#1505: Barangan Hanyut Boleh Diambil dan Dijual?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mengutip barangan hanyut di tepi pantai seperti pelampung, tali kapal dan lain-lain? Barang-barang ini bernilai tinggi jika dijual. Hendak dipulang atau isytihar agak mustahil kerana kebiasaannya adalah barang dari kapal negara lain yang mustahil untuk diketahui pemiliknya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Luqatah mengikut syara’ adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak diketahui hak miliknya”. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 7/69).

Dalam Kamus al-Wasit (2/834), “luqatah” diertikan sebagai “Suatu barang yang dipungut, atau suatu yang ditemui atas keadaan boleh diminta, dan seseorang itu memungut apabila dia mengambil sesuatu itu daripada bumi, seperti yang Allah SWT ceritakan perihal Musa A.S:

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ

Maksudnya: “Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun.”

(Surah al-Qasas: 8)

Maka luqatah itu adalah suatu barang yang ditemui oleh penemu lalu dia mengambilnya, atau sesuatu yang hilang daripada tuannya kerana jatuh, lalai dan seumpamanya.”

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Ibnu Qudamah yang menyebut bahawa al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4856).

Dalam hal ini, terdapat nas-nas yang menyebut tentang perkara yang perlu dilakukan apabila seseorang menemui sesuatu barang. Antaranya: Allah SWT juga berfirman:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain.”

(Surah al-Taubah: 71)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhaniy R.A, katanya:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ‏”‏ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏”‏

Maksudnya: Nabi SAW ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.

Riwayat Muslim (1722)

Daripada ‘Iyadh bin Himar, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدَ لُقَطَةً فَلْيُشْهِدْ ذَا عَدْلٍ أَوْ ذَوَيْ عَدْلٍ ، ثُمَّ لاَ يُغَيِّرْ وَلاَ يَكْتُمْ ، فَإِنْ جَاءَ رَبُّهَا ، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ، وَإِلاَّ فَهُوَ مَالُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjumpai barang luqatah (tercicir), maka hendaklah dia minta persaksian seorang yang adil atau orang-orang yang adil, kemudian dia tidak menggantinya dan tidak menyembunyikannya. Jika pemiliknya datang, maka dia (pemilik) lebih berhak ke atasnya. Jika tidak, maka ia adalah harta Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.”

Riwayat Abu Dawud (1709), al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (5808), Ibn Majah (2505) dan Ahmad (17481). Syeikh Syuaib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1709) menyatakan bahawa sanadnya sahih.

Secara asasnya, sesiapa yang menjumpai sesuatu yang bernilai, hendaklah dia mengiklankan barang tersebut sehingga cukup tempoh setahun seperti mana yang disebutkan di dalam hadith di atas pada ibarat kemudian umumkan ia selama satu tahun.

Namun begitu, para fuqaha’ turut mengklasifikasikan kepada luqatah yang tidak mempunyai nilai iaitu pada kebiasaan iaitu tidak akan dituntut oleh pemiliknya. Seperti tamar yang terjatuh, maka boleh untuk terus memakannya seperti mana hadith daripada Anas R.A, beliau berkata: Nabi SAW pernah menjumpai sebiji kurma di jalan, lalu Baginda bersabda:

لَوْلَا أَنِّي أَخَافُ أَنْ تَكُونَ مِنْ الصَّدَقَةِ لَأَكَلْتُهَا 

Maksudnya: “Seandainya aku tidak bimbang bahawa ia adalah kurma sedekah, nescaya aku akan memakannya.”

Riwayat al-Bukhari (2431)

Selain itu, disebutkan sekiranya barang yang dijumpai kurang daripada 10 Dirham, perlu dihebahkan beberapa hari sehingga satu tempoh yang dirasakan perlu untuk diiklankan sehingga tempoh di mana pemiliknya tidak akan lagi menuntut selepas tempoh tersebut. Sekiranya 10 Dirham atau lebih, hebahkanlah selama setahun. (Lihat Fath al-Qadir, 6/122; al-Mudawwanah, 6/173; al-Mu’tamad, 3/685).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa barangan hanyut di tepi pantai seperti pelampung, tali kapal dan lain-lain adalah termasuk dalam barangan luqatah yang perlu diiklankan kepada umum dan tidak boleh terus dimiliki oleh mereka yang menjumpainya melainkan dengan syarat-syarat yang dibahaskan di atas, apatah lagi sekiranya ia merupakan barangan yang bernilai.

Namun begitu, dengan meraikan nas yang tertera dalam nas-nas hadith dan juga kitab-kitab fiqh yang klasik, maka kami sarankan supaya barangan tersebut diberikan kepada badan-badan amal dan kebajikan untuk digunakan untuk manfaat bersama. Sebagai contoh seperti  pelampung, ia boleh digunakan untuk aktiviti pembelajaran seperti aktiviti renang oleh pihak badan kebajikan yang sudah tentu akan memberikan manfaat pada anak-anak dan juga pada khalayak masyarakat. 

Nasihat kami, elakkan sama sekali penggunaan barangan tersebut dan manfaatnya untuk kepentingan diri sendiri. Hal ini kerana hak barangan tersebut tetap merupakan barangan hak orang lain. Walaupun mengiklankan dan mewar-warkan barangan tersebut mengambil masa yang lama, tetapi meraikan apa yang telah dinyatakan dan mengembalikannya kepada masyarakat untuk maslahah bersama adalah langkah yang terbaik berbanding dengan memilikinya dan menjualnya kembali. 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× Bantuan?