Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah nasihat Dato’ Seri tentang panduan untuk kita mendidik anak yang masih kecil? Bagaimana panduan Nabi SAW dalam mendidik anak kecil yang dalam usia 3 ke 7 tahun. Kadang-kadang anak tersebut datang tantrum seperti menangis dan menjerit-jerit sehingga sukar dikawal. Adakah Nabi SAW pernah marah kepada anak kecil untuk tujuan mendidiknya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Anak merupakan anugerah Allah SWT dan ia adalah hibah serta kurniaan daripada-Nya. Firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia menciptakan langit dan bumi, memilikinya, dan mengatur keduanya. Dan Dia menetapkan segala sesuatu yang Dia kehendaki, dan jika Dia tidak menghendaki sesuatu, maka hal itu tidak akan terjadi. Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)

Anak pada asalnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci dari sebarang dosa dan bersih. Yang mencorakkannya adalah ibubapanya. Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Riwayat al-Bukhari (1385)

Dalam mendidik anak, hendaklah kita mengingati firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.

(Surah al-Tahrim: 6)

Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. (Lihat Tafsir al-Wasit, 14/476)

Ayat di atas menunjukkan bahawa tanggungjawab hakiki ibu bapa adalah mengelakkan anak-anaknya dan keluarganya dari api neraka. Itulah tugas yang utama. Justeru, semasa di dunia ini bila berlaku kelahiran sahaja maka tertakliflah tanggungjawab mendidik anak-anak. Seorang soleh berkata, “Wahai anakku, aku telah buat baik kepadamu sebelum lahir lagi.” Lantas, anaknya terkejut dan bertanya, “Bagaimana mungkin ayah sudah melakukan seperti itu?” Jawabnya, “Kerana aku telah memilih ibumu dari kalangan ibu yang baik.”

Banyak nas yang menunjukkan supaya kita mendidik anak-anak, sama ada daripada Rasulullah SAW atau para sahabat. Rasulullah SAW bersabda:

أَدِّبُوا أَوْلادكُمْ عَلى ثَلاثِ خِصالٍ، حُبِّ نبِيِّكُمْ، وَحُبِّ أَهْل بَيْتِهِ، وَقِراءَةِ الْقُرْآنِ، فَإِنَّ حَمَلَةَ الْقُرْآنِ فِي ظِلِّ اللهِ يَوْمَ القِيَامَةِ ، يَوْمَ لَا ظِلَّ إلَّا ظِلُّهُ ، مَعَ أَنْبِيَائِهِ وَأَصْفِيَائِهِ

Maksudnya: “Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara; Cintakan nabi mereka, mencintai ahli keluarga nabi mereka dan membaca (menghafaz) Al-Quran. Sesungguhnya para penghafaz Al-Quran itu berada di bawah naungan Allah pada hari tiada naungan lain selain naungan-Nya, bersama para nabi dan orang-orang pilihan-Nya.”

Riwayat al-Dailami (1/24). Al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (310) menilai hadith ini sebagai dha‘if. Dinyatakan sebagai dha‘if jiddan dalam al-Silsilah al-Dha‘ifah (5/181).

Saidina Umar bin al-Khattab R.A, pernah mengatakan:

عَلِّمُوا أَبْنَاءَكُمُ السِّبَاحَةَ والرَّمْيَ

Maksudnya : “Ajarlah anak-anak kamu berenang dan juga memanah.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (8297)

Dinisbahkan kepada Saidina Umar R.A dengan menyatakan:

 لَاعِبْ ابْنَكَ سَبْعًا وَأَدِّبْهُ سَبْعًا وَآخِهُ سَبْعًا ثُمَّ أَلْقِ حَبْلَهُ عَلَى غَارِبِهِ

Maksudnya: “Bermainlah dengan anak kamu pada 7 tahun (pertama), dan didiklah mereka adab pada 7 tahun (kedua), dan jadilah sahabat mereka pada 7 tahun (ketiga). Kemudian lepaskanlah kekangannya (biarkan dia bebas membuat pilihan sendiri).”

Berdasarkan amalan para salafussoleh termasuk para sahabat, antara yang dididik kepada anak-anak adalah akhlak yang menjadi tonggak utama keperibadian dan sakhsiah seseorang. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada ‘Amru bin Sa’id al-As, sabda Baginda SAW:

مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Tidak ada suatu pemberian seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab (akhlak) yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403) dan al-Baihaqi (2365).

Seterusnya, anak-anak perlu dilatih dan diajar untuk menunaikan ibadat solat bersama dengan orang tuanya agar ia menjadi kelaziman dan kebiasaan apabila sudah mencapai usia baligh. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya:Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.”

Riwayat Abu Dawud (490)

Seterusnya, anak-anak perlu diajar kepada mereka pengetahuan dan semangat jihad melalui ghazawat atau peperangan Rasulullah SAW. ‘Ali bin al-Husain (sebahagian menyatakan ia adalah pesanan dan wasiat seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Sa’d bin Abi Waqqas), di mana beliau menyebut:

كُنَّا نُعَلَّمُ مَغَازِيَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَرَايَاهُ كَمَا نُعَلَّمُ السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya:Sesungguhnya kami mempelajari tentang peperangan (Sirah) Rasulullah SAW sepertimana kami mempelajari Surah daripada al-Quran.” (Lihat al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami’, 2/195; al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/242)

Seterusnya jika anak-anak perempuan, diajar kepadanya surah-surah pilihan dalam al-Quran seperti surah al-Nur. 

Mujahid bin Jabar al-Makki berkata:

عَلِّمُوا رِجَالَكُمْ سُورَةَ المَائِدَةِ وَعَلِّمُوا نِسَاءَكُمْ سُورَةَ النُّورِ

Maksudnya:Ajarkanlah kepada kaum lelaki kamu surah al-Ma’idah dan kaum perempuan kamu surah al-Nur.

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (2205); al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (5464) menilai hadith ini sebagai mursal dha‘if. Ia juga dinilai sebagai dha‘if dalam Dha‘if al-Jami‘ (3729)

Perkara utama yang perlu ditekankan isu sikap dan sifat ibu bapa serta akhlak yang dipamerkan yang sudah tentu akan membekas pada jiwa anak-anak terutamanya ibu, kerana ia merupakan madrasah yang pertama kepada anak-anak.

Penyair Hafiz Ibrahim berkata:

الأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِذَا أَعْدَدْتَهَا أَعْدَدْتَ شَعْبَاً طَيَّبَ الأَعْرَاقِ

الأُمُّ أُسْتَاذُ الأَسَاتِذَةِ الأُلى بَلَغَتْ مَآثِرُهُمْ مَدَى الآفَاقِ

Ibu merupakan sekolah, jika kamu sediakannya

Sebenarnya kamu menyediakan generasi yang baik akhlaknya

Ibu adalah ketua guru yang tinggi

Sampai kesannya sejauh ufuk.

(Lihat Mausu‘ah al-Raqa’iq wa al-Adab, hlm. 496)

Seterusnya, perhatikan rakan-rakan yang dia berkawan atau bersahabat. Tunjuk dan pilihlah sahabat-sahabat yang baik dan jarakkannya dari rakan yang tidak baik. Ini kerana, sahabat atau rakan akan mempengaruhi tingkah laku dan peribadi seseorang.

Nabi SAW bersabda:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ

Maksudnya:Seseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.”

Riwayat Abu Daud (4833), al-Tirmizi (2378) dan Ahmad (8398)

Kembali kepada soalan di atas, jika kanak-kanak berusia 3-7 tahun, pendekatannya adalah berbeza dengan usia yang lebih tua. Justeru, konsep pujuk serta bantunya dan memberi layanan yang baik adalah amat penting. 

Kami nukilkan di sini dengan dua kisah seperti berikut:

Pertama, Rasulullah SAW sedang berada di atas mimbar dan beliau melihat Hasan dan Husain yang berjalan jatuh bangun. Dia tidak sampai hati dan terus turun dari mimbar dan memeluk dan mengangkatnya. Daripada Buraidah R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُنَا إِذْ جَاءَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ عَلَيْهِمَا السَّلاَمُ عَلَيْهِمَا قَمِيصَانِ أَحْمَرَانِ يَمْشِيَانِ وَيَعْثُرَانِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنَ الْمِنْبَرِ فَحَمَلَهُمَا وَوَضَعَهُمَا بَيْنَ يَدَيْهِ ثُمَّ قَالَ:‏ صَدَقَ اللَّهُ‏:‏ ‏{إنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ}‏ نَظَرْتُ إِلَى هَذَيْنِ الصَّبِيَّيْنِ يَمْشِيَانِ وَيَعْثُرَانِ فَلَمْ أَصْبِرْ حَتَّى قَطَعْتُ حَدِيثِي وَرَفَعْتُهُمَا

Maksudnya:Rasulullah SAW pernah menyampaikan khutbah kepada kami. Tiba-tiba, datanglah al-Hasan dan al-Husain dengan memakai baju berwarna merah; mereka berdua berjalan lalu tersadung dan jatuh. Maka, Rasulullah SAW pun segera turun dari minbar dan menggendong mereka berdua seraya bersabda: ‘Benarlah firman Allah, ‘إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ’ (Hanyasanya harta benda dan anak-anak kalian adalah fitnah).’ Aku telah memerhatikan dua orang kanak-kanak ini berjalan-jalan dan tersadung. Lalu, aku tidak dapat menahan sabar sehinggalah aku meninggalkan khutbahku dan mengangkat mereka berdua.

Riwayat al-Tirmizi (3774)

Kedua, Hasan dan Husain datang ketika Rasulullah SAW solat, dan ketika itu Rasulullah SAW sedang sujud lantas dia menaiki dan mengendarai Rasulullah SAW, Baginda membiarkan dengan sujud yang lama. Para sahabat melihat dan setelah selesai, Hal ini sebagaimana riwayat daripada Syaddad R.A, katanya:

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي إِحْدَى صَلَاتَيِ الْعِشَاءِ وَهُوَ حَامِلٌ حَسَنًا أَوْ حُسَيْنًا، فَتَقَدَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعَهُ، ثُمَّ كَبَّرَ لِلصَّلَاةِ فَصَلَّى فَسَجَدَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ صَلَاتِهِ سَجْدَةً أَطَالَهَا، قَالَ: فَرَفَعْتُ رَأْسِي وَإِذَا الصَّبِيُّ عَلَى ظَهْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ سَاجِدٌ فَرَجَعْتُ إِلَى سُجُودِي، فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلَاةَ قَالَ النَّاسُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّكَ سَجَدْتَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ صَلَاتِكَ سَجْدَةً أَطَلْتَهَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ قَدْ حَدَثَ أَمْرٌ أَوْ أَنَّهُ يُوحَى إِلَيْكَ، قَالَ: “كُلُّ ذَلِكَ لَمْ يَكُنْ وَلَكِنَّ ابْنِي ارْتَحَلَنِي فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ”

Maksudnya:Rasulullah SAW keluar untuk (solat jemaah) bersama kami pada salah satu solat di waktu petang, (tidak pasti) Zuhur atau Asar. Baginda SAW sedang mendukung (cucunya) iaitu Hasan atau Husain R.Anhuma. Baginda SAW bergerak ke hadapan (untuk menjadi imam) dan meletakkan cucunya. Kemudian Baginda SAW mengangkat takbir untuk solat, lalu mendirikan solat. Baginda SAW sujud di tengah-tengah solatnya dengan sujud yang sangat panjang.” Syaddad R.A berkata: “Aku pun mengangkat kepalaku, dan aku melihat kanak-kanak tadi berada di atas belakang Rasulullah SAW ketika Baginda SAW sedang sujud. Aku pun kembali sujud. Apabila Rasulullah SAW selesai mendirikan solat, para jemaah bertanya: ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya engkau telah sujud di tengah-tengah solatmu dengan sujud yang panjang. Kami menyangka sesuatu telah berlaku, atau wahyu telah dihantar kepada engkau.’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Semua itu tidak berlaku. Sebaliknya cucu aku ini sedang menunggangku. Aku tidak suka untuk segera (bangkit) sehingga dia telah selesai menunaikan hajatnya.’

Riwayat al-Nasa’i (1141), Ahmad (16076, 27688), dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3558), al-Hakim dalam al-Mustadrak (4775, 6631) 

Tindakan Rasulullah SAW itu dengan jelas menunjukkan betapa belasnya Rasulullah SAW dan kasih sayang beliau kepada kanak-kanak sehingga Baginda SAW melayan kanak-kanak seadanya. Banyak lagi kisah lain bagaimana Rasulullah SAW bertemu dengan anak yatim yang digelar Abu Umair. Satu hari beliau gembira dengan burungnya dan pada hari yang lain, beliau menangis kerana burungnya telah mati. Lantas, Nabi SAW bersabda:

يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ

Maksudnya:Wahai Abu ‘Umair, apakah yang berlaku kepada burung pipit kamu?

Riwayat al-Bukhari (6129)

Budayakan pada anak-anak untuk mendengar ayat-ayat Allah SWT. Alhamdulillah, mutakhir ini banyak rakaman sama ada CD atau di YouTube di mana terdapat qari-qari yang bacaannya amat baik untuk diperdengarkan kepada anak-anak kita seperti bacaan Syeikh Khalil al-Husari, Syeikh So’d al-Shuraim, Syeikh Ali Jabir dan ramai lagi.

Bacalah doa-doa dan perdengarkanlah kepada anak-anak sama ada doa-doa yang mathur atau pun surah-surah al-Quran seperti surah al-Insyirah, surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas, ayat Kursi dan lain-lain, termasuk selawat dan zikir.

Semoga dengan cara itu, anak akan menjadi lembut dan terkesan dengan ayat-ayat Allah SWT yang sifatnya memberi hidayah kepada manusia dan kepada orang yang bertaqwa. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H

Leave a Reply