i dan lain-lain.

Daripada kitab-kitab tersebut terlalu banyak yang Rasulullah SAW lakukan dan zikir. Walaupun begitu, Rasulullah SAW juga mengikut keadaan dan suasana. Justeru, terdapat banyak kepelbagaian zikir yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW. Sebagai contoh apabila turunnya firman Allah SWT:

 فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah).”

(Surah al-Nasr: 3)

Dikatakan Rasulullah SAW sentiasa dilihat berzikir kepada Allah SWT sehingga ke akhir hayatnya. Walaupun dalam keadaan perlahan tetapi sahabat pernah melihat mulutnya bergerak-gerak. Antara zikirnya adalah:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

Maksudnya: “Maha suci Engkau Ya Allah dan kepujian untuk Engkau, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Engkau. Aku mohon keampunan kepada-Mu dan bertaubat kepada-Mu.

Riwayat al-Tirmizi (3433), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (10330) dan Ahmad (10415)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita lazimi zikir dan kita basahi lidah kita dengan zikir dengan sebanyak-banyaknya. Cukuplah sebuah hadith Rasulullah SAW menyebut yang memberi semangat kepada kita untuk zikir. Daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ وَأَزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ؟‏ قَالُوا: بَلَى.‏ قَالَ :‏ ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى.

Maksudnya: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan perak. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung leher kamu. Para sahabat berkata: “Ya (kami ingin mengetahuinya wahai Rasulullah!)” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Ta’ala.

Riwayat al-Tirmizi (3377), Ibn Majah (3790), Ahmad (21702), Imam Malik dalam al-Muwatta’ (524), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1825) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1872). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sanadnya sahih.

Semoga lidah kita sentiasa zikrullah dan mati kita dalam keadaan zikrullah. Amin. 

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply