Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah tayammum bagi pesakit yang memang tidak dapat bangun kerana kakinya baru selesai operate dan dalam masa yang sama tidak ada waris yang dapat menjaganya di hospital.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tayammum merupakan satu bentuk rukhsah (keringanan) yang Allah SWT berikan kepada mereka yang tidak mampu untuk berwuduk atas sebab-sebab yang tertentu. Firman Allah SWT: 

وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ

Maksudnya: “Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran yang menegaskan bahwa Allah banyak memberikan keringanan bagi para hamba-Nya. Antaranya firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kemudahan bagi kalian dan Allah tidak menghendaki kesulitan bagi kalian.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Firman-Nya lagi:

لَا يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَ

Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

(Surah al-Baqarah: 284)

Di dalam ayat lain, Allah SWT juga berfirman:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Allah tidak pernah menjadikan adanya kesulitan dalam agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Dalil-dalil lainnya masih sangat banyak, yang mana jika kita perhatikan bahawa islam bukanlah agama yang memaksa penganutnya dalam keadaan mereka tidak mampu, bahkan memberikan kemudahan bagi mereka dalam segenap aspek.

Berdasarkan semua dalil-dalil di atas, para ulama mengeluarkan kaedah:

الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْرَ

Maksudnya: “Kesusahan akan membawa kepada kemudahan.”

Tayammum Bagi Pesakit

Tayammum merupakan ganti kepada syarat sah solat iaitu berwudhu’. Oleh yang demikian, hukum bertayammum bagi mereka yang mengambil rukhsah (keringanan) dan ingin menunaikan solat adalah wajib. Ini berdasarkan kaedah usuliyyah yang disebutan oleh para ulama’:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”

Adapun begitu, bagi mereka yang tiada kemampuan untuk bertayammum dengan sendirinya atas sebab sakit dan sebagainya, perlu dilihat terlebih dahulu situasinya.

Situasi Pertama: Jika dia mempunyai penjaga yang menjaga kebajikannya, kebersihannya serta makan minumnya, maka wajib baginya untuk meminta bantuan penjaga tersebut untuk bertayammum bagi membolehkannya menunaikan solat 5 waktu.

Situasi Kedua: Jika dia tidak mempunyai penjaga yang mengambil berat akan kebajikan, kebersihan dan makan minumnya, maka pada keadaan ini dia dimaafkan dan dibolehkan baginya untuk menunaikan solat tanpa bertayammum.

Pada situasi ini, boleh diqiaskan hukum solat pesakit ini dengan solat mereka yang tidak menjumpai air. Ini kerana terhimpunnya ‘illah yang sama pada dua situasi ini iaitu tidak mendapati air. Hal yang demikian kerana mereka yang tidak mampu untuk mendapatkan air tersebut tidak boleh disamakan hukumnya dengan mereka yang mampu mendapatkan air.

Akan tetapi, jika pesakit tersebut tidak mempunyai sebarang masalah yang menghalangnya untuk menggunakan air, maka dia tidak boleh memilih untuk melakukan rukhsah tanpa berusaha terlebih dahulu mencari cara lain untuk membolehkannya berwuduk. Masih terdapat alternatif lain bagi pesakit yang berada di hospital untuk berwuduk, antaranya adalah menggunakan penyembur air. 

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Dan jika kami memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia sekadar kemampuan kamu.”

Riwayat Bukhari (7288) dan Muslim (1337)

Jika sebahagian anggota wuduk pesakit tersebut dibalut dengan pembalut, dia perlu meratakan semburan air pada bahagian anggota wuduk yang masih terbuka dan juga pada pembalut yang menutupi anggota wuduknya itu.

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply